Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerima biasiswa BCA Nadim Nazri mahu cipta landskap seni binaan inovatif lagi mampan

Anggaran Waktu Membaca:
Penerima biasiswa BCA Nadim Nazri mahu cipta landskap seni binaan inovatif lagi mampan

Nadim Nazri antara 35 penerima biasiswa di bawah program Pertukaran Pertumbuhan dan Pembangunan Eksekutif (Edge) MND. (Gambar: MND)

Diterbitkan : 06 Jun 2022 11:52PM Dikemas Kini : 07 Jun 2022 12:53PM

BERITAmediacorp: Darah seni mengalir dalam diri Nadim Nazri - ibunya Cik Rilla Melati Bahri dikenali sebagai bakat seni yang sering muncul di kaca televisyen dari kecil lagi dan kini merupakan seorang usahawan, penggiat seni serta penulis buku yang berjaya.

Datuknya pula, Encik Bahri Rajip seorang guru pesara yang juga aktif dalam bidang penulisan.

"Saya didedahkan kepada banyak karya seni sejak dari kecil lagi dan mudah bagi saya untuk menggarap konsep-konsep seni. Tetapi minat lebih kepada seni halus dan juga reka bentuk," kongsi beliau.

Meski berbeza bidang seni, Nadim  memendam cita-cita untuk  mencipta huraian baru ke arah mewujudkan lanskap binaan dan seni bina di Singapura yang kolaboratif dan mampan yang dikagumi dan boleh dinikmati generasi masa depan.

(Gambar: MND)

Impian tersebut mendorong pemuda berusia 21 tahun itu untuk meneruskan pengajian dalam bidang Kejuruteraan dan Reka Bentuk Seni Bina di Sekolah Seni Bina Bartlett, Universiti College London, salah sebuah universiti seni bina ternama di dunia. 

Nadim merupakan antara 35 penerima biasiswa di bawah program Pertukaran Pertumbuhan dan Pembangunan Eksekutif (Edge) Kementerian Pembangunan Negara (MND). Mereka  menerima biasiswa daripada Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee  di auditorium MND pada Isnin (6 Jun)

Bekas pelajar St Joseph's Institution itu juga merupakan antara empat penerima biasiswa Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) bagi tahun ini, dua daripadanya untuk pengajian di luar negara.

Selain BCA, Nadim turut mendapat tawaran biasiswa dari HDB. 

(Gambar: Nadim Nazri)
"Saya memutuskan untuk meneruskan pengajian seni bina di Bartlett di bawah biasiswa BCA universiti itu kerana ia adalah antara yang terbaik buat kursus yang saya minati. Saya percaya ia akan melengkapi saya dengan pengetahuan kejuruteraan yang diperlukan untuk membina idea-idea tulen dan berinovasi," kata beliau.

Selepas menjalani perkhidmatan negara sepenuh masa, Nadim menjalani latihan amali di firma seni bina Kite Studio Architecture di bawah tunjuk ajar pengetua dan pengarahnya Encik Khairudin Saharom sebagai persiapan untuk pengajiannya di London.

Bakat Nadim dikenalpasti sejak di bangku sekolah rendah lagi.

"Sahabat baik saya Khairudin Saharom pernah berkata sewaktu Nadim berusia lapan tahun supaya saya mula menabung untuk Nadim masuk sekolah seni bina," kongsi Cik Rilla Melati.

Bagi Nadim, pengalaman di Kite sangat berharga.

"Saya mendapat banyak pendedahan kepada seluruh proses seni bina, daripada lukisan seni bina hinggalah elemen-elemen penting bagi rekaan bangunan yang berkesan dan mampan.

"Selain itu, saya juga berpeluang menyertai sesi mesyuarat bersama klien dan perbincangan bersama para kontraktor," ujarnya lagi.

Nadim akan memulakan pengajiannya di London, September ini dan biasiswa BCA itu akan membantunya menampung yuran kursus hingga ke peringkat sarjana.
Sumber : BERITA Mediacorp/RR/kf
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan