Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerima biasiswa NAC, Megat dan Fajrina Razak mahu semarakkan seni tradisional di SG

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Berbanding dengan genre muzik lain, irama asli Melayu itu lebih mudah digubah dan melodinya boleh diubah mengikut naluri seseorang.

Maka itu, setiap persembahan itu unik dan berubah mengikut apa yang ingin disampaikan si pemain.

Itulah yang membuat penggubah, pengarah dan pendidik muzik, Muhammad Firdaus Mohamad, atau lebih dikenali sebagai Megat, 39 tahun, tertarik dengan muzik tradisional Melayu.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Malah, minatnya itu bermula seawal di prasekolah lagi apabila didedahkan kepada muzik oleh bapanya.

Pada 1996 pula, Encik Megat juga digalak datuknya untuk mengenali muzik tradisional.

Beliau dihadiahkan datuknya sebuah biola dan mempelajari cara-cara menggesek biola untuk mengalunkan irama tradisional Melayu.

"Saya menyertai pancaragam dan dari situ saya cuba meneroka muzik Melayu melalui alat-alat muzik barat pula. Jadi dari situ juga, saya pun terus cuba mencari Orkestra Melayu Singapura dan pada tahun 2004 diberi peluang untuk turut serta dalam sebuah konsert oleh Orkestra Melayu Singapura (OMS) Belia," kongsi Encik Megat kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Dari situ mulanya minat yang lebih mendalam lagi dan diberi peluang untuk membantu sebuah lagi Orkestra Melayu iaitu Orkestra Melayu Marsiling," tambah beliau.

BIASISWA BANTU KECAPI IMPIAN DALAM SENI TRADISIONAL MUZIK MELAYU

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Kemudian, Encik Megat juga aktif sebagai pendidik dan memimpin pancaragam konsert di beberapa sekolah serta merupakan pengasas bersama kumpulan orkestra Melayu akustik sepenuhnya yang pertama di Singapura, Orkestra Sri Temasek (OrST).

Dedikasi dan minat mendalam beliau itu menjadikannya antara 13 individu cemerlang yang terpilih untuk menerima biasiswa Seni Majlis Seni Kebangsaan (NAC) tahun ini.

Biasiswa membolehkan penerima melanjutkan pengajian di peringkat siswazah dan pos-siswazah bagi memupuk generasi pemimpin seterusnya dalam bidang seni Singapura.

Bagi Encik Megat sendiri, beliau akan memulakan pengajian Sarjana dalam Seni Halus dalam Studio Klasik, Mengemudi Kontemporari dan Teknologi Rakaman Berkaitan di Akademi Seni Halus Eropah di Bulgaria pada Oktober ini.

"Biasiswa ini banyak membantu dari segi kewangan kerana untuk mencapai matlamat kita sebagai seorang akademik, memang tidak mudah lagi-lagi di Singapura ini di mana kita harus bekerja keras untuk mendapat apa yang kita inginkan," ujar Encik Megat.

"Dengan ada biasiswa ini, ia membantu saya meringankan beban kerana selama perjalanan saya untuk menjadi seorang pemuzik tradisional ini sangat sukar. Bab kata orang, kais pagi makan pagi bukan? Jadi dengan biasiswa ini, ia membantu sangat melepaskan beban ini dan membuatkan saya lebih tertumpu kepada pelajaran saya," tambahnya lagi.

MAHU PUPUK MINAT ANAK-ANAK MUDA

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Apabila tamat pengajian kelak, Encik Megat berharap dapat terus memburu ijazah di peringkat PhD pula.

Pada masa yang sama, beliau ingin meneruskan usaha memupuk minat terhadap muzik tradisional Melayu dalam diri anak-anak muda tempatan.

"Saya rasa ini adalah satu sokongan buat saya untuk warga negara Singapura, khususnya anak-anak Melayu kita untuk menunjukkan bahawa muzik Melayu ini masih kekal relevan dan boleh dijadikan sebagai satu kerjaya.

"Jadi, saya ingin menjadi salah seorang yang dapat membantu anak-anak muda kita supaya dapat meneruskan dan menggerakkan minat mereka dan membuatkannya (seni muzik tradisional Melayu) menjadi satu kerjaya," jelas Encik Megat.

INGIN AMATI BATIK SEBAGAI CARA KENALI DIRI DAN BUDAYA

Gambar: Art Outreach Singapore

Seorang lagi penerima biasiswa yang bakal melanjutkan pengajian di peringkat di peringkat sarjana ialah Nur Fajrina Abdul Razak, 35 tahun, yang merupakan artis visual, kurator dan pendidik.

Beliau bakal melanjutkan pengajian dalam Sarjana (MA) Seni dan Ekologi di Goldsmiths, Universiti London di United Kingdom.

Untuk Cik Fajrina pula, karya-karya beliau sebagai artis kontemporari antaranya tertumpu kepada menggunakan alat tradisional seperti batik, yang berisiko pupus ditelan zaman.

Minatnya dalam seni batik itu mula berputik pada 2009 semasa beliau melakukan pengajian di Akademi Seni Halus Nanyang (NAFA).

"Saya ingin mencuba batik, namun tidak ada jurusan atau elektif batik. Jadi selepas saya tamat pengajian di NAFA, baru saya dapat berkenalan dengan anggota Angkatan Pelukis Aneka Daya (APAD) dan dari situ saya dapat berkenalan dengan pelukis-pelukis mapan dan juga pelukis mapan batik," kongsi Cik Fajrina, yang pernah menyandang jawatan sebagai Presiden APAD pada 2020.

"Dari situ bermulanya pembelajaran dan saya dapat lebih mengamati batik sebagai satu cara untuk mengenali diri dan budaya saya sendiri," tambah beliau.

BINA SENI AMALAN ARTISTIK, SUMBANG KEPADA PENDIDIKAN SENI DI SG

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

Dengan biasiswa yang diterimanya itu, ia merupakan satu peluang bagi Cik Fajrina untuk terus membangunkan keupayaan artistik beliau dan menyumbang kepada pendidikan seni di Singapura.

Antaranya mengisi ruang pengetahuan dalam etnobotani dan etnoekologi serta hubungannya kepada amalan-amalan tradisional.

"Dengan biasiswa ini, saya akan menyambung penyelidikan saya yang bermula sejak tahun lepas, terutama sekali penyelidikan tentang etnobotani dan etnoekologi di samping amalan-amalan tradisional yang menggunakan botani. Melalui etnobotani ini, bagaimana kita dapat menggunakan tumbuhan-tumbuhan dalam ritual, perubatan tradisional dan juga bagaimana tumbuhan-tumbuhan ini juga dapat digunakan salah satu kraf yang digunakan di dalam rantau ini di Nusantara dan Asia Tenggara," jelas Cik Fajrina kepada wartawan Nazirah Jamzuri.

"Jadi Kolej Goldsmiths sendiri ada Taman Pigmen dan Taman Penyelidikan Seni yang saya akan dapat menggunakan untuk bereksperimen dengan karya batik saya," tambah beliau.

Menerusi pengajian itu juga, Cik Fajrina berharap dapat kenali dengan lebih mendalam lagi tentang alam sekitar.

Ini penting baginya terutama dengan Singapura sebagai negara yang terlalu pesat membangun di mana banyak amalan tradisional sudah tidak diamalkan kerana sukarnya untuk peroleh bahan-bahan tumbuhan.

Gambar: BERITA Mediacorp/Nazirah Jamzuri

"Selepas pengajian itu, saya berharap untuk kembali menyumbang kepada pendidikan seni di Singapura, di dalam dan di luar negara juga, dan sebagai artis kontemporari, saya berharap karya saya akan digunakan sebagai wacana kritis tentang kesan Persekitaran Binaan terhadap alam semula jadi dan hubungan manusia dan bukan manusia," ujar Cik Fajrina.

Cik Fajrina bakal memulakan pengajiannya pada September ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan