Pengalaman, pendedahan mengajar di luar negara akan perkaya sektor pendidikan SG
Apabila pertama kali berpindah ke Hong Kong untuk bekerja, Encik Lim Wei Yi merindui Singapura selama tiga bulan. Selepas sedekad mengajar di Sekolah Gan Eng Seng, lelaki berusia 37 tahun itu berjaya mendapatkan tempat di Sekolah Antarabangsa Singapura di Hong Kong (SISHK), meninggalkan suasana yang sudah terbiasa bagi dirinya untuk menimba pengalaman baharu di luar negara.
Pengetua Sekolah Antarabangsa Singapura di Hong Kong (SISHK), Tony Low, semasa menyertai sebuah bengkel bersama ibu bapa dan para pelajar sekolah itu pada Februari 2026. (Gambar: Tony Low)
Kini memasuki tahun kedua di sana, Encik Lim sudah menyesuaikan diri dengan kehidupan di bandar itu. Namun beliau akur bahawa tempoh awal bukanlah sesuatu yang mudah.
Encik Lim adalah antara sekitar 30 guru Kementerian Pendidikan (MOE) yang kini bertugas di luar negara, mengajar di SISHK serta pelbagai lokasi Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) di luar negara. MOE mempunyai sekitar 33,000 guru secara keseluruhannya.
Hong Kong menempatkan salah satu masyarakat Singapura di luar negara yang terbesar di Asia, dengan lebih 20,000 penduduk.
"Secara amnya, para guru perlu berkhidmat di MOE sekurang-kurangnya selama tiga tahun serta memiliki kepakaran dan pengetahuan yang diperlukan sebelum dipertimbangkan bagi penempatan seperti ini," kata jurucakap MOE kepada Mediacorp.
Selain menyediakan peluang pembangunan profesional kepada para guru, aturan tersebut juga membantu memastikan para pelajar Singapura di luar negara dapat "berintegrasi dengan lancar dalam sistem pendidikan Singapura apabila mereka pulang ke tanah air kelak", tambah jurucakap itu.
SISHK mengadakan sesi kenal suai bagi menyokong guru-guru yang ditempatkan di sekolah itu, yang mengajar mata pelajaran termasuk Bahasa Inggeris, matematik, sains dan ilmu kemanusiaan di peringkat rendah serta menengah.
Bagi para guru yang ditempatkan di lokasi SAF, tempoh bimbingan selama dua minggu merupakan sebahagian daripada proses penyesuaian, menurut jurucakap Kementerian Pertahanan (MINDEF). SAF mempunyai detasmen di Perancis, Amerika Syarikat dan Australia.
Para guru juga diberi taklimat mengenai hal-hal pentadbiran seperti pelibatan ibu bapa, sumber pengajaran dan penyusunan jadual. "Ini akan memastikan para guru bersedia secukupnya untuk menggalas peranan mereka di lokasi SAF," kata MINDEF.
PERTUMBUHAN DAN PEMBANGUNAN
Bagi Cik Ong Shir Ling, ketua jabatan sains peringkat rendah di SISHK, pemindahan itu merupakan keputusan yang dibuat secara sukarela bagi mengelakkan rasa seakan-akan terhenti di satu tahap. Selepas 25 tahun bergelar pendidik, beliau mahukan perubahan persekitaran untuk merangsang semula minatnya terhadap bidang pengajaran.
Beliau telah berbincang dengan guru-guru yang pernah ditempatkan di SISHK sebelum membuat keputusan tersebut, namun tetap mendapati dirinya perlu belajar sambil bekerja sebaik sahaja tiba di sana.
Pengetua SISHK Tony Low, yang memegang jawatan itu sejak Disember tahun lalu, menyifatkannya sebagai "penempatan yang diimpikan". Beliau sebelum ini adalah pengarah zon sekolah-sekolah MOE di bahagian timur dan pernah menjadi pengetua di dua sekolah menengah.
"Selepas lebih 30 tahun berkhidmat di MOE dan sekitar 20 tahun sebagai pemimpin sekolah, peluang ini memberikan perspektif yang sangat unik untuk saya mengaplikasikan pengalaman dalam konteks yang baharu," kata beliau yang berusia 60 tahun.
Tempoh penempatan lazimnya selama tiga tahun bagi guru dan sekitar lima tahun bagi mereka yang memegang jawatan kepimpinan, dengan lanjutan tempoh bergantung kepada keperluan operasi.
Penginapan serta elaun luar negara bagi menampung perbelanjaan dan bil turut disediakan oleh MOE.
Bagi para pendidik yang ditempatkan di SISHK, Hong Kong dianggap tempat yang agak selesa terutamanya disebabkan oleh identiti dan budaya Asia yang sudah terbiasa bagi mereka.
NILAI RAKYAT SINGAPURA DI LUAR NEGARA
Para pendidik tersebut berkata mereka membawa perspektif pendidikan yang unik dari Singapura sepanjang tempoh penempatan mereka di luar negara.
Encik Lim merujuk kepada Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE), yang bertujuan untuk memupuk nilai seperti rasa hormat, tanggungjawab dan daya tahan dalam kalangan pelajar.
"Idea pendidikan yang holistik dan moral memainkan peranan besar bagi kami, baik sebagai pelajar mahupun semasa latihan sebagai guru. Itulah antara nilai penting yang kami bawa ke sini, iaitu memahami bagaimana untuk menjadi insan yang baik," kata beliau.
Kurikulum matematik dan sains Singapura juga menjadi satu tarikan, kata Cik Ong. "Sekolah ini (SISHK) menggunakan kurikulum tersebut dan ibu bapa sememangnya mengalu-alukannya. Malah, ada yang memilih sekolah ini kerana kami menggunakan sukatan pelajaran matematik dan sains dari Singapura."
Beliau berkata daya tarikannya terletak pada pendekatan yang tersusun dan disokong oleh panduan dan sumber pengajaran yang jelas.
Encik Low berkata manfaat penempatan itu diperoleh kedua-dua pihak.
"Ia memberi peluang kepada guru-guru dari Singapura untuk mengasah kemahiran, membina portfolio serta menambah pendedahan dan pengalaman sebelum membawa semuanya pulang ke Singapura," kata beliau.
Para pemerhati industri pendidikan turut memberitahu Mediacorp bahawa para guru boleh membawa pulang pengalaman yang diraih semasa mereka bertugas di luar negara untuk membantu memperkukuhkan landskap pendidikan Singapura apabila mereka kembali ke tanah air kelak.
"Bidang pendidikan Singapura mendapat manfaat daripada pengalaman guru-guru yang terdedah kepada persekitaran dan konteks berbeza di luar negara," kata Encik Edmund Lin, konsultan utama Singapore Education Consulting Group.
"Sebagai contoh, para pendidik Singapura boleh mempelajari amalan baik dan idea berguna dari Hong Kong ketika mereka bertugas di SISHK."
Para pemerhati turut menyatakan bahawa guru yang menyertai penempatan luar negara juga mendapat manfaat di peringkat peribadi.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Singapore Education Network (Rangkaian Pendidikan Singapura, Michael Klemm berkata pembangunan guru MOE perlu dilengkapi dengan pengalaman kehidupan sebenar di luar persekitaran sekolah, termasuk mempelajari kaedah pengajaran baharu di luar sistem MOE.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.