Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengagihan token TraceTogether diperluas demi galak penyertaan lebih ramai orang

 Lebih 100,000 token TraceTogether sudah diedarkan kepada orang ramai sejak pengagihannya ke seluruh negara bermula 14 September lalu.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 100,000 token TraceTogether sudah diedarkan kepada orang ramai sejak pengagihannya ke seluruh negara bermula 14 September lalu.

Bagi menggalak penyertaan lebih ramai orang dalam program menjejak kontak itu, pengagihannya akan diluaskan ke lebih banyak tempat termasuk di pusat beli-belah.

Pameran bergerak seperti yang diadakan di Bedok Mall hari ini (4 Okt) bertujuan untuk memudahkan orang ramai mengambil token TraceTogether mereka sambil mengajukan sebarang pertanyaan mengenai program pengesanan kontak kes COVID-19 peringkat nasional itu.

Menteri Negara Kanan Kesihatan Dr Janil Puthucheary yang turut menyaksikan pengagihan hari ini menekankan peri pentingnya orang ramai menyertai program TraceTogether baik melalui penggunaan aplikasi mahupun token.

Mentelah lagi, program itu sejauh ini berjaya mengurangkan masa proses pengesanan kontak daripada empat hari kepada purata sekitar dua hari.

Dr Janil berkata: "Kita ada 2.4 juta muat turun bagi aplikasi TraceTogether tetapi kita mahu lebih ramai orang mengambil bahagian. Jadi kita akan melakukan lebih banyak acara seperti ini dan melakukannya dengan selamat."

"Pameran TraceTogether ini adalah untuk mendekati orang ramai dan juga untuk mereka mendapatkan bantuan daripada sukarelawan kami dari Pejabat Negara Bijak," ujarnya lagi.

MASIH ADA TIDAK TAHU PERBEZAAN SAFE ENTRY DENGAN TRACE TOGETHER

Dr Janil yang juga Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan menambah bahawa usaha mendampingi masyarakat di kawasan kejiranan adalah penting kerana masih ada segelintir penduduk yang kurang pasti akan penggunaan dan perbezaan TraceTogether dengan aplikasi SafeEntry.

"Kedua-duanya penting semasa proses mengesan kontak. Walau bagaimanapun, TraceTogether lebih membantu dalam mengenal pasti siapa yang mungkin dijangkiti virus itu," jelas Dr Janil.

Menurutnya lagi ada rancangan bagi kedua-dua aplikasi itu, disepadukan pada masa depan bagi memudahkan orang ramai.

Sebagai contoh buat masa ini, di beberapa tempat orang ramai boleh menggunakan token atau aplikasi TraceTogether untuk mendaftar masuk, menggantikan aplikasi SafeEntry.

Maka itu, kemudahan mengambil token TraceTogether akan disediakan di sekitar 100 lagi tempat yang dikunjungi ramai orang selain di 18 kelab masyarakat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/CNA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan