Skip to main content

Singapura

Penerbangan SIA, Scoot terjejas dengan penutupan ruang udara Pakistan, lapangan terbang India

Enam penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan Scoot dibatalkan atau dilencongkan pada Rabu (27 Feb) menyusuli ketegangan memuncak yang berlaku antara Pakistan dengan India sehingga ruang udara Pakistan dan beberapa lapangan terbang India ditutup.

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbangan SIA, Scoot terjejas dengan penutupan ruang udara Pakistan, lapangan terbang India

(Gambar fail: Reuters/AFP)

Diterbitkan : 28 Feb 2019 11:12AM Dikemas Kini : 28 Feb 2019 11:18AM

SINGAPURA: Enam penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan Scoot dibatalkan atau dilencongkan pada Rabu (27 Feb) menyusuli ketegangan memuncak yang berlaku antara Pakistan dengan India sehingga ruang udara Pakistan dan beberapa lapangan terbang India ditutup.

Daripada enam penerbangan yang terjejas, tiga adalah penerbangan SIA yang sedang menghala ke Eropah dari Singapura, kata seorang jurucakap SIA sebagai menjawab pertanyaan Mediacorp.

SQ308 dan SQ318 masing-masing melakukan persinggahan di Dubai dan Mumbai untuk mengisi minyak kapal terbang, sebelum meneruskan perjalanan ke London, kata jurucakap tersebut. SQ326 pula berhenti di Mumbai untuk mengisi minyak sebelum meneruskan perjalanan ke Frankfurt.

SQ325, bagaimanapun, dibatalkan, dengan semua penumpangnya dipindahkan.

"Semua penerbangan lain yang seharusnya melalui ruang udara terjejas, dilencongkan. Namun, semua dijangka kembali beroperasi seperti yang dijadualkan buat masa ini," tambah SIA.

Dalam pada itu, lebih 600 penumpang terjejas apabila Scoot membatalkan dua penerbangannya "akibat penutupan Lapangan Terbang Antarabangsa Amritsar dan beberapa lapangan terbang lain di India", kata seorang jurucakap kepada Mediacorp.

Penerbangan-penerbangan yang dibatalkan adalah TR508 yang seharusnya menuju ke Amritsar dari Singapura dan dijadualkan berlepas pada 3.50 petang (waktu tempatan) dan TR509 dari Amritsar ke Singapura yang dijadualkan berlepas pada jam 8.45 malam (waktu tempatan).

Para penumpang terjejas diberi pilihan untuk mendapatkan wang mereka semula atau mengatur penerbangan baru ke destinasi-destinasi lain di India yang ditawarkan Scoot.

"Scoot akan terus memantau keadaan, yang masih tidak menentu," menurut syarikat tersebut.

Pakistan melancarkan serangan udara dan menembak jatuh dua jet pejuang India pada Rabu (27 Feb), kata para pegawai Pakistan, sehari selepas pesawat perang India menyerang Pakistan buat pertama kali sejak peperangan pada 1971.

Ketegangan tersebut semakin memuncak sejak berlaku serangan nekad oleh kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan, di Kashmir. 40 pegawai polis maut dalam serangan pada 14 Feb itu.

Banyak penerbangan komersil ke Pakistan, termasuk yang dikendalikan Emirates, Etihad, Gulf Air dan Qatar Airways, digantung manakala British Airways antara penerbangan yang terpaksa dilencongkan bagi mengelak ruang udara yang terjejas.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita