Pengalaman tidak boleh ‘Grab’: Fatimah Mohsin tawarkan kelainan pikat pelanggan ke restoran baharu
Beliau bukan sekadar membuka restoran, tetapi ‘menjual pengalaman’. Ini sesuatu yang, katanya, bukan asal boleh 'Grab'.
Usahawan berani ini secara rasmi membuka pintu restoran baharunya, 555 Busking Halal Thai, yang terletak di 5 Telok Paku Rd kepada orang ramai pada Ahad (11 Jan).
Jika nama restoran itu membuat anda tertanya-tanya seolah-olah 'macam pernah dengar tetapi di mana?’, anda tidak silap.
Restoran ini boleh dikatakan ‘comeback’ Fatimah Mohsin selepas dua tahun sejak perniagaan makanan dan minuman (F&B) pertama beliau, 555 Halal Thai di Gallop Kranji Farm Resort, ditutup.
Malah, berbekalkan iktibar daripada perniagaan lalu dan pengalaman dalam bidang F&B, Fatimah 'muncul semula' dengan strategi yang lebih matang: pengalaman, masyarakat, dan KPI 3 bulan.
Fatimah memberitahu BERITA Mediacorp, aspirasi usaha kali ini bukan hanya tentang keuntungan semata-mata. Sebaliknya, beliau mahu membina ruang yang menawarkan rasa tenang kepada para pengunjung, khususnya dalam rutin hidup yang semakin sibuk.
“Saya rasa dengan 27 tahun dalam perniagaan, tekad saya terlalu kuat. Oleh sebab itu, saya katakan kita perlu buat sesuatu. Alhamdulillah, di tempat yang baharu ini… saya rasa amat unik. Sesuatu yang kita belum nampak,” kata Fatimah, sambil merujuk kepada lokasi restoran baharunya, dengan persekitaran yang menghijau.
“Bila meningkat usia, lain objektif kita… nampak kehijauan terus rasa segar semula, rasa gembira. Kalau saya boleh rasa seperti itu, saya nak orang yang datang makan di sini pun dapat rasa kepuasan itu. Dapat santai, angin sepoi-sepoi… betul-betul beri rasa tenang dalam hidup yang sibuk,” tambah beliau.
CABARAN KOS: SEWA, TENAGA KERJA BOLEH TUMBANGKAN PERNIAGAAN
Fatimah turut mengakui bahawa landskap F&B di Singapura sememangnya mencabar. Kos sewa dan tenaga kerja, katanya, sering menjadi faktor utama yang boleh menggugat kelangsungan sesebuah operasi.
“Kos tenaga manusia, sewa, itu yang betul-betul kadang-kadang menjatuhkan perniagaan. Tapi, ini adalah faktor-faktor yang kita tidak boleh hentikan. Kos tetap kos,” ujar beliau, yang juga memiliki sebuah restoran dim sum halal, Loong Dimsum.
Lantaran itu, strategi beliau kali ini turut menekankan aspek sokongan masyarakat dan kerjasama rakan niaga, termasuk hubungan baik dengan pihak tuan tanah.
“Kita mahu mengatasinya dengan mengajak lebih ramai orang tahu tentang kita dan datang ke sini menyokong kita. Apabila ada ramai pelanggan sedemikian, boleh kita menampung perniagaan kita.
“Bila kita buat sesuatu, kita betul-betul nak buat dengan sebaik mungkin dan masyarakat nampak dan akan datang beri sokongan. Dengan sokongan kuat mereka, insya- Allah kita akan bertahan,” Fatimah memberitahu BERITA Mediacorp.
“Saya berharap, kali ini tuan tanah akan berpuas hati dengan apa yang kita akan buat kerana seluruh ruang ini adalah kerjasama para pemain yang berpengalaman dalam pasaran,” kata beliau.
Rakan niaga Fatimah dalam operasi restoran berkonsep Thai ini adalah suaminya sendiri, Encik Shahary Ahmad, dan Encik Farmes Ong, yang berpengalaman mengendalikan perniagaan makanan Thai selama lebih 10 tahun.
Menyentuh tentang perubahan ketara pada tabiat pelanggan pascapandemik, Fatimah berkata ramai yang semakin selesa makan di rumah dan bergantung kepada khidmat penghantaran makanan.
Namun beliau percaya, pengalaman makan di luar masih boleh dipulihkan jika sesebuah restoran berhasil menawarkan sesuatu yang berbeza.
“Pelanggan hari ini semua tak nak keluar. Semua ‘Grab, Grab, Grab’. Tapi pengalaman macam ini tak boleh ‘Grab’… duduk di sini rasa santai, makan, rasa macam betul-betul dekat Phuket,” seloroh beliau, sambil merujuk kepada pesona konsep persekitaran sedemikian.
“Saya nak orang keluar, bergaul, eratkan hubungan kekeluargaan… kalau semua dekat WhatsApp sahaja, lama-kelamaan macam tak seronok. (Tambahan lagi) hidangan ikan siakap masak Chu Chi Spicy Thai Curry, ikan stim dari restoran saya, (kalau) bawa balik dah tak ‘best’.
"Jadi, usaha untuk bina masyarakat dan eratkan hubungan kekeluargaan memang sesuatu yang saya cuba perjuangkan,” kata beliau lagi.
MENGEMBANGKAN NIAGA DENGAN NILAI TAMBAH
Walaupun namanya sering dikaitkan dengan jenama premium, Fatimah menegaskan, fokusnya adalah untuk masyarakat, dengan harga yang berpatutan dan pengalaman yang boleh dinikmati oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya bukan hanya mahu melayani golongan yang gemar makan mewah atau ‘fine dining’ sahaja… sebaliknya saya mengutamakan masyarakat kita. Semua orang boleh menikmatinya dengan harga yang berpatutan,” katanya lagi.
“Kita bukan perniagaan berbilang cawangan… kita ambil satu tahun untuk stabilkan perniagaan. Cara untuk kembangkan diri kita adalah menerusi nilai tambah kepada khidmat yang ditawarkan,” ujar beliau.
Jenama Fatimah Mohsin memang sinonim dengan majlis perkahwinan. Lantaran itu, lokasi restoran 555 Busking Halal Thai turut menawarkan ruang terbuka untuk menganjurkan majlis perkahwinan yang intim dan estetik sebagai salah satu nilai tambah yang ditawarkan.
KPI, SEMAKAN SETIAP 3 BULAN
Berbeza dengan naratif “bangkit semula” yang sering dikaitkan dengan kegagalan, Fatimah memilih untuk menyentuh tentang disiplin perniagaan - termasuk pentingnya pelan luar jangka atau ‘contingency plan’ sebagai langkah pengurusan risiko.
“Dalam perniagaan perlu ada pelan keluar. Tentu sekali saya ada pelan keluar selepas tempoh tertentu. Apabila operasi perniagaan boleh bergerak sendiri. Saya boleh berada di belakang untuk mudah-mudahan meraih keuntungannya.
"Apabila kitaran perniagaan sedang berada di atas, jika kita sendiri keluar, kita tidak akan alami kerugian dari segi kewangan.
“Pada masa yang sama kita perlu ada KPI, kita perlu ada perancangan. Kali ini kita tengok prestasi setiap tiga bulan. Tiga bulan, enam bulan. Lepas setahun baru kita akan tahu kestabilan perniagaan. Sejauh mana kita boleh pergi,” katanya.
Hakikatnya, dunia perniagaan tidak terlepas daripada risiko, namun menurut Fatimah, keberanian untuk mencuba harus diiringi dengan tawakal dan perancangan.
“Sebagai seorang usahawan, kalau kita tidak mencuba, kita tidak akan tahu. Dalam perniagaan, kita betul-betul kena tawakal,” ujarnya.
KEUNIKAN 555 BUSKING HALAL THAI
Restoran baharu ini terletak di pekarangan The Bus Collective, iaitu sebuah resort di tengah-tengah Changi Village yang mempunyai 20 bas lama yang diubah suai menjadi bilik-bilik suite mewah.
Bagi mereka yang menggemari hiasan unik dan estetik, lokasi ini memang mengundang anda untuk berswafoto sepuas hati!
Ditambah pula dengan aroma luar biasa daripada menu hidangan Thai seperti Ikan Siakap dimasak Chu Chi Spicy Thai Curry (dihidang dengan 10 roti mantou), ayam basil, ayam goreng garing Hat Yai, salada mangga dan lain-lain.
Ini mungkin boleh menjadi salah satu lokasi kunjungan seisi keluarga untuk mencipta memori baharu, sekali gus mengeratkan silaturahim.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.