Skip to main content

Singapura

Penerima Anugerah Hari Kebangsaan bertekad perkukuh kehidupan beragama, pacu pencapaian masyarakat

Anggaran Waktu Membaca:

New: You can now listen to articles.

This audio is generated by an AI tool.

Diterbitkan : 10 Aug 2025 09:47PM Dikemas Kini : 10 Aug 2025 10:26PM
SINGAPURA: Komitmen untuk terus meningkatkan mutu kehidupan beragama di Singapura serta pencapaian masyarakat Melayu/Islam.

Namun, usaha berterusan itu perlukan sokongan dan gotong-royong masyarakat secara keseluruhan untuk direalisasikan.

Begitulah iltizam para penerima Melayu/Islam, daripada 7,210 yang diiktiraf Anugerah Hari Kebangsaan 2025.

USAHA YANG PERLUKAN GOTONG-ROYONG SEMUA
Related article image
Ustaz Pasuni Maulan (berbaju biru): penerima Pingat Jasa Gemilang
Ustaz Pasuni Maulan, 80 tahun, diiktiraf dengan anugerah ketiga tertinggi, Pingat Jasa Gemilang, di atas sumbangannya selaku anggota, Majlis Tertinggi MUIS.

"Saya punya keyakinan bahawa untuk membangun sebuah masyarakat yang mempunyai integriti, akan dapat menyumbang kepada kemajuan negara kita, mestilah diasaskan kepada keluarga. Keluarga utuh, masyarakat akan turut utuh," ujar Ustaz Pasuni kepada wartawan Roslinda Rahmat sewaktu ditemui di Masjid Tentera.

Beliau menekankan bahawa usaha yang dilakukannya memerlukan gotong-royong dan kesedaran bahawa ia merupakan tanggungjawab bersama.

"Jadi mereka yang punya masa, mereka yang punya idea untuk melaksanakan tanggungjawab ini, lakukanlah. Kerana, walaupun kita telah mencapai beberapa kemajuan tapi berdasarkan peratus masyarakat kita di bidang sama ada di bidang pendidikan, di bidang profesional, kita masih jauh. Dan ini merupakan satu cabaran kepada kita semua. Kita tidak boleh membiarkan satu golongan berusaha, tetapi kita yang lain berpeluk tubuh."

Tambahnya, merupakan satu kegagalan sebuah masyarakat andai tidak punya sifat prihatin kepada pembangunan masyarakatnya.

"Umpamanya jika setiap pasangan memahami tanggungjawab dan mereka memahami bahawa merekalah yang akan mencorakkan masyarakat masa depan, dan bila nak mencorakkan masyarakat masa depan, ibu bapa mesti tahu apa corak yang nak dibentuk dan tentunya bagi kita, ia tidak setakat kemajuan dalam bidang pendidikan, tetapi kemajuan yang menyeluruh. Sama ada dari segi rohani, dari segi pendidikan dari segi akhlak dan bagaimana pula anak-anak ini apabila dewasa dapat sekurang-kurangnya menjaga ibu bapa dan juga menyumbang kepada masyarakatnya."

USAH 'SEBAB NILA SETITIK, ROSAK SUSU SEBELANGA'

Ustaz Pasuni mengingatkan peribahasa Melayu, "sebab nila setitik, rosak susu sebelanga. Jadi tiap-tiap ibu bapa, tiap-tiap keluarga mestilah cuba jangan menjadikan rumah tangga mereka sebagai benih-benih yang boleh menjejas nama baik masyarakat, nama baik pegangan hidup mereka sebagai orang Islam. Sebaliknya, mereka seharusnya berusaha melahirkan anak-anak yang boleh menyumbang kepada pembangunan keluarga, masyarakat dan negara. Bukan anak-anak yang melakukan perkara-perkara sumbang yang boleh menyebabkan imej kita tercalar dan imej agama yang kita cintai ini juga rosak kerana individu-individu yang tidak dibentuk sebagai penyumbang untuk kemajuan masyarakat dan negara."

Ustaz Pasuni berharap anugerah ini menjadi pendorong kepada para asatizah muda untuk turut memainkan peranan bersama, "Bila saya melihat keadaan sekeliling, saya khuatir kalau guru-guru agama ataupun ustaz, ustazah selesa di dalam kepompong masing-masing. Mereka mesti keluar bukan sahaja sebagai tenaga pengajar, bagaimana mereka nak berinteraksi dengan masyarakat, memahami keadaan masyarakat yang memerlukan banyak tenaga."

MULAKAN JAWATAN DI TENGAH-TENGAH MASA SUKAR
Related article image
Encik Kadir Maideen Mohamed (2 dari kanan): menerima Pingat Pentadbiran Awam (Perak)
Bagi Ketua Eksekutif MUIS, Encik Kadir Maideen Mohamed pula, anugerah Pingat Pentadbiran Awam (Perak) yang diterimanya merupakan cerminan usaha kolektif pasukannya di MUIS.

Encik Kadir yang menyandang jawatan Ketua Eksekutif sejak tahun 2021 di tengah-tengah kerumitan cabaran COVID-19, meluahkan rasa bangga di atas kerja keras yang berterusan oleh pasukan kakitangan MUIS yang dipimpinnya.

"Kami meneroka macam mana untuk menaikkan gaji para asatizah kami dan kami menggunakan garis panduan gaji bersama, selama 3 tahun yang lepas dan ini telah membawa kesan positif dan martabatkan status asatizah kami. Penglibatan kami di arena antarabangsa - menganjurkan persidangan antarabangsa Communities for Success di Singapura sebanyak dua kali. Dan penghargaan yang kami terima dari kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi di mana cara pengurusan jemaah haji kami diberi pengiktirafan Anugerah Labbaitum. Sudah dua kali dalam masa empat tahun," kongsi Encik Kadir kepada BERITA Mediacorp.

Ke hadapan, banyak lagi usaha Encik Kadir dan pasukannya di MUIS sudah dibentangkan dalam Pelan 3-tahun MUIS baru-baru ini.

"Anugerah ini memberi kita di MUIS lebih semangat lagi untuk lebih gigih memberi khidmat kepada masyarakat kami di Singapura. Dan ini juga menunjukkan yang khidmat kami kepada masyarakat dikenali dan dihargai oleh pemerintah. Itu yang menjadi inspirasi bagi kami untuk terus menjalankan tugas-tugas kami di MUIS," ujar Encik Kadir.

ANUGERAH ANUMERTA BAGI HARGAI SUMBANGAN
Related article image
Ustaz Tengku Mohd Fouzy Tengku Mahid Jumat. (Gambar: Zulkarnain Anwar/Facebook)
Sementara itu, sumbangan Allahyarham Ustaz Tengku Mohamad Fouzy Jumat sebagai mantan anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG) dihargai menerusi anugerah Pingat Bakti Masyarakat (Anumerta).

Anak keduanya - anak lelaki paling tua yang mewarisi bersama pengurusan syarikat umrah dan haji Allahyarham pula berharap anugerah ini menjadi pemangkin kepada anak-anak dan murid-murid Almarhum.

"Allahyarham memberikan kaunseling dan dengan penuh kasih-sayang kepada mereka, untuk menjadikan mereka sebagai pemahaman yang baik dan pemahaman yang muktadil, yang pertengahan," luah Ustaz Tengku Muhammad Fauwaz Faturrahman Tengku Mohamad Fouzy Jumat.

Lebih daripada itu, ajaran Almarhum Ustaz TM Fouzy ke arah kesederhanaan dan perlunya mencari guru dan bukan melalui internet, dalam usaha untuk mendalami ilmu agama, ditekankan Ustaz Tengku Fauwaz.

"Setelah keluar daripada universiti, Almarhum terus memulakan dakwahnya kepada masyarakat Islam Singapura. Sumbangan Almarhum yang paling berkesan dan berkekalan adalah daripada segi pendidikan, di mana beliau menghabiskan hayatnya di Singapura ini dengan membanyakkan majlis-majlis di masjid-masjid. Setiap hari ada majlis di masjid, sama ada di utara, timur, barat.

RANCANGAN UNTUK BUKA PUSAT PENDIDIKAN DEMI TERUS SAMPAIKAN AJARAN SEDERHANA

"Anugerah ini sangat bererti kepada keluarga kami dan begitu juga pegawai-pegawai kami di TM Travel. Anugerah ini juga mendatangkan kepada kami sebagai kewajipan untuk meneruskan lagi legasi Almarhum Ustaz Fouzy dan kami berusaha untuk membuka Pusat Pendidikan TM Fouzy untuk membawa para jemaah kami dan umat Islam di Singapura kepada ajaran yang benar, iaitu ajaran Islam yang sederhana."

Ini lantas mengingatkan Ustaz Fauwaz kepada peringatan Almarhum bapanya tentang tanggungjawab dan cinta kepada negara. "Apa yang diajarkan kepada kita, yang disampaikan oleh Almarhum iaitu cinta kepada negara kita. Itulah separuh daripada iman kita. Sekiranya iman kita belum lagi, belum lagi cinta kepada negara maka di situ iman kita belum lagi sempurna."

Tahun lalu, 6,774 menerima Anugerah Hari Kebangsaan, dengan para penerimanya termasuk Imam Masjid Ba'alwie, Habib Hassan dan Timbalan Mufti, Dr Murat Aris.
Sumber : BERITA Mediacorp/RL/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita