Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengalaman ngeri tudung tersangkut pada roda ketika main 'gokart' di Batam

Masih segar lagi dalam ingatan Cik Nur Era Syabanie Rosli, 26 tahun, insiden menggerunkan yang dilalui ketika bermain 'gokart' di Batam pada tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Masih segar lagi dalam ingatan Cik Nur Era Syabanie Rosli, 26 tahun, insiden menggerunkan yang dilalui ketika bermain 'gokart' di Batam pada tahun lalu.

Kejadian berlaku pada 30 Disember 2023 di 'Golden City Go Kart' di daerah Bengkong, Batam ketika beliau bercuti bersama keluarga sempena tahun baharu.

Cik Era yang memegang lesen motosikal sudah dua kali bermain 'gokart' tetapi pengalaman di Batam itu adalah yang pertama di luar negara.

"Ketika bermain 'gokart' itu, tudung saya terbang. Masa itu adik saya sudah nampak yang tudung itu sudah terbang, dia sudah pekik tapi saya tidak boleh dengar. Selepas itu, apabila saya hendak memandu laju lagi, bahagian belakang tudung itu tersangkut pada tayar belakang 'gokart'. Apabila tersangkut di tayar, seluruh kepala saya berpaling ke bahagian kiri," cerita beliau kepada wartawan Syawal Yusoff.

Beliau juga terkejut apabila mendapat tahu itu bukan kali pertama kejadian sedemikian berlaku.

"Selepas kejadian itu berlaku, pekerja di situ memberitahu dengan saya yang perkara itu pernah terjadi sebelum saya. Saya terfikir jugalah kalau pernah terjadi kenapa mereka tidak menekankan tentang keselamatan? Kalau mereka beritahu saya awal, saya boleh lebih berwaspada dengan tudung saya," ujarnya.

Cik Era tampil untuk berkongsi pengalaman di bermain gokart di 'Golden City Go Kart' menyusuli berita tentang kemalangan maut melibatkan seorang warga Singapura pada minggu lalu.

Dalam insiden itu, Allahyarhamha Arini Mohamed Adinan meninggal dunia selepas topi keledar yang dipakainya tercabut sementara rambut panjangnya pula terlilit dan tersangkut pada 'gokart' yang dipandunya.
"Saya macam sedih jugalah dengar berita itu kan. Kemudian saya terfikir balik perkara itu mungkin boleh berlaku kepada saya juga," kata Cik Era dengan penuh simpati.

KEPENTINGAN MENDAPATKAN PERLINDUNGAN INSURANS PERJALANAN.

Akibat kemalangan itu, hampir separuh kulit di bahagian leher Cik Era koyak dan meninggalkan parut.

Selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Batam, beliau turut menerima rawatan di hospital Singapura apabila pulang ke tanah air.

Mujur kos perubatannya dilindungi insurans peribadi yang beliau miliki.

Beliau juga boleh berasa lega kerana tidak perlu melakukan sebarang prosedur seperti 'skin grafting' atau 'mencantum kulit' kerana diberitahu kulitnya akan pulih seperti biasa.

Namun, trauma yang dialaminya itu meninggalkan 'parut' yang lebih mendalam dan akan mengambil masa untuknya membina keyakinannya semula.

"Secara jujurnya, saya sudah seriklah, apa-apa saya hendak buat sekarang kena fikir dua kali. Takut benda macam begini akan terjadi lagi. Macam sudah terfikir lagi pun hendak bermain 'gokart' sekarang," tambahnya.

Cik Era berpendapat amalan pengurusan keselamatan pengendali 'gokart' di Singapura lebih ketat.

"Di Singapura, mereka (pengendali) akan beritahu tentang langkah-langkah keselamatan. (Di Batam) Mereka (pengendali) tidak beri taklimat keselamatan pun. Kita sudah bayar kemudian mereka memberikan jaring rambut dan topi keledar dan menunggu giliran," kata ibu kepada seorang anak itu.

DAPATKAN INSURANS PERJALANAN WALAUPUN KE NEGARA BERHAMPIRAN

Sememangnya, malang tidak berbau.

Maka itu, penasihat kewangan bebas dan pengasas Modern Muslim Finance, Encik Syed Afiq Syed Ismail, menekankan kepentingan mendapatkan perlindungan insurans sebelum ke luar negara, biarpun ke negara-negara berhampiran seperti Malaysia dan Indonesia.

"Sebab kita sudah merentasi sempadan. Kemalangan boleh terjadi tidak boleh dijangka. Bila-bila masa dan di mana-mana, bukan?" jelas beliau.

Selain kemalangan, perlindungan insurans perjalanan juga menawarkan perlindungan terhadap sebarang kejadian rompakan dan kehilangan harta benda.

Encik Afiq juga menekankan kepentingan tersebut lebih-lebih lagi jika melibatkan aktiviti lasak.

"Walaupun kita hendak buat aktiviti lasak ataupun tidak, perlu beli insurans perjalanan. Tetapi insurans perjalanan yang ada, bukannya sama. Ada perlindungan rendah, ada perlindungan agak tinggi. Ada pengecualian yang kata kalau aktiviti lasak dan sukan ekstrem, ia tidak melindungi. Jadi kita perlu pastikan insurans kita merangkumi risiko yang mungkin berlakulah semasa aktiviti lasak atau sukan ekstrem.

Insurans perlindungan perjalanan juga menawarkan ketenangan fikiran bagi kejadian-kejadian lain yang tidak diingini.

"Dengan insurans perjalanan, kita ada ketenangan fikiran. Apa lagi melindungi kos yang tidak dijangka. Kos perubatan atau kehilangan harta benda. Jadi kos ini boleh meningkat kalau kita lama di hospital," kata Encik Afiq yang mempunyai lebih 13 tahun pengalaman dalam bidang kewangan.

PENTING UNTUK SIMPAN RESIT; SURAT DOKTOR

Selain insurans perjalanan, Encik Afiq berkata terdapat beberapa lapisan yang akan dipertimbangkan syarikat-syarikat insurans apabila terjadinya kemalangan.

"Lapisan pertama semasa anda melancong, ialah insurans perjalanan. Kalau tidak ada insurans perjalanan, kita akan melihat insurans peribadi yang seseorang itu yang sedia ada. Sama ada untuk kemalangan peribadi atau pelan kemalangan peribadi dengan perlindungan seluruh dunia.

"Kalau ada perlindungan untuk seluruh dunia, kalau berdasarkan kemalangan, boleh membuat tuntutan. Tetapi kalau kita meninggal akibat penyakit, atau sebab-sebab semulajadi, pelan kemalangan peribadi tidak akan bayar. Kemudian syarikat akan tengok pelan tempoh atau sepanjang hayat yang ada. Perlindungan untuk kematian akan bergantung sama ada ia untuk seluruh dunia atau tidak. Biasanya, ia harus meliputi seluruh dunia," jelas Encik Afiq.

Beliau menasihatkan agar semua dokumen penting dan resit disimpan bagi memudahkan proses tuntutan insurans.

"Resit ini patut disimpan. Minta memo daripada doktor di negara lain. Apabila sudah pulang ke Singapura. Jika ia bukan satu kecemasan, tidak apa. Tidak payah hubungi syarikat insurans itu serta merta. Pulang ke Singapura, buat tuntutan, hantar tuntutan itu online," tambahnya.

Bagi melancarkan proses tuntutan, beliau menasihatkan untuk membuat tuntutan dalam tempoh 30 hari selepas kejadian.
Sumber : BERITA Mediacorp/SY
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan