Pengamat politik: Isu pekerjaan, pendidikan dijangka dapat perhatian Rapat Umum Hari Kebangsaan
Ancaman di bidang ekonomi dari dalam dan luar negeri serta pendidikan dijangka mendapat tumpuan utama Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan, lusa.
SINGAPURA: Ancaman di bidang ekonomi dari dalam dan luar negeri serta pendidikan dijangka mendapat tumpuan utama Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan, lusa.
Para penganalisis sosial dan politik yang kami temui berkata pengamatan mereka itu berdasarkan trend yang digariskan PM Lee sejak kebelakangan ini serta apa yang beliau bayangkan dalam Amanat Hari Kebangsaan, minggu lalu.
EKONOMI MERUDUM & SEKTOR PEKERJAAN
Dengan keadaan ekonomi yang merudum akibat perang dagang antara China dan Amerika Syarikat, para penganalisis berkata Singapura juga pastinya tidak akan terlepas daripada tempiasnya.
Persoalannnya ialah - apakah dasar yang akan dilakar, bagi memastikan Singapura tidak ketingggalan di tengah-tengah ketidaktentuan ekonomi.
Lantaran itu, pengamat sosial dan politik yang ditemui berkata sektor pekerjaan adalah antara fokus utama yang dijangka dibentangkan dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan, lusa.
"Saya rasa Perdana Menteri Lee Hsien Loong akan menggunakan Rapat Umum Hari Kebangsaan ini untuk menegaskan dan menunjuk kepada rakyat Singapura termasuk masyarakat Melayu/Islam betapa pentingnya kepimpinan untuk negara Singapura.
"Dan kepimpinan itu akan diberikan pada saat ini, mereka sudah ada jawapan pada isu-isu atau masalah-masalah untuk penduduk Singapura, mereka rasa mereka ada jawapan dan skim-skim yang dapat dilaksanakan," kata Dr Mustafa Izzuddin, felo penyelidik bagi Institut Asia Selatan NUS.
Jangkaan tersebut turut diungkap oleh Zamil Penyelidik ISEAS, Dr Norshahril Saat: "Kita menjangkakan bahawa Perdana Menteri akan menyentuh sedikit sebanyak tentang aspek kemahiran dan ini mungkin adalah satu isu yang mungkin ditekankan dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan.
"Kita tahu bahawa Singapura sebagai sebuah ekonomi yang terbuka kita perlu bersikap competitive, kita tahu ada kemasukan warga asing misalnya, memenuhi keperluan pekerjaan."
Justeru, pelbagai bentuk bantuan seperti peningkatan kemahiran dan latihan semula bagi golongan pekerja dijangka akan disentuh dalam ucapan itu nanti.
LEBIH BANTUAN KEPADA BIDANG PENDIDIKAN
Malah, bantuan lebih meluas dijangkakan bagi semua segmen masyarakat dalam aspek pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke pengajian tinggi.
"Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh ibu bapa adalah tentang pendidikan anak-anak mereka dan kos kehidupan dan kos untuk mendapatkan kemahiran-kemahiran tertentu merupakan satu cabaran.
"Kita boleh menjangkakan bahawa isu ini akan dibincangkan oleh Perdana Menteri dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan nanti," tambah Dr Shahril lagi.
Namun apa yang pasti ialah PM Lee akan menyentuh mengenai cabaran perubahan iklim dalam Rapat Umum Hari Kebangsaan Ahad ini.
Singapura, kata beliau, harus memandang serius terhadap perubahan iklim kerana negara ini sebuah pulau yang berada di paras rendah dan terdedah kepada kenaikan paras air laut.
Beliau akan menyentuh tentang bagaimana Singapura akan menangani cabaran itu - sesuatu yang disokong kedua-dua pakar ini sebagai sudah "tiba masanya" ia dibincangkan dengan mendalam kerana ia menjejas kehidupan seharian penduduk Singapura dan generasi akan datang.
"Mungkin ucapan umum rapat hari kebangsaan ini ialah fungsinya memberitahu masyarakat tentang dasar-dasar pemerintah yang akan dijalankan dan kita tahu bahawa isu perubahan iklim ini adalah satu global dan mungkin rakyat belum sedar tentang natijah perubahan iklim ini dan kehidupan seharian mereka.
"Kerana ia sebenarnya terkait rapat dengan sebenarnya bukan hanya dari sudut geografi tapi perubahan iklim juga boleh menjejas ekonomi Singapura dan juga penakatan Singapura pada masa akan datang," ulas Dr Shahril.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.