Pengambilan bagi kursus sarjana meningkat di 2 universiti, kian ramai graduan politeknik tidak kerja sepenuh masa
Sekurang-kurangnya dua universiti di sini menyaksikan kenaikan dalam bilangan rakyat Singapura yang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana.

Gambar hiasan. (Sumber: TODAY)
SINGAPURA: Sekurang-kurangnya dua universiti di sini menyaksikan kenaikan dalam bilangan rakyat Singapura yang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana. Ia susulan laporan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) bahawa golongan belia lebih cenderung untuk melanjutkan pengajian mereka ke peringkat lebih tinggi dan tangguhkan bekerja.
Laporan Awal Tenaga Buruh MOM, yang dikeluarkan semalam (30 Nov), menunjukkan kadar pengambilan pekerja merosot dalam tempoh setahun antara Jun 2016 dan Jun lalu bagi penduduk berusia antara 15 hingga 24 tahun.
Kadar pengambilan pekerja bagi golongan ini adalah 34.1 peratus pada bulan Jun, turun dari 35.8 peratus pada Jun 2016 dan 36.8 peratus pada Jun 2015.
Universiti Pengurusan Singapura (SMU) memberitahu Mediacorp bahawa terdapat sekitar 16 peratus lebih ramai siswazah sarjana tahun ini, satu pertambahan dari 818 orang pada tahun lalu kepada 947 orang tahun ini. Trend ini terus berlaku sejak tahun 2011.
Profesor Madya Themin Suwardy, dekan SMU bagi program-program sarjana, berkata bahawa mereka yang mengambil program sarjana "berkembang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini", kerana para pelajar mendapati bahawa ia dapat membantu mereka "memperluaskan rangkaian dengan individu yang mempunyai motivasi yang sama" .
Jurucakap dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata sepanjang tahun lalu, kira-kira ada tambahan 10 peratus warga Singapura sedang mengikuti pengajian sarjana, menjadikan jumlahnya kepada sebanyak 3,400 tahun ini.
Di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) pula, bilangan warga Singapura yang melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana "kekal stabil" - sekitar 3,000 mahasiswa tahun lepas dan tahun ini.
Bagi politeknik, data menunjukkan bahawa lebih ramai graduan bekerja sambilan, menjadi pekerja bebas atau sementara - naik dari 31 peratus pada 2015 kepada 34.8 peratus tahun lepas. Kebanyakannya menyatakan bahawa mereka ingin melanjutkan pelajaran. Statistik bagi tahun ini belum dikeluarkan.
PENEKANAN PADA PENINGKATAN KEMAHIRAN
Profesor Madya Randolph Tan, pakar ekonomi buruh dari Universiti Sains Sosial Singapura (SUSS), berkata bahawa negara ini memerlukan "tenaga kerja berkemahiran tinggi", tetapi keperluan ini "membentangkan cabaran baru bagi tenaga kerja milenial".
Walaupun generasi muda mempunyai kelayakan pendidikan yang lebih tinggi, terbuka untuk tingkatkan kemahiran, golongan ini juga mempunyai pandangan dan aspirasi yang berbeza, kata Prof Madya Tan. Ini bermakna dasar pemerintah harus memastikan bahawa tenaga kerja "mempunyai nilai yang diperlukan untuk ekonomi masa depan", dan pendidikan yang lebih baik akan menghasilkan tenaga kerja yang lebih kuat.
Beliau menambah: "Tenaga kerja Singapura mencapai tahap pendidikan yang lebih tinggi daripada sebelum ini. Ini menyediakan asas yang diperlukan untuk memenuhi keperluan ekonomi masa depan. Tetapi ini sahaja tidak mencukupi."
Profesor Chew Soon Beng, seorang pakar buruh dari NTU, berkata bahawa "ia satu petanda baik" jika golongan belia ingin belajar. "Orang ramai rasional dan mereka akan memilih untuk melanjutkan pelajaran agar lebih mudah untuk mendapat pekerjaan dengan pendapatan lebih tinggi," katanya.
'TIDAK BANYAK' PELUANG PEKERJAAN
Walau bagaimanapun, Dr Chua Hak Bin, seorang ahli ekonomi dengan Maybank Kim Eng, mencadangkan bahawa kadar pengambilan kerja yang berkurangan dalam kalangan golongan muda mungkin bermakna peluang pekerjaan "tidak begitu baik" bagi mereka, jadi mereka memilih untuk "melanjutkan pengajian mereka".
"Daripada mendapat pekerjaan sementara, mereka kembali ke sekolah," katanya.
Dr Chua juga berpendapat bahawa kadar pengambilan tenaga bagi belia boleh menjadi gambaran tentang lebih ramai di antara mereka yang memilih pekerjaan sementara atau separuh masa.
Tenaga kerja di sini tertakluk kepada cabaran penyusunan semula, kata seorang pegawai dari gerakan buruh. Encik Patrick Tay, penolong setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), mengatakan bahawa ini termasuk "perubahan akibat gangguan digital, digitalisasi, penggunaan robot dan mesin, serta kecerdasan buatan" pada tahun-tahun akan datang.
Mengulas mengenai penemuan lain pada laporan MOM, Encik Tay berkata walaupun kadar pengangguran penduduk pada 3.1 peratus, terdapat "tanda-tanda positif".
Dalam catatan Facebooknya semalam (30 Nov), beliau berkata kadar pengambilan pekerja bagi penduduk berumur 25 hingga 64 tahun terus meningkat kepada 80.7 peratus, adalah sesuatu yang menggalakan. Kadar pengangguran dalam golongan karyawan, pengurus, eksekutif dan teknisyen(PMET) juga menurun, bersama-sama dengan kadar pengangguran bagi jangka panjang.
"Ini menunjukkan bahawa inisiatif tiga pihak dalam pekerjaan dan peningkatan kemahiran pekerja menunjukkan hasil positif."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.