Pengalaman membesarkan anak dengan autisme dorong Faraliza Zainal bantu keluarga bergaji rendah dengan anak berkeperluan khas
(Gambar: MIJ Hub)
SINGAPURA: Cik Faraliza Zainal dan anak lelakinya yang masih kecil menangis teresak-esak.
Mereka baru sahaja tiba di sebuah taman berdekatan untuk bermain apabila hujan mula turun. Memandangkan rancangan mereka itu tidak dapat diteruskan, Cik Faraliza membawa anak lelakinya ke kereta mereka - tetapi dia enggan berbuat demikian.
Ia mengambil masa yang lama untuk memujuk anak lelakinya itu. Semasa dalam perjalanan pulang ke rumah, Cik Faraliza rasa buntu dan mula menangis.
"Apa yang awak nak?" teriak Cik Faraliza pada anaknya itu. Anaknya itu bagaimanapun terus menangis selama dua jam dan tidak membalas pertanyaan ibunya.
Cik Faraliza sebelum itu tidak dapat menerima hakikat bahawa anak lelakinya itu mengalami autisme, yang lazimnya boleh dilihat menerusi kelengahan bertutur atau kurang berkomunikasi semasa peringkat awal kanak-kanak.
Autisme biasanya didiagnosis semasa seorang kanak-kanak berusia tiga tahun, dengan gejalanya biasanya dilihat pada 18 bulan.
Insiden di taman itu mendorong Cik Faraliza untuk mengikuti kursus tentang cara-cara menguruskan kanak-kanak berkeperluan khas dan beliau kemudian menubuhkan pertubuhan bukan untuk mengaut keuntungan - My Inspiring Journey (MIJ) Special Education Hub - untuk membantu kanak-kanak seperti anak lelakinya, Mohd Ashraf Mohd Ali.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Cik Faraliza sudah memperluaskan usahanya untuk menyediakan makanan kepada sekitar 30 keluarga berpendapatan rendah yang mempunyai anak-anak berkeperluan khas, seperti kelengahan pembangunan dan sindrom Down. Ramai daripada mereka merupakan bekas murid hab pendidikan yang ditubuhkannya.
Kempen 'Takeout' kini memasuki tahun keempat, tetapi kekurangan dana tahun lalu mendorong Cik Faraliza dan pasukannya untuk mengurangkan penghantaran makanan dari setiap minggu kepada sebulan sekali.
Tahun ini, sepanjang Ramadan, mereka kembali menghantar juadah berbuka puasa setiap hujung minggu kepada keluarga-keluarga di merata Singapura. Jumlah juadah yang disiapkan Cik Faraliza dan pasukannya adalah sekitar 170 bungkus makanan setiap hari bagi tempoh selama lapan hari.
PENGALAMAN KELUARGA CIK FARALIZA DENGAN AUTISME
Selain autisme, yang memerlukan sesi terapi yang agak mahal, anaknya, Ashraf turut mengalami penyakit skelerosis tuberus yang menyebabkan sawan epilepsi. Ini bermakna mereka kerap ke hospital.
Apabila Ashraf mula menghadiri kelas agama dengan adik perempuannya, keadaan bertambah buruk. Rakan sedarjah Ashraf memanggilnya "gila" sehinggakan budak lelaki itu bersembunyi di bawah meja.
Prihatin tentang kesihatan mentalnya, Cik Faraliza memutuskan untuk menggugurkan Ashraf daripada kelas tersebut. Ashraf bagaimanapun melihat betapa adik perempuannya itu berseronok di dalam kelas agama tersebut dan bertanya sama ada dia boleh terus mengikutinya.
Pada waktu itu, Cik Faraliza sudah berhenti kerja dan menubuhkan Hab MIJ pada 2011, menawarkan kelas agama setiap hujung minggu bagi kanak-kanak berkeperluan khas. Ia kemudian diperluaskan untuk merangkumi golongan berkeperluan khas yang berusia antara dua hingga 30 tahun dari pelbagai latar belakang.
Kini, terdapat lebih 300 pelajar di bawah program yang disediakan di tiga cawangannya di Geylang Serai, Woodlands dan Jurong. Program-program itu termasuk pusat aktiviti harian, penjagaan pelajar inklusif dan program persiapan kerja bagi orang dewasa.
Kata Cik Faraliza: "Kami menyaksikan MIJ berkembang apabila Ashraf semakin membesar kerana apabila keperluannya berkembang, terdapat permintaan untuk mendaftarkannya di sebuah sekolah di mana dia berasa selesa dan selamat."
Pada 2018, MIJ menubuhkan Ashraf's Cafe di bangunan yang sama dengan bekas premis MIJ di 168 Changi Road, menjual makanan Barat pada harga yang berpatutan.
Kedai makan perusahaan sosial itu menggajikan dan melatih pekerja berkeperluan khas supaya mereka boleh memasak, menghidangkan makanan dan menimba kemahiran sosial dalam persekitaran yang selamat.
Namun, ia melabuhkan tirainya tahun lalu ekoran pandemik COVID-19 yang menjejas teruk perniagaan itu dan tempoh pajakannya pula tamat tempoh.
Ia kini mengambil tempahan online dan MIJ juga menubuhkan gerai di kantin Sekolah Perempuan Methodist.
Hasil idea Cik Faraliza, beliau kemudian melancarkan The Takeout Campaign pada Oktober 2020. Pasukannya sebelum itu menjalankan tinjauan dalam kalangan pelajar berpendapatan rendah dan mendapati ramai daripada mereka hanya makan sekali sahaja dalam sehari.
"Begitulah kami melancarkan kempen itu. Saya pernah mengalami detik sebegitu," katanya.
"Kedudukan kewangan yang sempit, makanan tidak baik. Kami tidak boleh makan di luar, kami tidak boleh makan makanan yang lazat dan berkhasiat."
MIJ kemudian menghantar makanan sehingga tiga kali seminggu dan menerima maklum balas positif. Kata Cik Faraliza, sesetengah keluarga menyimpan bungkusan makanan itu untuk dimakan pada sebelah malam.
Meskipun keadaan keluarga Cik Faraliza sudah bertambah baik, beliau menitipkan nasihat kepada ibu bapa dengan anak berkeperluan khas: Jangan mengambil terlalu lama untuk menerima anak anda seadanya.
"Saya melakukan kesilapan itu selama dua tahun. Saya menyedari intervensi awal sangat penting," tambahnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.