Penerima biasiswa PSC Farezuan Zulkifli bertekad lakar dasar bermanfaat bagi rakyat SG
Selain bidang ekonomi, Farezuan Zulkifli juga berminat dengan lagu dan drama Melayu. Farezuan yang akan melanjutkan pengajian di antara sekolah ekonomi terbaik dunia di London, berkata beliau akan merindukan makanan Melayu
Ia juga membuat bekas pelajar Maktab Rendah Raffles itu lebih tertarik untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan berkecimpung dalam bidang perkhidmatan awam.
Kini beliau selangkah lebih dekat mencapai cita-citanya itu apabila berjaya terpilih sebagai salah seorang penerima Biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) tahun ini.
GURU BAHASA MELAYU BERI INSPIRASI
Sewaktu menuntut di Sekolah Victoria, Farezuan sering mendapat dorongan dan nasihat daripada guru bahasa Melayunya, Cikgu Norlinsah Ismail.
Melihat bagaimana gurunya itu menyentuh dan meninggalkan kesan yang mendalam pada para pelajarnya, ia memberi inspirasi kepada Farezuan untuk menjadi seseorang yang dapat menyumbang kepada masyarakat.
"Antara nasihat yang saya sentiasa ingat adalah betapa pentingnya untuk merendah diri. Saya rasa bahawa dia sering menekankan tentang kepentingan untuk senantiasa mengingati bahawa kita mempunyai tanggungjawab kepada keluarga kita dan masyarakat kita dan sekiranya kita terlalu taksub dengan mengejar kejayaan kehidupan maka kadangkala kita boleh sesat," kata Farezuan mengenang bakti gurunya itu.
Oleh itu apabila beliau melangkah ke maktab rendah, Farezuan tidak berfikir panjang untuk memilih Kelab Interact sebagai kegiatan kokurikulumnya.
Penglibatannya dalam kelab tersebut membolehkannya menjadi sukarelawan di badan-badan kebajikan.

"Hasrat untuk menyumbang kembali kepada masyarakat bermula semenjak saya kecil lagi kerana saya rasa bahawa sepanjang saya membesar mendapat pelbagai keuntungan dalam hidup saya dan oleh itu saya rasa bahawa cara terbaik untuk menunjukkan penghargaan ini adalah untuk memberi manfaat kepada orang lain. Saya rasa sekiranya saya dapat menggunakan kelebihan saya untuk menolong orang lain yang mungkin kurang berkemampuan, saya rasa itu sesuatu yang merupakan agak mulia," kongsi Farezuan.
JURUSAN EKONOMI DAN KOTA LONDON JADI PILIHAN
Pada September nanti, Farezuan akan berangkat ke London untuk melanjutkan pengajiannya dalam bidang ekonomi di Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London.
Beliau gembira kerana dapat menyambung pengajian dalam jurusan tersebut kerana ia merupakan subjek kegemarannya di bangku sekolah.
"Subjek Ekonomi merupakan antara subjek yang paling menarik kerana saya mendapati bahawa ia agak menarik bagaimana ahli pakar ekonomi menggabungkan atau meminjam konsep-konsep bidang yang lain. Sebagai contoh bidang psikologi atau bidang matematik tetapi setelah saya belajar ekonomi secara mendalam, saya mendapati ia juga meluaskan pandangan saya dan saya tidak berfikiran tertutup dan oleh itu ia juga dapat menghasilkan nilai kreatif dalam diri saya dan juga dapat berfikir secara luas," terang Farezuan, anak bongsu dua beradik itu.
Bagi institusi pilihan pula, pada mulanya beliau memilih untuk menuntut di Universiti Nasional Singapura (NUS) kerana tidak mahu menyusahkan orang tuanya.
Ini kerana beliau sedar pengajian di luar negara akan memerlukan pembiayaan yang tinggi dan ini lebih-lebih lagi memandangkan ayahnya adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarganya.
Kakak Farezuan juga sedang mengikuti pengajian di menara gading.
Oleh itu beliau teruja apabila mendapat tahu beliau antara penerima Biasiswa PSC tahun ini.
"Ia membuka banyak peluang bagi saya, mungkin sebagai contoh untuk menimba ilmu di luar negara dan saya rasa pengalaman belajar di luar negara akan memberi saya banyak pengalaman yang memang positif dan saya rasa ia akan menjadikan seorang yang lebih seimbang dan seorang yang berfikiran matang dan saya berharap nilai-nilai itu dapat membantu dalam perjalanan saya dalam perkhidmatan awam," kata Farezuan.
"Saya juga berasa bahawa London sebagai sebuah bandar agak menarik dan terdapat banyak peluang bagi saya untuk luaskan pengalaman milik saya di luar bilik darjah," tambahnya.
Setelah tamat pengajiannya, Farezuan berhasrat untuk berkhidmat dan menyumbang kepada masyarakat lebih luas menerusi penggubalan dasar yang bermanfaat buat mereka.
"Saya melihatnya sebagai peluang untuk menyumbang kepada penggubalan dasar kerana saya rasa ia perkara yang agak penting dan ia meninggalkan kesan terhadap kehidupan seharian rakyat Singapura dan sekiranya saya dapat membantu dalam memastikan bahawa dasar-dasar itu dapat memberi manfaat kepada rakyat," katanya.
MINAT MAKANAN, DRAMA DAN MUZIK MELAYU
Pengajiannya di London akan mengambil masa selama 3 tahun dan jika berkesempatan, Farezuan berharap dapat menyambung pengajiannya ke peringkat Sarjana pula.
Namun beliau juga katakan beliau akan merindui makanan Melayu dan lauk-pauk kegemarannya seperti Ayam Masak Merah dan Lauk Lemak.
Sepanjang wawancara, Farezuan juga fasih berbicara dalam bahasa Melayu dan apabila ditanya bagaimana beliau boleh terus fasih dalam bahasa ibundanya, Farezuan memberitahu BERITA Mediacorp bahawa beliau minat dengan lagu-lagu, drama Melayu serta menonton BERITA.
Selain guru dan ibu bapanya, beliau juga mendapat inspirasi setiap kali mendengar berita tentang individu Melayu yang mencapai kejayaan dan membuat sumbangan kepada masyarakat.
"Saya merupakan seseorang yang berasa amat besar hati apabila saya mendengar berita orang Melayu yang berjaya dan membuat perkara-perkara yang istimewa dan oleh itu saya berharap bahawa dalam apa juga pekerjaan atau secara sukarela, saya ingin menyumbang kepada proses tersebut dan sekiranya saya dapat membantu memberi dorongan atau membantu dari segi penggubalan dasar, maka itu merupakan antara cita-cita saya," ujarnya.
Bagi para penuntut yang juga barangkali mendapat inspirasi melihat kejayaan Farezuan, ini nasihatnya: "Saya rasa ia penting untuk kita tidak membatasi diri kita sendiri kerana saya rasa kadangkala diri kita sendiri kurang yakin tentang peluang yang terdapat di luar sana dan saya rasa sekiranya kita membuka minda kita dan selalu bekerja keras, maka saya rasa ia dapat membuka banyak pintu bagi kita untuk mencari kejayaan dalam hidup,"
Farezuan merupakan antara 66 penerima biasiwa PSC tahun ini.
Mereka menerima surat biasiswa masing-masing daripada Menteri Pendidikan, Chan Chun Sing di satu majlis yang diadakan di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands petang tadi (19 Jul)
Encik Chan juga merupakan Menteri bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam.
Selain Farezuan, terdapat lagi tiga pelajar Melayu terpilih menjadi penerima Biasiswa PSC tahun ini.
Senarai penerima Melayu:
1. Muhammad Arsyad Mohamed Shahril
Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Nasional Singapura (NUS)
2. Nurdiyanah Umairah Abdul Rani
Program Kejuruteraan Renaissance, Universiti Nasional Singapura (NUS)
3. Farezuan Zulkifli
Ekonomi, Sekolah Ekonomi dan Sains Politik London
4. Adli Jamari
Ekonomi, Universiti California, Berkeley
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.