Skip to main content

Singapura

Pengalaman, cabaran ibu muda didik anak kecil erti Ramadan

Anggaran Waktu Membaca:
Pengalaman, cabaran ibu muda didik anak kecil erti Ramadan

Wartawan Ira Musfirah bersama dua anaknya. (Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Mar 2024 11:26PM Dikemas Kini : 14 Mar 2024 12:53AM
SINGAPURA: Mendidik anak kecil erti Ramadan biasanya termasuk mengajarnya untuk berpuasa atau menahan lapar dan dahaga selama beberapa jam dalam sehari.

Malah ini juga seringkali melibatkan "ganjaran" seperti kudapan atau minuman yang enak, selepas berjaya berpuasa bagi tempoh yang ditetapkan.

Namun bagi seseorang anak kecil berusia tiga tahun, yang suka mengunyah cemilan dan masih belum bersedia untuk berpuasa, bagaimana pula?

Itulah yang terlintas di benak fikiran saya.

Bagaimana dapat saya terapkan nilai-nilai serta amalan dalam bulan Ramadan ke dalam diri anak saya, yang kini lebih sedar tentang keadaan sekelilingnya tetapi belum bersedia untuk berpuasa?

PERCUBAAN UNTUK AJAK BERPUASA

Bahkan sehari sebelum mula berpuasa, saya sudahpun mula menjelaskan tentang amalan berpuasa kepada anak saya dan bagaimana ibu dan bapanya ini "tak boleh makan, tak boleh minum sampai 7 o' clock".

"Nak cuba puasa?" tanya saya.

Anak saya hanya membungkam tanpa sebarang reaksi.
Related article image
(Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
Mungkin dia juga sedang berfikir tentang makanan dan cemil-cemilan kegemarannya yang tidak akan dapat dinikmati.

"Tidak mengapalah," kata saya. "Belum bersedia ya?"

Suami saya pula mencelah," Nak bangun pukul lima pagi tak untuk sahur?"

Tiada jawapan juga daripada anak saya. Mungkin cabaran untuk tidak makan dan minum masih besar bagi anak kecil sepertinya.

Namun saya tetap cekal untuk mengajarnya sedikit sebanyak tentang amalan dalam bulan Ramadan.

BERIBADAH DI BULAN RAMADAN

Meskipun saya dan suami enggan meletakkan tekanan berlebihan ke atas bahu anak kecil ini, kami gemar mendorongnya untuk solat berjemaah.

Mujur, anak lelaki saya juga gemar mengikut bapanya ke masjid untuk mendirikan solat Jumaat.

Oleh itu, dia boleh dianggap sudah terbiasa dengan pergerakan solat dan bacaan al-Fatihah, meskipun masih belum betul-betul sempurna.
Related article image
(Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
Seperti tahun-tahun lalu juga, kami sekeluarga akan mendirikan solat Maghrib, Isyak dan tarawih selepas berbuka puasa.

Anak saya pula lengkap dengan kain sarung, untuk berpakaian seperti bapanya.

Selepas selesai solat Isyak, dia pula mula melipat sejadah muka yang digunakannya bagi menandakan sudah tamatnya solat untuk malam itu.

"Belum lagi. Ada lagi lapan rakaat, dan tiga lagi rakaat lepas itu," kata bapanya, bagi merujuk kepada solat tarawih dan solat witir.

Lantas dia juga meneruskan untuk mengikuti kami melakukan solat tarawih hingga ke penghujung, walaupun adakalanya berjalan sini sana ataupun saling tertawa dengan adiknya yang berusia 16 bulan.

"Good job sayang," kata saya kepadanya selepas dia datang untuk mencium tangan saya.
Related article image
(Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
Pastinya solat tarawih adalah amalan yang hanya dilakukan semasa bulan Ramadan, dan sekiranya anak saya belum bersedia untuk berpuasa mahupun untuk "olok-olok berpuasa", sekurang-kurangnya diharapkan dia kini lebih tahu bahawa solat tarawih khas didirikan semasa bulan puasa sahaja.

SERIKAN HARI DENGAN BACAAN SURAH DAN LAGU NASYID

Sekiranya orang dewasa biasanya memperbanyakkan bacaan al-Quran dan mendengar zikir semasa bulan Ramadan, bagi anak saya pula, saya cuba menggalaknya berbuat demikian tetapi dengan cara lebih mudah dan menghiburkan.
Related article image
(Gambar: Ira Musfirah/BERITA Mediacorp)
Sejak dia memulakan persekolahan di tadika, dia semakin minat menonton kartun yang memaparkan kanak-kanak bersekolah.

Ini termasuk 'Upin Ipin' yang menggambarkan adik-beradik kembar itu di Tadika Mesra.

Namun sempena bulan Ramadan ini, saya menggalakkan tontonan 'Upin Ipin Iqra'' yang memaparkan Upin dan Ipin serta rakan-rakan lain belajar mengaji di surau.

Bukan sahaja ia menarik untuk ditonton, tetapi ia juga membantu anak-anak untuk menambah ilmu dalam bacaan surah-surah lazim.

Malah anak saya juga sedikit sebanyak dapat mengikuti bacaan Upin Ipin, walaupun pada akhiran ayat sahaja.

Bak kata pepatah, sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit.

Sebagai anak yang juga gemar mendengar lagu, saya turut membolehkan dia mendengar lagu-lagu kolaborasi Alif Satar dan Raihan.

Ini termasuklah lagu-lagu popular Raihan seperti Puji-Pujian, 25 Rasul, Assolatuwassalam dan Bismillah.

Jika tidak sekalipun, sebelum tidur, kami akan membuka bacaan zikir pada 'Zikir Pillow Babypian'.

Sekurang-kurangnya anak saya juga belajar untuk membasahi mulutnya dengan alunan zikir dan doa ringkas, terutama sekali pada bulan Ramadan ini.

Yang pasti, inilah sedikit sebanyak usaha saya untuk memastikan anak saya mula mengenal erti Ramadan, meskipun pada skala yang jauh lebih kecil.

Harapan saya juga ternyata agar dia dapat berpuasa selama beberapa jam dan mula mempelajari tentang sedekah tahun hadapan apabila dia sudah menginjak empat tahun kelak.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita