Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerima Melayu S'pura pertama Biasiswa Rhodes prihatin nasib warga emas, mahu perkukuh hubungan NGO dengan pemerintah

Sejak di sekolah menengah lagi, Hazeem Nasser sudah menanam impian untuk melanjutkan pelajarannya hingga ke Universiti Oxford.  

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejak di sekolah menengah lagi, Hazeem Nasser sudah menanam impian untuk melanjutkan pelajarannya hingga ke Universiti Oxford.

Kini, impiannya itu bakal berubah menjadi realiti setelah terpilih untuk menerima Biasiswa Rhodes Singapura kali ini.

Nur Hazeem Abdul Nasser. (Gambar: NUS)

(Gambar: NUS) 

Hazeem terpilih daripada sekitar 20 permohonan yang diterima dan sekali gus menjadi anak Melayu Singapura pertama untuk menerima biasiswa berprestij ini yang hanya diberikan kepada seorang sahaja dari Singapura setiap tahun.

Belia cemerlang yang kini berusia 23 tahun ini merancang untuk mengikuti pengajian Sarjana dalam dua program Dasar Awam di Universiti Oxford pada Oktober 2022.

"Saya rasa selain politik, saya hendak belajar bagaimana pemerintah membuat dasar yang terbaik untuk penduduk mereka dan kerana itu saya memilih program Dasar Awam. Saya juga rasa lebih banyak pengalaman dapat diraih dan dibawa kembali ke Singapura," kongsi Hazeem.

PILIH PEMIMPIN MUDA KREATIF DENGAN KOMITMEN BERKHIDMAT KEPADA MASYARAKAT

Biasiswa Rhodes merupakan program biasiswa antarabangsa yang ditubuhkan di Universiti Oxford pada 1903 dan bermatlamat untuk memilih pemimpin muda yang kreatif dengan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Dalam jawapan bertulisnya kepada BERITAmediacorp, Setiausaha Nasional Rhodes Singapura, Profesor Andrew Wee menjelaskan kriteria-kriteria bagi proses pemilihan penerima biasiswa.

Ini termasuk kecemerlangan pelajaran, kekuatan untuk menggunakan bakat sepenuhnya, mempunyai rasa ihsan, simpati terhadap mereka yang lemah serta mempunyai naluri seorang pemimpin.

(Gambar: Hazeem Nasser)

(Gambar: Hazeem Nasser)

Menurut beliau lagi, Hazeem dipilih selepas panel memutuskan bahawa dia merupakan calon yang paling menyerlah berbanding calon-calon lain dalam pusingan ini.

INGIN TERUS BANTU MASYARAKAT DI SINGAPURA

Kewibawaan Hazeem sebagai seorang pemimpin terbukti apabila dia berjaya memulakan dan menjadi pengasas bagi dua pertubuhan bukan meraih untung (NGO), ALittleChange (ALC) pada 2016 dan The Signpost Project (TSP) pada 2019, yang ditubuhkan untuk membantu keluarga berpendapatan rendah dan warga emas.

(Gambar: Hazeem Nasser)

(Gambar: Hazeem Nasser)

Hazeem yang kini menuntut di Kolej Yale-NUS dan sedang memburu ijazah dalam bidang Falsafah, Politik dan Ekonomi, berhasrat untuk terus membantu masyarakat, terutama sekali warga emas, selepas dia berjaya meraih pengalaman di Universiti Oxford nanti.

"Saya hendak membawa pengalaman itu ke Singapura dan mengukuhkan perhubungan para NGO dan pemerintah di Singapura untuk menyokong sebuah negara dengan penduduk menua," kata Hazeem.

(Gambar: Hazeem Nasser)

(Gambar: Hazeem Nasser)

Selain itu, dia juga mempunyai aspirasi untuk meneruskan usahanya menerusi TSP untuk membela nasib para penjual tisu jalanan.

"Dalam The Signpost Project (TSP), saya ternampak isu-isu yang membelenggu para penjual tisu dan mereka semuanya merupakan golongan yang semakin tua," kongsi Hazeem.

"Saya juga ternampak isu kesihatan dan kewangan dan saya ingin membuat dasar yang terbaik untuk menyokong mereka," tambahnya lagi.

Penerima Melayu Singapura pertama Biasiswa Rhodes, prihatin nasib warga emas, mahu perkukuh hubungan NGO dengan pemerintah. (Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Hazeem, yang juga merupakan pemegang biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC), akan kembali ke Singapura untuk berkhidmat dalam sektor perkhidmatan awam.

Lantas, Biasiswa Rhodes itu dapat memberikannya asas yang kukuh serta lebih banyak pengalaman untuk melakar kerjaya dalam perkhidmatan awam selepas tamat pengajiannya nanti.

"Biasiswa ini memberikan platform yang menakjubkan bagi saya untuk berada dalam komuniti pemimpin global dan NGO, di mana saya dapat meraih pengalaman dan belajar cara-cara mereka, dengan harapan mempraktikkannya di Singapura," ujar Hazeem. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan