Penerbangan SIA ke New York terjejas susuli ribut salji di Amerika
Ribut Musim Sejuk Fern mengganggu perjalanan udara di Amerika Syarikat, memaksa syarikat-syarikat penerbangan membatalkan penerbangan, memberi amaran tentang kelengahan serta mengeluarkan pengecualian perjalanan, sedang ais, salji dan angin kencang melanda hab-hab utama serta lapangan terbang serantau di selatan, timur dan bahagian tengah negara itu.
Sebanyak 10 penerbangan SIA dibatalkan, termasuk (semuanya waktu tempatan):
- SQ22: Singapura–New York (Newark) pada 25 Januari, pukul 12.40 pagi
- SQ21: New York (Newark)–Singapura pada 25 Januari, pukul 9.35 pagi
- SQ22: Singapura–New York (Newark) pada 26 Januari, pukul 12.40 pagi
- SQ21: New York (Newark)–Singapura pada 26 Januari, pukul 9.35 pagi
- SQ24: Singapura–New York (John F Kennedy) pada 25 Januari, pukul 12.10 tengah hari
- SQ23: New York (John F Kennedy)–Singapura pada 25 Januari, pukul 10.05 malam
- SQ26: Frankfurt–New York (John F Kennedy) pada 25 Januari, pukul 8.35 pagi
- SQ25: New York (John F Kennedy)–Frankfurt pada 25 Januari, pukul 8.15 malam
- SQ26: Frankfurt–New York (John F Kennedy) pada 26 Januari, pukul 8.35 pagi
- SQ25: New York (John F Kennedy)–Frankfurt pada 26 Januari, pukul 8.15 malam
Syarikat penerbangan itu menyatakan ia akan menghubungi semua penumpang yang terjejas untuk memaklumkan kepada mereka mengenai pembatalan penerbangan tersebut dan memohon maaf atas kesulitan yang dialami.
“Memandangkan keadaan masih berubah-ubah, penerbangan SIA yang lain juga mungkin terjejas,” menurutnya, sambil menasihati para pelanggan supaya melayari lamannya untuk mendapatkan maklumat terkini.
Para penumpang yang terjejas akan ditempatkan semula dalam penerbangan-penerbangan alternatif, menurut SIA. Jika tidak, mereka boleh memohon bayaran balik penuh bagi bahagian tiket yang tidak digunakan.
Menurut penjejak penerbangan FlightAware, lebih 3,200 penerbangan dalam, ke atau keluar dari Amerika Syarikat dibatalkan setakat pukul 6.00 petang pada Sabtu.
Selain SIA, syarikat penerbangan seperti Air India turut membatalkan penerbangan berikutan ribut salji di New York.
Syarikat itu memaklumkan pada Sabtu bahawa ia sudah membatalkan semua penerbangan ke dan dari New York serta Newark, New Jersey, bagi Ahad dan Isnin, menyusuli ribut musim sejuk yang teruk dengan salji tebal diramalkan melanda kawasan tersebut.
RIBUT AIS YANG "AMAT DAHSYAT"
Salji turun di beberapa kawasan di Texas, Oklahoma dan Kansas pada Jumaat, sebagai permulaan kepada ribut besar musim sejuk yang dijangka bergabung dengan cuaca Artik yang amat sejuk dan melanda sebahagian besar Amerika Syarikat sepanjang hujung minggu, dari kawasan Rockies hingga ke pesisir timur.
Ramalan cuaca menyatakan salji tebal, hujan ais dan hujan yang amat sejuk, disertai suhu amat rendah dan berbahaya, akan melanda dua pertiga daripada bahagian timur negara itu, mengancam perjalanan serta mencetuskan gangguan bekalan elektrik secara meluas.
Sekurang-kurangnya 14 wilayah dan Daerah Columbia mengisytiharkan darurat cuaca setakat pagi Jumaat, manakala syarikat-syarikat penerbangan utama Amerika Syarikat memberi amaran kepada para penumpang agar bersedia menghadapi perubahan penerbangan dan pembatalan secara mendadak.
“Ini ribut yang ganas,” kata Jacob Asherman, seorang pakar meteorologi di Pusat Ramalan Cuaca Amerika Syarikat di Maryland, sambil menyifatkannya sebagai yang terbesar setakat musim ini dari segi kekuatan dan skopnya.
Amaran dan nasihat pemerintah berhubung keadaan ribut musim sejuk, ribut ais dan cuaca sejuk melampau dikeluarkan dari kawasan Rockies selatan hingga ke pesisir pertengahan Atlantik dan New England, melibatkan lebih 200 juta penduduk Amerika.
Jumlah salji dijangka melebihi satu kaki di kawasan paling terjejas di Rockies, daerah Plains, wilayah pertengahan Atlantik dan Timur Laut, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan.
Di pinggir selatan laluan ribut salji itu, hujan ais dan hujan yang amat sejuk dijangka menyelaputi Selatan daerah Plains, hilir Mississippi Valley, Tennessee Valley dan bahagian Tenggara dengan pengumpulan ais yang “amat dahsyat”, menurut peramal cuaca.
Keadaan paling teruk diramalkan berlaku di beberapa kawasan di Louisiana, Mississippi dan Tennessee, di mana lapisan ais setebal sehingga satu inci berkemungkinan menyelaputi dahan-dahan pokok, talian elektrik dan jalan raya, kata Encik Asherman.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.