Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerbangan SIA ke Eropah seperti biasa, dilencongkan untuk elak ruang udara Pakistan

Kesemua penerbangan Singapore Airlines (SIA) ke Eropah beroperasi mengikut jadual namun dilencongkan untuk mengelak ruang udara Pakistan yang ditutup, menurut syarikat penerbangan itu pada Khamis (28 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbangan SIA ke Eropah seperti biasa, dilencongkan untuk elak ruang udara Pakistan

Pesawat Singapore Airlines. (Gambar: Edgar Su/Reuters)

Diterbitkan : 01 Mar 2019 07:36AM Dikemas Kini : 01 Mar 2019 07:38AM

SINGAPURA: Kesemua penerbangan Singapore Airlines (SIA) ke Eropah beroperasi mengikut jadual namun dilencongkan untuk mengelak ruang udara Pakistan yang ditutup, menurut syarikat penerbangan itu pada Khamis (28 Feb).

SIA menambah bahawa tiada keperluan kini untuk melakukan persinggahan bagi mengisi semula minyak.

Pada Rabu, tiga penerbangan SIA dari Singapura - dua ke London dan satu ke Frankfurt - terpaksa berhenti separuh jalan untuk mengisi semula minyak sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi mereka.

Pesawat-pesawat itu mengisi minyak di Dubai dan Mumbai.

Satu penerbangan, SQ325 dari Frankfurt ke Singapura, dibatalkan pada Rabu kerana satu kelengahan.

"Apabila ruang udara (Pakistan) dibuka semula, kami akan menjalankan satu penilaian risiko menyeluruh sebelum mengambil keputusan untuk memasuki kawasan yang terjejas itu lagi," menurut SIA pada Khamis dalam satu respons kepada pertanyaan Mediacorp.

Menurut syarikat pemantau penerbangan Flightradar, ruang udara Pakistan dibuka untuk beberapa penerbangan pada Khamis.

Ruang udara tersebut sebelum itu ditutup akibat ketegangan dengan India. Kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear itu saling mendakwa sudah menembak jatuh jet pejuang satu sama lain pada Rabu. Sementera itu Pakistan juga menahan seorang juruterbang warga India.

Penutupan ruang udara itu menjejas laluan udara yang penting antara Asia dengan Eropah.

Antara penumpang yang paling teruk terjejas ialah mereka yang berlepas dari Thailand. Ribuan pelancong di Bangkok terpaksa mengaturkan penerbangan lain selepas Thai Airways International membatalkan lebih 12 penerbangan ulang alik ke Eropah pada Rabu. 

Sumber : CNA/NA/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan