Skip to main content

Singapura

Penerima biasiswa siswazah A*STAR, Shalihin Faizal lanjutkan pengajian ke peringkat PhD dalam bidang semikonduktor

Anggaran Waktu Membaca:
Penerima biasiswa siswazah A*STAR, Shalihin Faizal lanjutkan pengajian ke peringkat PhD dalam bidang semikonduktor

Penerima biasiswa siswazah Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR), Muhammad Shalihin Faizal, 26 tahun, berhasrat memacu pembangunan teknologi cip generasi baharu serta menyumbang kepada kemajuan industri semikonduktor Singapura. (Gambar: A*STAR)

Diterbitkan : 01 Aug 2026 05:32PM Dikemas Kini : 02 Aug 2026 12:45PM
SINGAPURA: Tidak pernah terlintas di fikirannya bahawa beliau akan menjadi yang pertama dalam keluarganya yang akan berjaya menamatkan pengajian di universiti.

Kini, ia bukan sekadar satu realiti bagi Muhammad Shalihin Faizal bahkan anak keempat daripada enam adik beradik itu melakar satu lagi pencapaian apabila dipilih menerima Biasiswa siswazah Agensi bagi Sains, Teknologi dan Penyelidikan (A*STAR) dalam bidang semikondutor.

Shalihin, 26 tahun, antara 84 penerima yang menerima anugerah tersebut di Majlis Penyampaian Biasiswa A*STAR pada Jumaat (31 Jul).

Shalihin bakal melanjutkan pengajian PhD dalam bidang Sains dan Kejuruteraan Bahan di NUS, dengan hasrat membangunkan cip semikonduktor yang lebih cekap tenaga.

Bercakap kepada BERITA Mediacorp, lulusan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains dan Kejuruteraan Bahan daripada Universiti Nasional Singapura (NUS) itu melahirkan rasa gembira dan syukur.

“Bagi saya, biasiswa ini membolehkan saya memberi lebih tumpuan kepada pelajaran tanpa perlu terlalu memikirkan soal kewangan. Ia akan banyak membantu saya sepanjang pengajian PhD,” ujar beliau yang bapanya merupakan satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga lapan orang.

HARAP HASILKAN PENYELIDIKAN YANG MEMBERI MANFAAT

Beliau berharap penyelidikannya bukan sahaja dapat memperkukuh industri semikonduktor Singapura, malah membantu menangani cabaran dunia sebenar.

"Saya harap segala penyelidikan yang saya lakukan dalam PhD dapat diterjemahkan kepada penyelesaian bagi masalah dunia sebenar serta memanfaatkan masyarakat, termasuk memperluaskan lagi apa yang kita tahu tentang kecerdasan buatan (AI)," katanya.

Hasrat Shalihin itu selari dengan mesej yang diketengahkan Menteri Negara Perdagangan dan Perusahaan merangkap Ehwal Luar, Gan Siow Huang, tentang generasi baharu saintis di Singapura.

Dalam ucapannya, Cik Gan berkata: "Kejayaan tidak seharusnya diukur berdasarkan jumlah penerbitan penyelidikan semata-mata tetapi sejauh mana hasil penyelidikan itu mampu memberi impak nyata menerusi produk yang lebih baik, perusahaan yang lebih kukuh dan kehidupan yang lebih sejahtera."

Menurut Cik Gan, penyelidikan yang benar-benar bermakna bukan sekadar menjawab persoalan saintifik tetapi mempunyai hala tuju yang jelas ke arah menjadi huraian kepada cabaran sebenar negara.

Dalam konteks Singapura, ini termasuk memperkukuh daya saing industri untuk memenuhi keperluan negara seperti meningkatkan mutu penjagaan kesihatan.

Justeru, Cik Gan menggesa para penerima biasiswa agar berani melangkaui batas penyelidikan tradisional dengan meneroka bidang keusahawanan, membangunkan harta intelek (IP) tempatan serta mencipta nilai ekonomi di Singapura.

Jumlah penerima biasiswa A*STAR tahun ini meningkat kepada 84 orang berbanding 79 tahun lalu.

Sejak diperkenalkan 25 tahun lalu, program Biasiswa A*STAR telah melahirkan lebih 1,500 sarjana yang kini menyumbang dalam bidang sains, teknologi, industri dan akademia.
Sumber : BERITA Mediacorp/bk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita