Penerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan, 'Mr Shah' jadikan pembelajaran Matematik seronok, prihatin isu buli siber
Muhammad Sultan Karimshah atau lebih dikenali sebagai 'Mr Shah' oleh para pelajarnya, antara tujuh guru yang menerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan pada 9 Jul. (Gambar: NIE)
SINGAPURA: Menggunakan contoh dalam kehidupan sebenar dan permainan untuk membolehkan pelajar lebih memahami konsep-konsep dalam mata pelajar Matematik.
Itulah antara pendekatan yang digunakan guru Matematik dan Kimia di St Joseph's Institution, Muhammad Sultan Karimshah untuk menjadikan pembelajaran subjek yang lazimnya digeruni para pelajar, lebih seronok dan menarik.
"Saya menemui satu sumber online yang membolehkan saya mendapatkan para pelajar saya untuk mereka 'bingo card' dan bermain Bingo dalam bilik darjah bersama mereka untuk mengukuhkan pembelajaran kami tentang topik 'probability'. Bila boleh, saya sentiasa berusaha memastikan pelajar dapat melihat hubungan dan kaitan antara apa yang mereka pelajari di bilik darjah dan dalam latar kehidupan nyata yang sahih, yang sudah membantu mereka untuk terus terlibat secara bermakna dalam pembelajaran," dedah Encik Shah atau lebih dikenali sebagai 'Mr Shah' oleh para pelajarnya.
Selain subjek Matematik, beliau juga prihatin akan gejala buli siber dalam kalangan pelajar.
Sebagai ahli Jawatankuasa Disiplin dan Pengurus Disiplin Peringkat Tingkatan di St. Joseph’s Institution, beliau juga bekerja rapat dengan rakan-rakan sejawatannya serta Ketua Jabatan (Disiplin) untuk mendidik para pelajar tentang amalan baik dan positif apabila berkomunikasi online serta bahayanya buli siber dan 'doxxing'.
"Kami juga telah berkongsi melalui program perhimpunan bagaimana ciri-ciri dalam permainan direka secara sengaja untuk menarik perhatian mereka kepada platform itu. Harapan kami di sini ialah, apabila pelajar lebih sedar tentang ciri-ciri dan prinsip reka bentuknya, mereka boleh mengawal tingkah laku mereka dengan lebih kesedaran," kongsi Encik Shah kepada wartawan Nazirah Jamzuri dalam satu jawapan bertulis.
ENCIK SHAH ANTARA 7 GURU TERIMA ANUGERAH BELIA CEMERLANG DALAM PENDIDIKAN
Berkat usaha gigihnya itu, beliau terpilih menjadi antara tujuh pendidik muda yang menerima Anugerah Belia Cemerlang dalam Pendidikan (OYEA).
Anugerah itu disampaikan Menteri Pendidikan Desmond Lee dalam Upacara Pelantikan Guru Institut Pendidikan Nasional (NIE) pada Rabu (9 Jul).
Mereka terpilih daripada lebih 1,430 guru bawah usia 35 tahun yang dicalonkan tahun ini.
"Saya amat bersyukur menerima anugerah ini dan yang paling penting lagi, saya ingin menyampaikan penghargaan ikhlas saya atas sokongan dan galakan berterusan yang diberikan sekolah saya, pemimpin sekolah dan rakan sekerja. Anugerah ini bagi saya merupakan pengiktirafan terhadap persekitaran yang menggalakkan dan sokongan yang saya ada di sekolah dan apa yang ia boleh lakukan kepada guru-guru muda," luah Encik Shah, 34 tahun.
"Anugerah ini juga telah membantu saya merenung kembali amalan pengajaran yang baik yang saya sudah terapkan selama ini termasuk sikap keterbukaan untuk meneroka pedagogi pengajaran yang inovatif dan kreatif melalui kerjasama dengan rakan pendidikan serta menyesuaikan diri dengan perubahan. Saya juga ingin menambah bahawa anugerah ini menggalakkan saya untuk terus melakukan yang terbaik untuk para pelajar," tambah beliau.
INGIN TERUS JADI INSPIRASI DAN TEMPAT BERGANTUNG BUAT PELAJAR
Encik Shah turut berkongsi kepada BERITA Mediacorp rancangan beliau untuk terus memberi inspirasi kepada para pelajarnya sebagai pendidik.
"Rancangan masa depan ialah untuk terus meneroka dan bersifat terbuka kepada perubahan dan terus mencuba strategi pengajaran baharu. Ini penting kerana dengan setiap generasi baharu, kita melihat bagaimana cara pelajar belajar berubah," kata Encik Shah.
"Oleh itu, mudah menyesuaikan diri dan mengajar dalam cara yang membantu mereka belajar dengan cekap dan membantu mereka memahami apa yang mereka pelajari akan membolehkan saya untuk terus menjadi inspirasi kepada mereka kerana mereka boleh mengharapkan saya untuk membantu mereka belajar," tambahnya.
Selain menerima piala dan sijil, Encik Shah dan enam lagi penerima OYEA kali ini mendapat tajaan penuh untuk mengikuti program pembangunan profesional di luar negara.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.