Skip to main content

Singapura

Pengakap SG teruskan aktiviti di Korea Selatan sedang ancaman taufan paksa pemindahan peserta jambori

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pengakap Singapura akan meneruskan kegiatan seperti yang dirancang di Korea Selatan, meskipun amaran taufan dikeluarkan memaksa ratusan ribu peserta berpindah dari tapak perkhemahan Jambori Pengakap Sedunia.

Kira-kira 43,000 pengakap dari 155 negara menyertai jambori itu di wilayah Utara Jeolla. Namun, gelombang haba pada minggu lalu menyebabkan beribu peserta jatuh sakit.

Dengan taufan Khanun diramal melanda sebahagian besar Korea Selatan, pihak penganjur pada Isnin (7 Ogos) menggesa pemerintah Korea Selatan untuk memindahkan para peserta dari tapak perkhemahan "dengan segera".

Kontinjen Singapura sudah berpindah ke bandar Daejeon pada hujung minggu sedang suhu meningkat.

Encik Ang Wee Jin, ketua kontinjen Singapura memberitahu Mediacorp pada Isnin bahawa mereka bakal ke Seoul pada Rabu (9 Ogos) dan akan pulang ke Singapura pada Sabtu (12 Ogos) seperti yang dirancang.

Terdapat 67 peserta dari Singapura di Korea Selatan, di mana 40 daripada mereka merupakan pelajar berusia antara 14 hingga 17 tahun. Baki peserta adalah sukarelawan dan guru.

Encik Ang berkata bahawa program sementara sudah dijalankan sebelum amaran taufan dikeluarkan.

Beliau berkata pasukannya akan memantau keadaan dengan teliti dan akan melakukan pelan kontingensi jika taufan melanda bandar Daejeon atau Seoul.

Minggu lalu, ratusan pengakap diberikan rawatan akibat gelombang haba di jambori itu sedang suhu cuaca meningkat.
Tiada peserta Singapura yang jatuh sakit, tambah Encik Ang.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita