Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerbangan SIA dari London ke SG dilencongkan akibat masalah teknikal

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Lapangan Terbang Heathrow London ke Singapura telah dilencongkan ke Frankfurt, Jerman selepas ia mengalami masalah teknikal pada Khamis (24 Nov).

Penerbangan SQ317, sebuah pesawat Airbus A380, membawa 379 penumpang dan 27 anak kapal, kata Singapore Airlines dalam satu kenyataan.

Menurut laman pengesanan penerbangan  FlightRadar24,  penerbangan itu berlepas dari Heathrow pada kira-kira 11.20 pagi (waktu London) dan dijadualkan tiba di Singapura pada 7.50 pagi Jumaat.

Syarikat penerbangan itu menambah bahawa pesawat tersebut "mendarat dengan lancar" di Lapangan Terbang Frankfurt pada kira-kira 2.00 petang waktu tempatan dengan semua penumpang dan anak kapal berada di dalamnya.

FlightRadar24 berkata di Twitter bahawa penerbangan itu membuang  bahan api semasa dilencongkan ke Frankfurt.

Prosedur itu digunakan oleh pesawat dalam beberapa keadaan kecemasan sebelum berpatah balik ke lapangan terbang sejurus selepas berlepas, atau jika mendarat di destinasi yang lebih dekat daripada ditetapkan untuk mengurangkan berat.

Saluran media AviationSource menyatakan penerbangan itu membuat panggilan kecemasan di Eropah semasa dalam perjalanan ke Singapura.

Ia memetik laman web pengesan penerbangan RadarBox sebagai menunjukkan ketinggian pesawat turun mendadak,  "mungkin disebabkan tekanan atau kecemasan perubatan/keutamaan".

Pada kira-kira 12.55 tengah hari (waktu UK), ia menyatakan bahawa penerbangan itu menghampiri Lapangan Terbang Frankfurt, di mana pesawat itu mendarat dengan selamat tidak lama kemudian.

Seorang pengguna Twitter, yang dikenali sebagai Bea, menyiarkan gambar dari dalam kabin dan sedang mereka keluar dari pesawat.

"Jurutera berkata (ia) adalah masalah serius dan tidak boleh mendapatkan alat ganti," katanya. Dalam tweet lain, beliau berkata hotel telah ditempah untuk penumpang dan bas disediakan  untuk membawa mereka ke hotel.

Pengguna RowanJ pula berkata temanitanya, yang berada di dalam penerbangan itu, berkata pesawat berkenaan "ditinggalkan".

"Masalah yang lebih serius daripada apa yang (kita) fikirkan," tulisnya, memetik temanitanya itu.

“Masalah teknikal tidak boleh diperbaiki. Turun ke hotel. Tidak tahu rancangan seterusnya.”

Semua penerbangan lain "sangat sibuk" jadi tempahan terhad buat masa itu, menurut catatan di tweet itu.

"Aturan sedang dibuat untuk membantu semua pelanggan," kata Singapore Airlines. “SIA dengan tulus ikhlas memohon maaf atas kesulitan yang berlaku

"Keselamatan pelanggan dan anak kapal kami sentiasa menjadi keutamaan kami."

Pada September lalu, penerbangan SIA dari Paris ke Singapura  dilencongkan ke Baku, Azerbaijan kerana "masalah teknikal".

Sumber : CNA/SU/su
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan