Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengalaman tukang urut tradisional Melayu S'pura dibukukan; usaha lestari seni perubatan tradisional

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Rawatan urutan secara tradisional telah menjadi satu amalan turun temurun dan kini terdapat usaha untuk melestarikannya daripada pupus ditelan zaman.

Itulah antara matlamat buku "Rencam Terapi Ragam Terapis – Urutan Kontemporari Terapis Melayu’.

Ia dilancarkan Menteri Negara Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim, di Perpustakaan Negara Woodlands siang tadi (4 Jun).

--

Ia ditulis dan disusun oleh wartawan veteran, Encik Saini Salleh dan ahli terapi profesional, Encik Abdul Latiff Ahmad,

Buku setebal lebih 200 halaman itu mengumpulkan pengalaman 22 ahli terapi Melayu setempat dan jenis-jenis rawatan yang mereka tawarkan.

"Dengan adanya buku ini, sasaran utama ialah para pembaca generasi muda. Jadi mereka tahu tentang seni urut Melayu Singapura yang kalau tidak dipulihara akan pupus. Dan pada masa yang sama, saya juga ada menekankan pentingnya para tukang urut menurunkan ilmu kepada generasi muda supaya ilmu urut Melayu ini tidak ditelan zaman.

"Pupus begitu sahaja. Sedangkan ia masih diperlukan oleh masyarakat ramai. Ini meskipun dunia dan perubatan semakin moden," kata Encik Saini.

Dalam ucapannya Dr Faishal berkata buku itu dapat boleh dijadikan satu khazanah tambahan dalam menjunjung warisan orang Melayu.

Tambah Dr Faishal, selain meningkatkan pengetahuan pembaca, khususnya generasi muda mengenai ilmu dan seni urut tradisional Melayu, buku itu juga boleh dimanfaatkan sebagai rujukan bagi orang ramai yang mungkin memerlukan khidmat tukang urut.

Antara yang dipaparkan termasuk Haji Bakri Abu Bakar yang mempunyai 40 tahun pengalaman dam perubatan tradisional dan pernah merawat pelakon-pelakon terkenal seperti Jean-Claude van Damme dan Jackie Chan.

Berbeza dengan buku-buku seni urut tradisional Melayu yang sudah sedia ada di pasaran, buku ‘Rencam Terapi Ragam Terapis – Urutan Kontemporari Terapis Melayu’ itu turut mengupas usaha para tukang urut Melayu Singapura untuk kekal relevan bagi memenuhi tuntutan pelanggan yang semakin rencam.

PERUBATAN WARISAN MELAYU DIHARAP LEBIH TERSUSUN

Bertepatan dengan usaha untuk melestarikan perubatan tradisional tempatan ke peringkat yang lebih tinggi dan bersistematik, Persatuan Perubatan Warisan Melayu (PPWM) dilancarkan pada 14 Februari lalu.

--

"Ini adalah satu bibit permulaan di mana tukang urut kita mula menulis buku. Kerana kita kurang buku-buku dalam bidang perubatan Melayu ini. Seringkali, perubatan Melayu tidak didokumentasikan tetapi kita mahu bukukan, seperti juga TCM dan Ayuveda," Ketua PPWM Encik Zainal Abidin Abdul Rahman

PPWM juga kata beliau berharap dapat menarik golongan generasi muda untuk melestarikan warisan seni urut Melayu.

Lantaran itu, beliau berharap para tukang urut mampan tempatan dapat bekerjasama dan menawarkan latihan formal, di samping memperbanyakkan buku-buku tentang seni urut tradisional Melayu.

Antara yang diusahakan adalah kursus-kursus formal seperti dalam perubatan tradisional Cina (TCM) .

Buku ‘Rencam Terapi Ragam Terapis – Urutan Kontemporari Terapis Melayu’ itu bakal disediakan untuk perpustakaan merata negara sebagai bahan rujukan kelak.

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan