Penerima 2 dos vaksin Sinovac tidak perlu janji temu untuk dos ke-3 di beberapa pusat vaksinasi
Vaksin Sinovac. (Gambar: REUTERS)
SINGAPURA: Penduduk yang sudah menerima dua dos suntikan vaksin COVID-19 Sinovac-CoronaVav boleh mendapatkan suntikan dos penggalak mereka di pusat vaksinasi tertentu tanpa perlu membuat janji temu, kata Kementerian Kesihatan pada Jumaat (24 Dis).
MOH mengumumkan awal bulan ini bahawa mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Sinovac "amat digalakkan" untuk mengambil dos ketiga vaksin COVID-19 sebelum 31 Dis, asalkan sudah jarak tiga bulan selepas mengambil dos kedua mereka.
Terdapat sekitar 29,000 individu yang dijadual mengambil dos ketiga mereka selepas menerima dua dos vaksin Sinovac, kata MOH lagi.
Tambahnya, penduduk sedemikian "disyorkan" mengambil vaksin mRNA di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) untuk dos ketiga mereka, kecuali jika tidak layak dari segi perubatan untuk berbuat demikian
"Ini akan membantu mengekalkan perlindungan daripada vaksin tersebut, kerana paras antibodi daripada vaksin Sinovac-CoronaVac merosot dengan cepat dalam masa tiga hingga enam bulan selepas menerima suntikan dos kedua," kata MOH.
"Menurut data antarabangsa yang baru dikeluarkan, walaupun vaksin mRNA, terutama sekali dengan vaksin penggalak, memberi perlindungan terhadap varian Omicron, vaksin Sinovac-CoronaVac dan Sinopharm menyebabkan aktiviti peneutralan yang lebih lemah dan mungkin tidak cukup perlindungan."
Suntikan dos ketiga itu akan mengekalkan status lengkap divaksin buat individu tersebut, tambah MOH.
"Jika melebihi tempoh masa ini, status vaksinasi individu tersebut akan menunjukkan 'dos tambahan diperlukan' dan mereka tertakluk di bawah langkah-langkah keselamatan vaksinasi berdasarkan status vaksinasi jika tidak menerima dos tambahan itu," kata MOH.
Mereka yang sudah menerima dua dos vaksin Sinovac boleh mendapatkan dos ketiga di beberapa pusat vaksinasi tanpa perlu janji temu.
Ini termasuk pusat-pusat vaksinasi yang menawarkan vaksin Moderna. Jika mereka berusia 60 tahun dan ke atas, mereka boleh ke pusat-pusat vaksinasi yang menawarkan vaksin Pfizer-BioNTech/Comirnaty tanpa sebarang janji temu.
Pusat Konvensyen Raffles City, yang menawarkan vaksin Sinovac, juga akan menerima individu-individu tanpa janji temu sehingga 31 Disember.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.