Singapura iklan
Penerima Anugerah MENDAKI kini peguam berjaya; gigih sumbang kembali kepada masyarakat

Maryam Hasanah Rozlan, seorang peguam yang pernah menerima Anugerah MENDAKI pada 2012. (Gambar: Maryam Hasanah)
Begitulah pegangan hidup Maryam Hasanah Rozlan, seorang peguam yang pernah menerima Anugerah MENDAKI pada 2012.
Ketika itu, Maryam yang sedang menunggu untuk meneruskan pengajian ke peringkat universiti diberikan pengiktirafan menerusi anugerah tersebut atas pencapaian cemerlang beliau di peringkat GCE ‘A’.
Anugerah tersebut dan biasiswa Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Singapura (PSC) yang turut diterima pada tahun yang sama, membangkitkan lagi semangat dan melahirkan prinsip baru dalam diri Maryam untuk menyumbang kembali kepada masyarakat.
“Bagi saya, anugerah itu merupakan satu pengiktirafan daripada masyarakat atas pencapaian akademik saya. Saya berterima kasih ke atas segala sokongan dan galakan yang diberikan. Anugerah itu juga satu peringatan penting kepada diri saya, supaya menyumbang kembali kepada masyarakat dan memberikan sokongan saya kepada orang lain, apabila mampu melakukannya,” kata Maryam, 29 tahun.

Beliau pernah berkhidmat di MENDAKI sebagai seorang pembimbing #amPowered@MTS bagi para pelajar sekolah menengah antara 2015 dengan 2016.
Hari ini, beliau adalah pembimbing bagi gerakan sukarelawan Beautiful People, yang memperkasakan remaja perempuan dan wanita muda dari rumah-rumah kebajikan untuk menjadi generasi pemimpin pelapis bagi pertubuhan tersebut atau dalam kalangan masyarakat secara amnya.

“Saya melalui pengalaman secara langsung bagaimana sedikit galakan, panduan dan kesabaran daripada seorang pembimbing boleh membantu seseorang (seperti saya),” ujar Maryam.
Sebagai seorang peguam di Kaplan Singapore, Maryam, bertugas membantu penolong ketua peguam bagi cawangan di Singapura untuk menguruskan hal-hal seperti nasihat perundangan, pematuhan serta perlindungan data, baik di Singapura mahupun di Asia.
MENDAKI TERAJU USAHA PERTINGKAT KEHIDUPAN MASYARAKAT MELAYU/ISLAM
Maryam merupakan salah seorang daripada ribuan anak Melayu/Islam yang meraih manfaat daripada sokongan dan bantuan MENDAKI sejak ia ditubuhkan pada 1981 dan kemudian kembali menyumbang kepada masyarakat.
Pada 1982, MENDAKI secara rasmi ditubuhkan sebagai sebuah yayasan dan ia menumpukan perhatian kepada usaha mempertingkatkan taraf pendidikan anak-anak Melayu/Islam.
Antara program-program yang ditawarkan MENDAKI termasuk Skim Tuisyen MENDAKI (MTS). Sejak diperkenalkan kira-kira empat dekad yang lalu, lebih 252,000 pelajar sudah meraih manfaat daripada program tersebut.

Selain itu, terdapat juga program bagi memperkasakan para pelajar menerusi #amPowered@MTS, seperti yang disertai Maryam dan #amPowered@ITE.

Ini selain program KelasMateMatika (KMM) untuk memperkasa ibu bapa kanak-kanak prasekolah supaya lebih berkeyakinan dalam membantu membimbing pembelajaran anak-anak mereka.

Sedang keperluan masyarakat berkembang dan berubah-ubah, MENDAKI kemudian memperluaskan bidang tumpuannya untuk turut merangkumi aspek-aspek ekonomi, sosial dan budaya masyarakat dalam jangka panjang.
Sejak ditubuhkan empat dekad lalu, saban tahun secara purata MENDAKI berjaya menolong lebih 70,000 penerima bantuan menerusi pelbagai program dan inisiatif yang ditawarkan.
SUKARELAWAN DIGALAK TERUSKAN KHIDMAT
Di tengah-tengah kejayaan yang dikecapi masyarakat, tentu sekali sebahagiannya hasil bantuan dan penglibatan para sukarelawannya yang tidak pernah jemu untuk tampil memberi sumbangan tenaga dan kepakaran. Maka itu, para sukarelawan sentiasa digalak agar terus menyumbang kembali kepada masyarakat Melayu/Islam, sama ada menerusi MENDAKI mahupun cara-cara lain.
Harapannya, agar kehidupan masyarakat dapat terus dipertingkat, sekali gus mencapai lebih banyak kemajuan pada tahun-tahun mendatang.
Menggalakkan anggota masyarakat - baik muda mahupun tua - supaya tampil sebagai sukarelawan, Maryam berkata: “Saya sangat percaya kepada nilai pementoran. Setiap orang, tanpa mengira usia mereka, ada kebijaksanaan untuk menawarkan khidmat sebagai pembimbing. Tugas membimbing boleh datang dalam pelbagai bentuk - akademik, kerjaya, keibubapaan dan sebagainya. Terdapat banyak peluang untuk berkhidmat sebagai pembimbing dengan pertubuhan-pertubuhan seperti MENDAKI.”
Beliau menambah, setiap sumbangan masa dan tenaga, walau sekecil mana sekalipun tetap akan memberi manfaat dan kesan yang baik dalam usaha untuk mencapai sesuatu matlamat. Soalan-soalan mudah seperti ‘apakah impian anda?’ “boleh menjadi pembakar semangat kepada seorang anak muda yang tidak pernah memikirkan tentang matlamat jangka panjang hidupnya”.
Selain itu, penting untuk masyarakat memahami bahawa berkhidmat sebagai sukarelawan (sebagai pembimbing atau dalam bentuk yang lain) “bukan setakat tentang menyumbang kembali kepada masyarakat, tetapi ia juga peluang bagi peningkatan diri sendiri. Pengalaman yang ditimba itu sama nikmatnya dengan usaha dan bantuan yang dihulurkan”, kata Maryam lagi.
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perjalanan MENDAKI menyokong usaha-usaha meningkatkan taraf kehidupan masyarakat Melayu/Islam, anda boleh tonton video berikut:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.