Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerima bantuan Comcare dengan gaji bawah S$500 masih layak bagi WIS, jamin Menteri MOM

Kriteria gaji minimum yang baru bagi Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) tidak terpakai bagi pekerja yang menerima bantuan pemerintah, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Selasa (1 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kriteria gaji minimum yang baru bagi Skim Tambahan Pendapatan Daya Kerja (WIS) tidak terpakai bagi pekerja yang menerima bantuan pemerintah, kata Menteri Tenaga Manusia Tan See Leng pada Selasa (1 Mac).

Dr Tan berkata demikian semasa menjawab soalan para Anggota Parlimen yang bertanya jika Kementerian Tenaga Manusia (MOM) boleh mempertimbangkan semula syarat baru yang diusulkan di mana para pekerja harus meraih gaji minimum sebanyak S$500 untuk melayakkan diri bagi WIS.

Ia diumumkan dalam kenyataan Belanjawan bersama dengan peningkatan pada WIS, termasuk agihan lebih tinggi.

Usia para penerima WIS juga diturunkan kepada 30 tahun dan had pendapatan akan dinaikkan dari S$2,300 kepada S$2,500.

Menteri Kewangan Lawrence Wong berkata gaji kelayakan S$500 itu adalah untuk menggalak para pekerja sambilan dan pekerja kasual untuk mengambil kerja tetap, sepenuh masa.

Sungguhpun demikian, sebilangan AP mempersoalkan langkah tersebut, termasuk Ketua Pembangkang Pritam Singh yang berkata ia akan 'menghukum' pekerja sambilan dan pekerja kasual dengan ketara.

Beliau turut menarik perhatian terdapat "sebab-sebab munasabah" untuk melakukan kerja sambilan atau kasual.

"Sesetengah daripada mereka mungkin adalah penjaga yang tidak mempunyai kelonggaran untuk melakukan tugas sepenuh masa. Ada juga yang mungkin tidak dapat berdiri lama selama lapan jam sehari dalam persekitaran makanan & minuman atas pelbagai sebab, termasuk usia mereka yang sudah lanjut," kata Encik Singh.

Beliau menganggarkan bahawa terdapat 46,600 penduduk yang membawa pulang kurang S$500 sebulan pada 2021, menurut data MOM.

20,000 PEKERJA TERJEJAS

Dr Tan, yang bangkit untuk berucap semasa membahaskan Belanjawan 2022, berkata MOM menganggarkan kurang separuh daripada jumlah itu, atau sekitar 20,000 pekerja sambilan dan kasual akan terjejas.

Tidak semua penduduk Singapura yang meraih pendapatan kurang S$500 layak bagi Daya Kerja kerana ada yang berusia bawah 30 tahun, dan ada yang tidak layak berdasarkan kriteria lain seperti nilai tahunan rumah mereka, jelasnya.

"Ada juga merupakan para pelajar yang bekerja untuk menjana pendapatan tambahan ketika masih belajar atau sesetengah daripada mereka mungkin datang daripada keluarga berpendapatan tinggi. Mereka bukanlah sasaran Daya Kerja," kata Dr Tan.

Beliau menambah bahawa langkah-langkah untuk menaikkan gaji para pekerja bergaji rendah yang akan berkuat kuasa pada tahun depan akan menaikkan gaji para pekerja itu melebihi S$500.

Berdasarkan paras gaji progresif yang baru, kebanyakan pekerja tetap hanya perlu bekerja sekitar dua hari seminggu untuk memenuhi sasaran itu, katanya.

Menurut Dr Tan, mungkin terdapat segelintir pekerja yang ingin bekerja lebih waktu namun tidak dapat meraih pendapatan S$500 sebulan atas sebab-sebab peribadi. Bagi individu daripada golongan kurang upaya dan penerima bantuan ComCare, bayaran tambang konsesi Daya Kerja akan diberikan.

"Bagi para pekerja yang meraih pendapatan kurang daripada S$500, cara terbaik adalah untuk membantu mereka mendapatkan pekerjaan dengan waktu kerja dan mutu pekerjaan yang sesuai untuk meraih pendapatan sekurang-kurangnya S$500. Daya Kerja kemudian boleh memberikan suntikan tambahan," katanya.

Menyusuli kenyataan Dr Tan, Encik Singh bertanya kepada Dr Tan jika beliau bersetuju bahawa terdapat individu yang tidak boleh bekerja sepenuh masa dan untuk mendapatkan penjelasan lanjut tentang apa yang dimaksudkannya mengenai agihan tambang konsesi Daya Kerja.

Dalam jawapannya, Menteri Negara Kanan Tenaga Manusia Zaqy Mohamad berkata: Jika anda layak bagi ComCare, anda secara automatik akan menerima Daya Kerja walaupun jika anda merupakan seorang pekerja sambilan, dan meraih pendapatan kurang S$500."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan