Penerima bantuan SalamSG Gives meningkat 30%
Sebanyak 480 keluarga memerlukan menerima bantuan dan pek makanan menerusi SalamSG Gives tahun ini, mencatatkan peningkatan lebih 30 peratus berbanding tahun lalu.
- Sebanyak 480 keluarga memerlukan menerima bantuan dan pek makanan menerusi SalamSG Gives tahun ini, mencatatkan peningkatan lebih 30 peratus berbanding tahun lalu.
- Untuk menjayakan inisiatif kali ini, Masjid Al-Khair bekerjasama dengan Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama (Harmony Circle) serta mahasiswa dari Persatuan Muslim Universiti Kebangsaan Singapura (NUSMS).
- Inisiatif SalamSG Gives di bawah SalamSG Ramadan bertujuan untuk membantu keluarga-keluarga Muslim serta golongan yang memerlukan.
- Masjid Al-Muttaqin dan Masjid Ahmad Ibrahim turut mengagihkan pek barangan runcit kepada 110 keluarga memerlukan pada hari ini.
SalamSG Gives, salah satu acara utama inisiatif SalamSG (SSG) yang disokong oleh Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), bertujuan untuk memupuk semangat memberi dan kesukarelawanan dalam masyarakat.
SalamSG 2025, inisiatif utama bagi masyarakat Islam, telah rasmi dilancarkan pada 8 Februari 2025 semasa Sidang Kemuncak One Mosque Sector.
Tahun ini, tema "Bina Keyakinan, Pupuk Kebijaksanaan" terus menjadi tumpuan, dengan penekanan pada tiga nilai utama: keyakinan dalam beragama, daya tahan menghadapi cabaran, dan pemerkasaan melalui ilmu.
Tahun ini, program itu dilaksanakan di empat kawasan melalui masjid-masjid di merata negara sebelum bulan Ramadan.
Di kawasan barat, 170 keluarga berpendapatan rendah di Chua Chu Kang menerima habuan makanan pada Sabtu pagi (22 Feb), mencatatkan peningkatan lebih 70 peratus berbanding tahun lalu.
Untuk menjayakan inisiatif kali ini, Masjid Al-Khair bekerjasama dengan Kumpulan Keharmonian Antara Kaum dan Agama (Harmony Circle) serta mahasiswa dari Persatuan Muslim Universiti Kebangsaan Singapura (NUSMS).
Masyarakat pelbagai bangsa juga turut berganding bahu dalam membungkus dan mengagihkan barangan keperluan kepada keluarga-keluarga yang memerlukan.
Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong yang hadir selaku tamu kehormat pula memuji acara tersebut.
"Mewujudkan komuniti yang prihatin adalah sebahagian penting dalam membina masyarakat yang saling mengambil berat antara satu sama lain. Dengan cara ini, kita dapat membentuk masyarakat yang lebih bersatu padu. Saya juga gembira melihat usaha pelbagai kaum ini, di mana pelbagai kumpulan etnik menyertai program ini," kata Encik Gan.
PENYERTAAN GOLONGAN BELIA HIDUPKAN MASYARAKAT SALING KASIH SAYANG
Inisiatif SalamSG Gives di bawah SalamSG Ramadan bertujuan untuk membantu keluarga-keluarga Muslim serta golongan yang memerlukan.
Anggota Pasukan Projek SalamSG Ramadan, Encik Nor Azhar Azman, berkata, "Kami menyediakan pek makanan yang mengandungi minyak masak, beras, dan tin sardin. Selain itu, kami juga memberikan meja tulis dan kerusi lipat kepada penerima zakat yang mempunyai anak-anak bersekolah, sebagai motivasi dan untuk meringankan persiapan mereka menjelang Ramadan."
Sebanyak 20 keluarga penerima zakat menerima kerusi dan meja tersebut.
Sebagai sebahagian daripada usaha SalamSG Gives untuk memupuk semangat memberi dan kesukarelawanan dalam kalangan belia, Masjid Al-Khair turut melibatkan mahasiswa dari NUSMS dalam acara itu.
Selain membungkus habuan, mereka juga terlibat dalam pengagihan kepada keluarga yang memerlukan, sekaligus memberi motivasi kepada kanak-kanak yang menerima bantuan Ramadan SalamSG Gives.
Mahasiswa NUSMS, Rukhsana Bi D/O Abdul Wahid, berkata: "Belia seperti saya memainkan peranan penting dalam memperkasa mereka yang memerlukan, dan saya berharap belia lain juga akan bersukarela pada waktu lapang."
"Walaupun NUSMS menganjurkan acara-acara kami sendiri, kami ingin memupuk semangat kesukarelawanan, menyumbang kembali kepada masyarakat, dan menyertai acara relawan seperti hari ini bersama Masjid Al-Khair," tambah Rukhsana.
Masjid Al-Muttaqin dan Masjid Ahmad Ibrahim turut mengagihkan pek barangan runcit kepada 110 keluarga memerlukan pada hari ini.
Kakitangan Masjid Abdul Aleem Siddique pula bekerjasama dengan MAEC Marine Parade untuk membantu 50 keluarga.
Bulan depan, Masjid Omar Kampung Melaka dan Masjid Haji Muhd Salleh (Palmer) akan menyokong 150 lagi keluarga melalui SalamSG Gives.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.