Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerbangan SIA ke Eropah ambil masa lebih panjang bagi elak ruang udara Iran

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbangan SIA ke Eropah ambil masa lebih panjang bagi elak ruang udara Iran

Gambar: Roslan Rahman/AFP

Diterbitkan : 16 Apr 2024 02:32PM Dikemas Kini : 16 Apr 2024 04:24PM
SINGAPURA: Para penumpang penerbangan Singapore Airlines (SIA) antara Singapura dan kebanyakan destinasi di Eropah menghadapi tempoh penerbangan yang lebih panjang sedang syarikat penerbangan itu mengelak ruang udara Iran.

SIA menyatakan pada Ahad (14 Apr) bahawa ia sudah memutuskan untuk melencongkan penerbangan ke destinasi-destinasi tersebut untuk mengelakkan ruang udara Iran sebagai "langkah berjaga-jaga" di tengah-tengah situasi semasa di Timur Tengah.

Pada hujung minggu lalu, Iran melancarkan lebih 300 dron dan peluru berpandu ke atas Israel dalam serangan balas pertamanya ke atas negara itu. Iran mendakwa ia adalah serangan balas terhadap serangan pada 1 April ke atas konsulat Iran di Damsyik, Syria.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap SIA berkata pada Selasa bahawa semua penerbangan SIA yang beroperasi antara Singapura dengan Amsterdam, Brussels, Copenhagen, Frankfurt, Istanbul, London, Manchester, Milan, Munich, Paris, Rom dan Zurich serta Lapangan Terbang John F Kennedy (JFK) dan Lapangan Terbang Newark di New York akan terjejas.

Ia menambah bahawa semua penerbangan Scoot antara Singapura dan Athens juga akan mengalami tempoh penerbangan yang lebih lama. Scoot adalah anak syarikat tambang hemat SIA.

"Sesetengah penerbangan mungkin mengambil masa lebih lama daripada biasa," kata jurucakap itu.

"SIA akan membantu pelanggan yang terjejas untuk menempatkan mereka dalam penerbangan alternatif, sekiranya terdapat salah sambungan disebabkan oleh masa penerbangan yang lebih panjang."

Sehingga hujung minggu lalu, penerbangan-penerbangan SIA antara Singapura dan Eropah biasanya akan merentasi ruang udara Iran, menurut data khidmat pemantau penerbangan Flightradar24.

Sejak itu, bagaimanapun, SIA terpaksa melalui laluan utara yang merentasi bahagian tengah Asia, Laut Caspian dan Caucasus. Ini menyebabkan masa penerbangan yang lebih lama.

Penerbangan SQ308 Singapore Airlines dari Singapura ke Lapangan Terbang Heathrow di London, sebagai contoh, mempunyai purata masa penerbangan selama 13 jam dan 39 minit, menurut Flightradar24.

Perkhidmatan SQ308 pada Isnin bagaimanapun mengambil lebih 14 jam untuk melakukan perjalanan dari Changi ke Heathrow.

Sementara itu, SQ366 dari Singapura ke Rom dengan purata masa penerbangan selama 12 jam 38 minit mengambil masa selama 13 jam tiga minit pada Ahad (14 Apr).

Penerbangan tanpa henti SIA dari New York ke Singapura juga terpaksa diubah suai laluan penerbangannya, meskipun ia nampaknya tidak terjejas oleh lencongan itu.

Penerbangan SQ21 dari Newark ke Singapura pada Ahad sepadan dengan purata masa penerbangan selama 18 jam dan lapan minit. Begitu juga, penerbangan SQ23 dari JFK ke Singapura pada Ahad, yang hanya mengambil masa enam minit lebih lama daripada purata masa penerbangan bagi penerbangan tersebut iaitu selama 18 jam.

Jurucakap SIA turut menarik perhatian bahawa syarikat penerbangan tersebut belum membatalkan sebarang penerbangan dan akan "terus memantau dengan teliti situasi di Timur Tengah" dan membuat penyesuaian pada laluan penerbangannya jika perlu.

Jurucakap SIA juga menasihati para penumpang supaya memeriksa status penerbangan masing-masing dan mengemas kini butiran mereka di laman SIA. Mereka juga boleh memanfaatkan khidmat pemberitahuan telefon bimbit untuk menerima kemas kini penerbangan mereka.

"Kami memohon maaf kepada para pelanggan kami atas sebarang kesulitan yang dialami. Keselamatan pelanggan dan kakitangan kami adalah keutamaan nombor satu kami," tegas jurucakap itu.

Langkah yang dilaksanakan SIA untuk membuat penyesuaian pada laluan penerbangannya bagi mengelak ruang udara Iran sejajar dengan langkah-langkah yang diambil oleh syarikat-syarikat penerbangan lain, termasuk syarikat penerbangan Jerman Lufthansa dan anak syarikatnya, Austrian Airlines.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan