Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerima ComCare secara automatik layak bagi skim bantuan kewangan lain, umum MSF

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 10 Mar 2022 05:33PM Dikemas Kini : 10 Mar 2022 09:23PM

SINGAPURA: Keluarga dan individu yang menerima bantuan kewangan  ComCare akan secara automatik mendapat bantuan daripada skim-skim berkaitan yang lain. Menteri Bertanggungjawab bagi penyepaduan khidmat sosial bagi Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), Desmond Lee, berkata demikian pada Khamis (10 Mac). 

Ketika berucap semasa perbahasan mengenai belanjawan MSF, Encik Lee berkata 30,000 keluarga ComCare akan meraih manfaat daripada skim pakej bantuan yang akan dilancarkan secara bertahap-tahap.

Dari suku kedua tahun ini, rakyat Singapura boleh memohon bagi skim Bantuan ComCare Jangka Pendek hingga Pertengahan secara online di portal SupportGoWhere MSF.

Buat masa ini, mereka hanya boleh membuat permohonan secara fizikal di pejabat khidmat sosial. 

"Kami akan terus membuat proses permohonan lebih mudah bagi keluarga dengan mendigitalkan khidmat sosial kami sementara memastikan sokongan fizikal tetap disediakan bagi mereka yang lebih memilih interaksi secara bertemu muka," kata Encik Lee. 

SKIM PAKEJ COMCARE

Di bawah skim pakej ComCare yang baru oleh MSF, keluarga atau individu yang permohonan ComCare mereka sudahpun diluluskan akan secara automatik layak bagi skim-skim bantuan daripada kementerian lain. 

Mereka tidak perlu menyerahkan permohonan berasingan atau kertas kerja tambahan

Skim pertama, yang menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak bersekolah, akan dilancarkan pada suku kedua 2022.

Ini termasuk Skim Bantuan Kewangan Kementerian Pendidikan (MOE) dan Bantuan Yuran Jagaan Pelajar MSF.

Keluarga yang layak, dengan kanak-kanak yang menghadiri sekolah pemerintah atau sekolah bantuan pemerintah dan Pusat Jagaan Pelajar atau Pusat Jagaan Pelajar Khas yang berdaftar dengan MSF, akan secara automatik layak bagi kedua-dua skim itu sekiranya permohonan bantuan kewangan ComCare mereka sudah diluluskan.  

Bermula suku ketiga 2022, MSF akan menyediakan skim secara pakej itu secara bertahap-tahap dalam bidang perumahan, prasekolah, akses digital dan jagaan kesihatan.

MSF menganggarkan peningkatan ini akan membawa kepada pengurangan kira-kira 50 peratus masa pemprosesan bagi klien di samping penjimatan sekitar  6,700 waktu bekerja yang diluangkan  pegawai setiap tahun.

PORTAL SOKONGAN DIPERTINGKAT

Portal SupportGoWhere MSF akan dipertingkat supaya mulai suku kedua tahun ini, rakyat Singapura boleh memohon bagi skim Bantuan ComCare Jangka Pendek hingga Pertengahan  melalui portal tersebut.

Portal itu akan menggunakan MyInfo untuk mengisi secara automatik maklumat peribadi yang relevan, lantas mengurangkan kemasukan data secara manual oleh pemohon.

Selepas memohon secara online, pemohon akan menerima panggilan telefon atau video susulan daripada seorang pegawai khidmat sosial untuk menilai keadaan keluarga.

Pemohon juga boleh menyerahkan dokumen sokongan secara langsung menerusi portal itu jika tidak mahu menghantar salinan cetak di pejabat khidmat sosial

MSF juga akan meningkatkan portal itu untuk membolehkan pemohon mencari maklumat tentang lebih banyak skim bantuan sosial serta khidmat sosial.

MSF juga sedang berusaha untuk membolehkan rakyat Singapura memohon bagi pelbagai skim pemerintah secara langsung melalui portal itu.

Sumber : Today/FZ/ny

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan

Aa