Skip to main content

Singapura

Penerbangan SQ33 San Francisco-S'pura dibatalkan selepas pesawat bergeser pesawat lain di landasan

Sebuah penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari San Francisco ke Singapura dibatalkan pada Rabu (3 Nov) selepas sayap pesawat itu bergeser dengan satu lagi pesawat ketika di landasan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbangan SQ33 San Francisco-S'pura dibatalkan selepas pesawat bergeser pesawat lain di landasan

Teknisyen memeriksa pesawat Airbus A350-900 SIA di Lapangan Terbang Changi pada 24 Okt 2020. (Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 05 Nov 2021 02:51PM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 02:53PM

SINGAPURA: Sebuah penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari San Francisco ke Singapura dibatalkan pada Rabu (3 Nov) selepas sayap pesawat itu bergeser dengan satu lagi pesawat ketika di landasan.

Penerbangan SQ33 dari San Francisco ke Singapura dijadual berlepas pada 9.50 malam Rabu waktu tempatan (12.50 tengah hari Khamis, waktu Singapura).

Flightradar24 menunjukkan pesawat itu meninggalkan dan kemudian kembali ke terminal antara pukul 9.39 malam dengan 10.27 malam.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap SIA berkata: "Pada Rabu, 3 November 2021, sayap pesawat Airbus A350-900 Singapore Airlines yang sedang membuat persediaan untuk berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco membuat kontak dengan sebuah lagi pesawat di landasan.

“Pesawat SIA A350-900 selamat kembali ke terminal untuk pemeriksaan dan tiada kecederaan dilaporkan pada anak kapal mahupun penumpang yang berada dalam pesawat itu."

Penerbangan itu dibatalkan dan para jurutera menjalankan pemeriksaan ke atas pesawat tersebut, tambah jurucakap berkenaan.

SIA sudah menghulurkan bantuan kepada penumpang terjejas dengan mengaturkan penginapan semalaman di hotel dan menempatkan mereka dalam penerbangan SQ33 yang dijadual berlepas pada 9.50 malam Khamis, waktu tempatan.

Pesawat itu berlepas pada 10.11 malam dan sedang dalam perjalanan ke Singapura, menurut data pengesanan di Flightradar24 serta FlightAware.

“Singapore Airlines ingin meminta maaf kepada pelanggan kami atas kesulitan yang berlaku," kata jurucakap itu. Beliau menambah syarikat penerbangan itu tidak boleh memberikan ulasan lanjut kerana siasatan ke atas insiden tersebut masih dijalankan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita