Penerbangan SIA ke Frankfurt ditangguh selepas lori katering langgar enjin pesawat
Penerbangan Singapore Airlines (SIA) ke Frankfurt ditangguh setelah sebuah lori katering melanggar enjin pesawat, kata jurucakap syarikat penerbangan itu dalam respons kepada pertanyaan oleh Mediacorp pada Jumaat (24 Apr).
Penerbangan SIA SQ326 dijadual berangkat dari Lapangan Terbang Changi pada pukul 12.35 tengah hari pada Rabu (22 Apr).
Jurucakap itu berkata lori katering itu "terlanggar" salah satu enjin pesawat Airbus A380 berkenaan sebelum penumpang menaiki pesawat tersebut, dan ia perlu dibaiki dan melakukan pertukaran pesawat.
"Tiada pelanggan berada dalam pesawat itu apabila kejadian itu berlaku dan tiada kecederaan dilaporkan," kata jurucakap berkenaan, sambil menambah penumpang yang terjejas diberikan makanan dan minuman sementara menantikan pesawat baharu.
Pesawat itu kemudian berangkat dari Singapura pada pukul 2.13 petang dengan membawa 452 penumpang dan 28 anak kapal.
Ia tiba di Frankfurt pada pukul 8.40 malam waktu tempatan pada hari yang sama.
Menyusuli penangguhan itu, penerbangan SQ325 dari Frankfurt ke Singapura pada Rabu dibatalkan disebabkan oleh perintah berkurung di Lapangan Terbang Frankfurt.
"SIA menghulurkan bantuan sewajarnya kepada semua pelanggan, termasuk penginapan hotel dan tempahan semula penerbangan sambungan bagi pelanggan yang terjejas," kata jurucakap itu.
"Keselamatan para pelanggan dan anak kapal sentiasa menjadi keutamaan kami," kata jurucakap tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.