Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengalaman Bicentennial ajak pengunjung kenali sejarah S'pura lebih dari 200 tahun

Melihat, mengenali dan menghayati babak-babak sejarah Singapura menjangkaui 200 tahun sebelum ketibaan Stamford Raffles di sini menerusi sebuah pengalaman multimedia dan lapan astaka interaktif.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Melihat, mengenali dan menghayati babak-babak sejarah Singapura menjangkaui 200 tahun sebelum ketibaan Stamford Raffles di sini menerusi sebuah pengalaman multimedia dan lapan astaka interaktif.

Bertemakan 'Negara Kepada Warga: Perjalanan Bicentennial Singapura' sesi tersebut yang dinamakan sebagai 'Pengalaman Bicentennial' (Bicentennial Experience) dianjurkan oleh Pejabat 200 Tahun Singapura (SBO), dan akan dibuka kepada orang ramai mulai 1 Jun hingga 15 September ini.

Dijalankan di Fort Canning Centre, Pengalaman Bicentennial dijangka dapat menarik lebih daripada 300,000 pengunjung ke situ.

Ia merangkumi dua segmen berbeza, yang pertama Penjelajah Masa (Time Traveller) dan yang kedua Pencari Laluan (Pathfinder).

BAIK BURUK SEJARAH AWAL S'PURA

Menerusi pengalaman 'Penjelajah Masa', pengunjung akan melalui lima babak berbeza yang membentangkan sejarah Singapura lebih dari 700 tahun selama 60 minit.

Di babak pertama yang meliputi lakonan watak Sang Nila Utama, Iskandar Shah dan Admiral Jacob van Enkhuysen misalnya, ia menceritakan tentang sejarah pembentukan Singapura daripada sebuah tempat pelabuhan yang sangat pesat kepada kejatuhan Kerajaan Singapura pada abad ke-15 yang membawa kepada kebangkitan Kesultanan Melaka.

"Ini semua memberikan peluang kepada pengunjung melihat Singapura hari ini dari persepektif Sejarah bagaimana kita harus menghargai apa yang berlaku pada masa silam, apa yang berlaku untuk meningkatkan lagi sanubari kita sebagai rakyat Singapura, apakah nilai-nilai yang kita pelajari sejarah kita, nilai kerja keras kita, nilai perpaduan kaum kita," kongsi Dr Maliki yang merupakan salah seorang daripada anggota Jawatankuasa Pemandu Peringkat Menteri di bawah SBO.

TAMPILKAN 3 JUARA SILAT DUNIA

Babak pertama merupakan satu-satunya babak yang menampilkan barisan pelakon yang meliputi lebih daripada 25 pesilat dari Persekutuan Silat Singapura. Malah, tiga daripada mereka merupakan juara dunia.

Salah seorang daripada mereka ialah Muhammad Iqbal Abdul Rahman yang memegang watak sebagai Sultan Iskandar Shah.

"Sebenarnya ini pengalaman baru untuk saya kerana saya seorang atlit saya berlatih sahaja.

"Jadi, ini merupakan pengalaman baru untuk berlakon di teater macam ini, dan ini pun pengalaman baik bagi saya kerana saya dapat belajar tentang sejarah Singapura sebelum kedatangan Sir Stamford Raffles," kongsinya.

Bagi Dr Maliki pula, lakonan yang diwakili golongan anak muda itu merupakan sesuatu yang dibanggakan dan berharap penceritaan sejarah dapat disampaikan oleh generasi tersebut.

"Kita mendapat khidmat pelakon kita yang termasuk pesilat negara kita kerana ia menunjukkan bahawa silat sebagai seni dan juga seni mempertahankan diri sudah wujud pada ketika itu ketika Kesultanan Melaka dan sebagainya, ia menunjukkan keutamaan budaya kita pada ketika itu.

"Ia juga menunjukkan pelakon ini adalah pelakon-pelakon muda kita, anak-anak muda kita dan warga-warga muda kita, walaupun mereka berlakon, namun dalam kelakonan mereka itu mereka dapat menerap sejarah dan langsung bercerita kepada anak muda lain," tambahnya.

PENGALAMAN PENCARI LALUAN

Lebih daripada pengalaman berbilang media, pengunjung juga boleh mengunjungi lapan astaka pameran. Salah satu daripadanya ialah astaka membaca yang akan menempatkan buku dan kata-kata pedoman dari tokoh sejarah penting hingga kepada penulis kontemporari.

(Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina)

Dipasanga sejak Disember tahun lepas, pengurus kanan projek, Encik Supian Mohamed berkata prosesnya bukan sesuatu yang mudah. Beliau dan pasukannya berdepan dengan dua cabaran.

"Kita ada ruangan yang terhad, jadi kita harus tahu pengunjung yang datang ke sini menyaksikan acara-acara dari satu ruangan ke satu ruangan.

"Cabaran kami di luaran pula ialah cuaca, sejak dari Disember lagi kita telah melakarkan projek, dari Disember kita mengalami banyak cuaca yang kurang baik jadi kita perlu lakarkan bagaimana kita harus menyelesaikannya dengan sempurna sebelum acara dibuka.

Tiket masuk bagi Pengalaman Bicentennial adalah percuma. Ia boleh didapati di lelaman 200 Tahun Singapura (Singapore Bicentennial). 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan