Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengalaman sertai misi bantuan Gaza Palang Merah Singapura bakar semangat relawan untuk terus berbakti

Apabila peluang untuk menyertai misi bantuan Gaza Palang Merah Singapura (SRC) di Mesir pada bulan lalu terbuka, Encik Muhammad Hanafi Rahmat, 34 tahun, beliau tidak teragak-agak untuk menyertainya.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Apabila peluang untuk menyertai misi bantuan Gaza Palang Merah Singapura (SRC) di Mesir pada bulan lalu terbuka, Encik Muhammad Hanafi Rahmat, 34 tahun, beliau tidak teragak-agak untuk menyertainya.

Beliau dalam kalangan sembilan sukarelawan SRC yang ke Kaherah pada 22 April lalu untuk mengikuti misi bantuan kemanusiaan Gaza.

Misi selama seminggu itu adalah yang pertama melibatkan para sukarelawan awam.

Sebelum ini, Encik Hanafi pernah menyertai tiga misi bantuan kemanusiaan di luar negara.

Misi bantuan kemanusiaan di luar negara pertama beliau adalah di Kelantan, Malaysia.

Encik Hanafi berkata: "Misi pertama saya bersama Majulah Community, sebagai relawan biasa. Di sana, kita membuat misi kemanusiaan untuk mangsa-mangsa banjir pada tahun 2014. Di situ, kita membawa perkakas penapisan air untuk membersihkan air di sana, kita agihkan makanan dan barangan sumbangan dari Singapura juga."

BANTU PEROLEH BARANGAN KEPERLUAN DAN SIAPKAN PEK BANTUAN

Semasa di Kaherah, Encik Hanafi dan para sukarelawan awam yang lain bekerja rapat dengan anggota-anggota Bulan Sabit Merah Mesir (ERC).
"Kami berpeluang untuk bekerjasama dengan ERC untuk membungkus pek-pek makanan harian yang akan dihantar ke Gaza. Pek-pek itu dapat bertahan untuk setiap keluarga untuk seminggu. Kami dalam masa suntuk dapat menyiapkan beberapa ratus pek untuk keluarga-keluarga di Gaza," kata Encik Hanafi, seorang jurutera.

Selain itu, mereka diberi tanggungjawab memperolehi barangan keperluan dan makanan yang dijangka dapat membantu lebih 9,000 keluarga untuk selama lima hingga tujuh hari.

Mereka juga mencari barangan untuk wanita dan kanak-kanak, termasuk keperluan untuk musim sejuk.

"Kami perlu berkomunikasi dengan orang luar untuk pergi ke kedai, perlu tanya harga, harganya kalau kami membeli dalam kuantiti banyak, mana untuk dapatkan sumber barangan ini, seperti makanan. Kami perlu cari gudang. Bagaimana pula untuk membungkus barangan? Kami perlu bandingkan harga," ujar Encik Hanafi.

Encik Hanafi yang mempunyai penguasaan asas dalam bahasa Arab membantu anggota pasukan yang lain untuk berkomunikasi dengan para relawan ERC dan masyarakat di Mesir.

"Bahasa adalah satu cabaran untuk semua orang kerana mereka tidak menggunakan bahasa Arab standard, mereka menggunakan bahasa Arab seperti loghat Mesir, susah hendak faham. Kemahiran bahasa Arab saya juga tidak begitu baik.

"Kami perlu gunakan pertolongan menerusi wadah online dan juga daripada para relawan Mesir yang boleh berbahasa Inggeris. Dalam kalangan 20 relawan yang kami temui, hanya dua atau tiga yang dapat bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih," kata Encik Hanafi.

PENGALAMAN DI KAHERAH BAKAR SEMANGAT UNTUK TERUS BERBAKTI

Pengalaman di Kaherah itu menjadi pembuka mata kepada krisis kemanusiaan yang genting akibat perang Israel-Hamas yang berlanjutan.

Peluang bertemu dan mendengar sendiri pengalaman para relawan ERC yang tetap bersemangat untuk terus menyumbang tenaga meskipun dilanda pelbagai dugaan hidup membakar semangat Encik Hanafi untuk terus berbakti.
 
"Ramai relawan ERC adalah bekas penduduk Palestin juga. Ada sesetengah mereka daripada Gaza dan mereka menetap di Kaherah. Mereka kehilangan keluarga.

"Ini adalah misi yang besar. Walaupun kami tak dapat meluangkan masa yang banyak dengan para relawan ERC, kami dapat membina hubungan erat dengan para sukarelawan di sana. Ini sangat penting untuk misi-misi akan datang, untuk memudahkan usaha kami untuk membantu rakyat Palestin," kata Encik Hanafi.

Menurutnya, beliau sedia berkhidmat dalam misi bantuan seterusnya jika diperlukan.
Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan