Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerima Anugerah Upaya Goh Chok Tong 2022, Muhd Ammar Nasrulhaq mahu perkasakan golongan kurang daya pendengaran

Dari usianya 17 tahun lagi, tekad Muhd Ammar Nasrulhaq Abdul Karim sudah bulat dan mahu jadikan bidang tarian sebagai kerjayanya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dari usianya 17 tahun lagi, tekad Muhd Ammar Nasrulhaq Abdul Karim sudah bulat dan mahu jadikan bidang tarian sebagai kerjayanya.

Kini pada usia 30 tahun, beliau bergelar sebagai seorang penari 'hip hop' dan koreografer.

Malah, minatnya dalam tarian 'hip hop' juga membawanya menjelajah ke Perancis dan Norway untuk membuat persembahan.

Namun tidak seperti penari lain, beliau tidak bergantung pada irama muzik. Sebaliknya, beliau menggunakan daya penglihatan untuk 'mendengar' irama dan rentak muzik untuk  gerak tarinya.

Ini kerana beliau merupakan seorang penari yang kurang daya pendengaran.

Namun, beliau tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak berikan yang terbaik dalam bidang yang diminatinya.

"Salah satu cabaran yang saya hadapi sebagai seorang penari adalah untuk mendengar muzik kerana terdapat salah tanggapan di mana orang ramai fikirkan bagaimana muzik boleh dikaitkan dengan golongan kurang daya pendengaran, dan memandangkan kita tidak boleh mendengar, bagaimana kita dapat mengikut rentak muzik.

"Jadi sepanjang saya membuat kajian, belajar, saya mula mencipta keupayaan sendiri 'mendengar muzik', bagaimana muzik beralun, bagaimana corak dan iramanya berbeza dan sebagainya. Saya lihat terdapat pelbagai cara untuk kita 'lihat' muzik berbanding dengan sekadar mendengarnya.

"Jadi misalnya bila saya sedang menari dan lihat penari lain menganggukkan kepala mereka, ini salah satu bentuk isyarat visual di mana saya dapat hitung '1,2,3,4' dalam fikiran saya," kata Muhd Ammar kepada BERITAmediacorp.

Muhd Ammar merupakan jurulatih utama dan koreografer bagi kumpulan tarian hip-hop 'Redeafination' yang dianggotai oleh golongan kurang daya pendengaran.

Selain aktif dalam bidang tarian, Muhd Ammar turut giat memperjuangkan pengalaman dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat kurang daya pendengaran di Singapura.

Ini dilakukannya menerusi penglibatannya sebagai Karyawan Bersekutu di Access Path Productions serta kerjasama dengan institusi-institusi tempatan seperti Muzium Negara, LASALLE dan Esplanade.

"Seringkali sebagai seorang karyawan daripada golongan kurang upaya, anda sering menghadapi cabaran dari segi akses dan ada perkara yang belum lagi disesuaikan untuk golongan seperti kita dan itu membuat anda berasa kurang puas hati dengan apa yang anda lakukan.

"Selama beberapa tahun saya belajar, terdapat banyak perkara yang ingin saya persoalkan dan saya sedar, mungkin individu yang lain juga ada persoalan yang sama dan ini mendorong saya untuk memperkasa mereka supaya dapat buktikan kepada mereka bahawa jika saya dapat lakukan sesuatu, mereka juga boleh lakukannya. Jadi saya ingin menjadi seorang peran contoh untuk memperjuangkan dan memperkasakan rakan-rakan saya yang kurang daya pendengaran," kata Muhd Ammar.

Berkat usaha dan dedikasi untuk membantu golongan kurang pendengaran seperti dirinya, Muhd Ammar dianugerahkan dengan Anugerah Upaya Goh Chok Tong 2022 (UBS Promise).

Beliau antara 15 individu yang menerima Anugerah Upaya Goh Chok Tong 2022 daripada Presiden Halimah dalam satu majlis di Istana siang tadi (1 Dis).

Anugerah itu diberikan kepada individu kurang upaya yang menunjukkan tekad untuk melangkah jauh lagi dalam bidang pilihan mereka dan keinginan untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Dalam ucapannya, Presiden Halimah menekankan kepentingan bagi sebuah masyarakat yang inklusif. 

"Sebagai sebuah masyarakat, kita mesti kukuhkan lagi usaha kolektif kita untuk membina Singapura yang prihatin dan inklusif, di mana mereka yang kurang upaya diperkasakan untuk mencapai aspirasi dan potensi mereka dan melibatkan diri sebagai anggota masyarakat yang turut menyumbang. 

Satu usaha seluruh masyarakat diperlukan di mana masyarakat dan para majikan boleh memainkan peranan yang lebih penting bagi memastikan peluang-peluang itu boleh diakses mereka yang kurang upaya," kata Presiden Halimah.  

Majlis penganugerahan tahun ini juga diadakan pada skala lebih besar sejak pandemik COVID-19 melanda.

Sebelum ini, seramai 42 individu lain sudah diiktiraf sepanjang tiga tahun lalu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan