Penerima habuan Aidiladha oleh Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam catat jumlah tertinggi
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim (kiri), menerima paket Beriani Amal semasa Program Pengagihan Korban Rangkaian Pemulihan Pertubuhan Melayu/Islam (MMORN) di Masjid An-Nur pada pagi 20 Jun. (Gambar: BERITA Mediacorp/Batrisyia Kamal Baharim)
This audio is generated by an AI tool.
Jumlah penerima meningkat daripada sekitar 300 keluarga pada 2025 kepada sekitar 460 keluarga tahun ini, sekali gus mencatat jumlah tertinggi sejak program itu diperkenalkan pada 2022.
Sebelum ini, program tahunan itu menjangkau 120 keluarga pada 2023 dan 150 keluarga pada 2022.
Diadakan di Masjid An-Nur pada pagi Sabtu (20 Jun), pengagihan daging korban dan barangan lain oleh MMORN turut melibatkan kerjasama 17 agensi masyarakat Melayu/Islam yang berganding bahu untuk menyantuni bekas pesalah dan keluarga mereka menerusi pengagihan tersebut di seluruh Singapura.
Antara yang terlibat ialah AMP Singapura, Jamiyah, MENDAKI, Muhammadiyah, Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS), Pertapis, Yayasan Rahmatan Lil Alamin (RLAF) serta Persatuan Khidmat Sosial India Islam (IMSSA).
Mengulas peningkatan jumlah penerima, Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan Ehwal Dalam Negeri, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata perkembangan itu menunjukkan kesedaran masyarakat terhadap usaha menyokong bekas pesalah dan keluarga mereka semakin meningkat.
Dalam pada itu, perkembangan tersebut mencerminkan semangat kebersamaan yang semakin kukuh dalam kalangan masyarakat.
"Saya rasa gembira kerana pada tahun ini saya dapat melihat kesedaran usaha ini tahun demi tahun semakin ketara dan lebih ramai yang tahu bagaimana apa yang kita lakarkan dalam rangkaian pemulihan badan-badan Melayu/Islam ini memberikan hasil yang baik," kata beliau kepada para wartawan.
Menurut Dr Faishal, usaha tersebut merupakan sebahagian daripada sokongan yang lebih menyeluruh dalam membantu proses pemulihan dan integrasi semula bekas pesalah serta keluarga mereka.
Pada masa yang sama, ia turut memberi peluang kepada masyarakat untuk memainkan peranan secara langsung dalam menyantuni golongan tersebut.
"Apabila semua bekerja lebih rapat, kita bukan sahaja meningkatkan kesedaran tetapi melihat bahawa usaha seperti ini boleh mendatangkan hasil, meringankan beban bagi mereka yang sedang menghadapi cabaran ini dan sekaligus membangunkan masyarakat yang lebih baik pada masa akan datang," tambah Dr Faishal.
PERTAMA KALI BUKAN DAGING KORBAN MENTAH DIAGIHKAN
Daripada 17 agensi itu, tiga agensi iaitu AMP Singapura, IMSSA dan M³@Jalan Besar menyertai inisiatif itu buat kali pertama.
Buat julung-julung kalinya juga, keluarga-keluarga itu tidak menerima daging korban mentah.
Sebaliknya, mereka diberikan Beriani Amal yang dimasak menggunakan 400 kilogram daging korban yang disumbangkan menerusi SalamSG Korban Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS).
Selain hidangan tersebut, mereka turut menerima pelbagai bentuk bantuan lain termasuk minuman, barangan keperluan harian serta baucar barangan runcit bernilai $60 yang disumbangkan oleh RLAF.
Bagi menyediakan Beriani Amal itu, sekitar 50 sukarelawan daripada IMSSA bergotong-royong memasak sepanjang malam di pekarangan Masjid En-Naeem.
Naib Presiden IMSSA, Irfana Banu Khider Mohamed, 33 tahun, berkata penyertaan pertubuhan itu dalam inisiatif berkenaan memberi peluang untuk meluaskan lagi khidmat yang selama ini diberikan kepada masyarakat.
"Kami sudah menjalankan pengagihan makanan kepada masyarakat setiap bulan. Melalui inisiatif MMORN ini, kami melihatnya sebagai peluang untuk membuka perkhidmatan kami kepada para penerima di seluruh Singapura.
"Oleh itu, hari ini kami berpeluang menyediakan makanan untuk semua penerima menggunakan daging korban yang disumbangkan menerusi SalamSG Korban. Kami amat berterima kasih atas peluang ini," katanya.
Cik Irfana berkata usaha tersebut turut dijalankan serentak dengan pengagihan makanan bulanan yang lazimnya dilaksanakan IMSSA untuk para penerima bantuan lain, menjadikan operasi memasak kali ini antara yang terbesar pernah dikendalikan pertubuhan itu.
Acara pengagihan itu dianjurkan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dengan kerjasama MUIS, pertubuhan Melayu/Islam serta masjid-masjid.
Pada tahun lalu, usaha itu mendapat sokongan daripada 16 pertubuhan Melayu/Islam dan sebuah gereja.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.