Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerima sulung biasiswa GIC-MENDAKI mahu sumbang kepada pembentukan sains data dalam sektor kewangan

Biasiswa GIC-MENDAKI yang dilancarkan pada Mac tahun lalu dianugerahkan kepada penerimanya yang pertama.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Biasiswa GIC-MENDAKI yang dilancarkan pada Mac tahun lalu dianugerahkan kepada penerimanya yang pertama.

Abdullah Armain dipilih daripada 20 pemohon.

Biasiswa itu diberikan kepada para pelajar Melayu yang berminat untuk membina kerjaya dalam industri kewangan.

PERNAH GAGAL DALAM SUBJEK MATEMATIK

Kegagalannya dalam subjek Matematik di peringkat Menengah 2 mendorong Abdullah Armain untuk belajar dengan lebih gigih.

Kini dia cemerlang dalam mata pelajaran itu.

Abdullah berjaya meraih gred '7' iaitu gred terbaik bagi subjek itu untuk peperiksaan International Baccalaureate (IB) dan pernah menerima anugerah-anugerah peringkat kebangsaan bagi subjek itu.

Dua tahun lalu, minatnya itu juga sudah bercabang kepada bidang ekonomi dan data.

Malah, Abdullah pernah menyertai Persidangan Model Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selaku Naib Pengerusi bagi Majlis Ekonomi dan Sosial (ECOSOC).

Kecemerlangan Abdullah sebagai seorang pelajar juga terserlah.

Dia pernah menjadi penerima anugerah berprestij Anugerah MENDAKI pada tahun 2020 dan 2022.

Atas pencapaiannya serta pengalaman meluasnya semasa di sekolah dalam bidang kewangan, Abdullah dianugerahi biasiswa GIC-MENDAKI baru-baru ini.

"Saya berbangga dan bersyukur atas penganugerahan biasiswa ini. Saya juga teruja untuk mengejar kerjaya di bersama GIC dalam sektor kewangan," kata Abdullah.

YURAN TUISYEN DITAMPUNG, BERPELUANG KERJA DI LUAR NEGARA

Menerusi biasiswa itu, yuran tuisyen sepanjang kursus pengajiannya selama empat tahun di Universiti Nasional Singapura (NUS) akan ditampung sepenuhnya.

'

"Saya bersyukur saya tidak perlu bergantung kepada ibu bapa saya untuk membayar yuran universiti nanti. Saya harap duit yang diterima juga akan dapat digunakan untuk melabur untuk masa depan dan juga untuk masa depan ibu bapa saya," ujar Abdullah.

Abdullah akan menuntut di Kolej Kemanusiaan dan Sains NUS, dalam kursus pengajian Sains Data dan Ekonomi.

"Memang aspirasi saya untuk menggunakan sains data dalam bidang kewangan itu. Saya memang ada minat dalam pembelajaran mesin dan perdagangan algoritma. Saya harap saya dapat menyumbang kepada pembentukan sains data dalam bidang kewangan," ujar Abdullah.

Selaku penerima sulung biasiswa GIC-MENDAKI, Abdullah antaranya akan diberi peluang menghadiri latihan-latihan amali di GIC semasa pengajiannya di universiti.

Selepas tamat pengajiannya di NUS kelak, Abdullah akan menyertai Program Pakar GIC (GPP)dan dapat menjangkakan laluan kerjaya yang menarik, termasuk peluang bekerja di luar negara.

Abdullah juga perlu menjalani tempoh bon selama tiga tahun.

Menerusi biasiswa tersebut, GIC menyatakan ia ingin melibatkan golongan bakat yang berbeza dalam masyarakat tempatan dengan lebih baik.

Menurut GIC, ia memerlukan tenaga kerja daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman sebagai pelabur global, untuk mengemudi persekitaran perniagaan yang kompleks.

Kerjasama dengan MENDAKI itu menurut GIC akan memberi titik tolak kepada belia Melayu untuk mengembangkan kerjaya mereka dalam industri kewangan.

Dalam hal itu, Abdullah berkata: "Memandangkan kadar orang Melayu yang tidak ramai dalam sektor tersebut, saya bangga dapat kerjaya dalam sektor itu dan saya berharap biasiswa ini dapat menggalakkan lebih ramai belia masyarakat Melayu menceburi kerjaya dalam bidang kewangan."

"Saya harap inisiatif antara Mendaki dengan GIC ini akan menggalakkan lebih banyak syarikat untuk membuat yang sama untuk membolehkan lebih ramai orang Melayu ke universiti," tambah Abdullah.

PERSIAPAN MELANGKAH KE UNIVERSITI SUDAH BERMULA

Meskipun kini menjalani Perkhidmatan Negara sepenuh masa sehingga 2024, Abdullah akui perlu menggunakan masa lapang untuk mempersiapkan diri bagi pengajian di universiti, yang akan bermula pada Ogos tahun depan.

Abdullah berkata: "Pada masa lapang, saya dapat mempelajari Sequel (SQL) dan Python iaitu bahasa pengaturcaraan yang saya akan gunakan dalam kursus universiti nanti. Saya sudah perlu mula mengulangkaji mata pelajaran Matematik sebab kursus yang saya ambil memerlukan para pelajar mempunyai asas Matematik yang teguh."

"Dengan melengkapkan diri dengan kemahiran ini, bukan sahaja saya memudahkan kursus universiti nanti tetapi saya juga akan dapat melibatkan diri dalam projek-projek pengekodan untuk bereksperimen dengan algoritma," tambah Abdullah.

Biasiswa GIC-MENDAKI merupakan usaha terbaru MENDAKI untuk menyediakan landasan untuk belia Melayu menceburi industri yang berkembang pesat.

Ia juga selaras dengan usaha Pemerintah yang ingin memastikan Singapura kekal berdaya saing dalam ekonomi global.

Meskipun hanya menganugerahkan biasiswa kepada satu penerima buat tahun pertamanya, pihak MENDAKI mengatakan bahawa tiada had jumlah penerima bagi tahun-tahun mendatang.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan