Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengalaman warga S'pura berjumpa Pele di Piala Dunia

Sempena demam Piala Dunia, Encik Mohamed Ismail Ahmad tersenyum lebar mengenang kembali kemeriahan temasya di Perancis pada 1998 yang beliau tonton di depan mata tanpa perlu mengeluarkan sesen pun wang sendiri.  

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Setiap berlangsungnya Piala Dunia, Encik Mohamed Ismail Ahmad pasti tersenyum lebar mengenang kembali kemeriahan temasya di Perancis pada 1998.

Apa tidaknya, beliau berpeluang menonton pertandingan tersebut di depan mata tanpa perlu mengeluarkan sesen pun wang sendiri.

Encik Ismail berkongsi pengalamannya itu bersama BERITAMediacorp.

KUNJUNGAN KE COURTS BAWA KE PIALA DUNIA

Seluruh dunia kini heboh tentang Piala Dunia di Rusia yang melibatkan semua pasukan bola sepak terkemuka dunia.

Namun, bayangkan, 20 tahun lalu, Encik Ismail, 62 tahun, antara jutaan penonton yang berpeluang menyaksikan pesta bola sepak antarabangsa terulung di dunia itu.

Siapa sangka, kunjungannya ke Courts untuk membeli perkakas rumah barunya, akhirnya membawanya ke Perancis bagi Piala Dunia 1998.

Beliau seakan tidak percaya dapat ke Paris untuk menyaksikan Piala Dunia. Beliau berkongsi perbualannya bersama seorang pekerja Courts:

"Hello, ini courts? Ya Courts. Saya Ismail di sini. Betul ke saya adalah orang yang menang tiket Piala Dunia tahun ini?

"Ya, ya. Tahniah.

"Betulkah? Ini bukan cerita bohong?

"Ya betul Encik Ismail. Awak boleh datang pada hari Jumaat, jam 7 malam," Encik Ismail berkongsi perbualannya bersama BERITAMediacorp.

SEPERTI DURIAN RUNTUH, JUMPA BINTANG BOLA PELE

Pengalaman manis pada Piala Dunia tidak berhenti di situ saja.

Tuah Encik Ismail ibarat durian runtuh apabila beliau dapat bertemu dan beramah mesra dengan lagenda bolasepak Edson Arantes do Nascimento atau lebih dikenali sebagai Pele.

Begini kisah pertemuannya di Lapangan Terbang Paris, sewaktu dalam perjalanan pulang ke tanah air.

"Saya tiba dan beliau berada di tempat duduk VIP keseorangan, macam sedih muka dia sebab Brazil kalah, tetapi saya menghampiri beliau.

"Hello Encik Pele. Hello dia cakap balik kepada saya. Senang bertemu awak, saya cakap. Minta maaf, tapi malangnya Brazil kalah perlawanan semalam, tapi tak mengapa, tahun 2002 nanti Brazil akan menang, teka je lah, dia pun gembira.

"Awak nak apa sekarang? tanya beliau. Saya katakan kepadanya yang sebenarnya saya nak bergambar dengan beliau. Kemudian dia tanya kepada saya 'kami berdua sahaja ye, janji ye.

"Saya bawa keluar untuk bergambar, sekali apabila membawa dia keluar, jurukamera memetik gambar dia, boom, boom, boom!" kata Encik Ismail sambil tidak henti bergelak ketawa.

KENANGAN MANIS AKAN TERSEMAT SAMPAI BILA-BILA

Mulutnya masin kerana Brazil berjaya menjuarai Piala Dunia pada 2002, pasukan paling berjaya dengan mencatat rekod menjuarai kejohanan itu lima kali.

Yang pasti, meskipun 20 tahun sudah berlalu sejak pertemuan itu, ia tetap segar dalam ingatan Encik Ismail.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan