Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengambilan duta Safe Entry bukan kerana sekatan COVID-19 diperketat semula

Anggaran Waktu Membaca:
Pengambilan duta Safe Entry bukan kerana sekatan COVID-19 diperketat semula

Token TraceTogether bersebelahan sebuah telefon bimbit yang memaparkan aplikasi. (Gambar fail: Agensi Teknologi Pemerintah Singapura.)

SINGAPURA: Iklan pekerjaan mencari duta Safe Entry adalah untuk menggantikan pekerja yang sudah berhenti dan tidak ada kaitan dengan kemungkinan langkah-langkah COVID-19 diperketatkan, dedah agensi pengambilan pekerja yang bertanggungjawab bagi iklan berkenaan. 

JobStudio, yang khususnya mengambil pekerja jagaan kesihatan, memberitahu Mediacorp pada Selasa (25 Okt) bahawa ia masih mempunyai pekerja pemeriksa suhu dan duta Safe Entry sejak tahun lalu. 

"Penyesuaian juga sudah dibuat kepada skop pekerjaan dan ia tidak khusus bagi melaksanakan tugas berkaitan Safe Entry saja," kata Pengarah Operasi JobStudio Joseph Khor. 

"Memandangkan pekerjaan itu hanya pekerjaan sementara, tukar ganti pekerja dijangkakan." 

Iklan pekerjaan itu mencetus desas-desus sama ada sekatan Safe Entry akan dikenakan semula, beberapa bulan setelah Singapura memansuhkan syarat untuk orang ramai log masuk ke tempat-tempat menggunakan aplikasi atau token TraceTogether pada 26 April. 

Singapura sedang mengalami gelombang COVID-19 yang disebabkan oleh subvarian Omicron XBB dan jangkitan semula. 

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung pada 15 Oktober berkata meskipun Pemerintah tidak menolak kemungkinan mengenakan semula langkah-langkah pengurusan selamat seperti pemakaian pelitup, ia akan mencuba "sedaya upaya" untuk tidak menjejas kehidupan biasa.

Dalam satu kemas kini pada 23 Oktober, Encik Ong berkata jumlah kes COVID-19 sudah mencapai kemuncaknya dan sedang merosot.

Para pakar menekankan bahawa "sekatan ke atas seluruh masyarakat" tidak perlu dilaksanakan pada waktu ini, dengan ada yang menarik perhatian bahawa gelombang jangkitan pada waktu ini kelihatan kurang serius berbanding gelombang-gelombang sebelum ini. 

Menjawab pertanyaan Mediacorp mengenai iklan pekerjaan tersebut, Encik Khor berkata syarikat tersebut "hairan" dengan desas-desus mengenai kemungkinan sekatan COVID-19 atau "perintah berkurung" dilaksanakan. 

"Kami ingin menggesa masyarakat awam supaya mematuhi pengumuman yang dibuat Kementerian Kesihatan (MOH)," tambahnya. 

Sedang gelombang XBB menyebabkan lebih ramai orang mengunjungi institusi-institusi jagaan kesihatan, Encik Khor berkata JobStudio membekalkan tenaga pekerja untuk membantu operasi seperti menyediakan khidmat pelanggan dan mengawal kesesakan. 

Apabila dicari online, JobStudio mempunyai pelbagai tempat kosong bagi duta Safe Entry, pemeriksa suhu ataupun pekerjaan-pekerjaan lain yang serupa. Iklan berkenaan menyenaraikan tugas-tugas seperti menyediakan khidmat pelanggan asas barisan hadapan, menguruskan tugas pemeriksaan, melakukan catatan data bagi pengisytiharan kesihatan dan tugas-tugas lain. 

Menurut Encik Khor, JobStudio mengambil hampir 50 pekerja bagi pekerjaan berkenaan. 

"Kami mengekalkan pasukan pekerja seramai 50 orang untuk dikerahkan dan memandangkan pekerja dijangka berhenti, kami akan memuat naik iklan bagi pekerjaan tersebut untuk menggantikan pekerja yang sudahpun berhenti," tambahnya.

Mediacorp sudahpun menghubungi syarikat-syarikat lain dengan iklan pekerjaan yang serupa untuk mendapatkan komen. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan