Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penerbangan Scoot ke Melaka beri impak positif kepada pelancongan negeri

Anggaran Waktu Membaca:
Penerbangan Scoot ke Melaka beri impak positif kepada pelancongan negeri

(Gambar fail: Roslan Rahman/AFP)

MELAKA: Penerbangan lima kali seminggu ke Melaka yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan tambang hemat Singapore Airlines, Scoot menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) di Batu Berendam mampu memberi impak positif kepada sektor pelancongan negeri itu.

Ketua Menteri Melaka Ab Rauf Yusoh berkata penerbangan berkenaan juga membantu mengaktifkan semula operasi LTAM selain menjayakan hasrat kerajaan negeri dalam merealisasikan kedatangan 18.7 juta pelancong termasuk dari luar negara sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
"Saya melihat pemilihan LTAM oleh syarikat berkenaan dapat mempromosikan Melaka dan pelancong boleh ke Melaka menerusi Singapura menggunakan penerbangan tambang rendah yang ditawarkan," katanya.

Beliau ditemui para wartawan selepas merasmikan Pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka 2024 yang turut dihadiri Pengerusi MATTA Melaka Chapter Goh Hock Gin di pusat beli-belah Mahkota Parade pada Khamis (9 Ogos).

Encik Ab Rauf berkata kerajaan Melaka berharap syarikat penerbangan itu dapat menggunakan LTAM sebagai hab penerbangan ke lebih banyak destinasi pelancongan lain pada masa akan datang.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri juga sedang berunding dengan beberapa syarikat penerbangan lain untuk beroperasi di LTAM dalam usaha menawarkan lebih banyak penerbangan baharu ke pelbagai destinasi pada masa hadapan.

Pada Selasa lalu, media melaporkan Scoot akan melakukan penerbangan lima kali seminggu ke Melaka mulai 23 Okt ini dan tempahan tiket boleh dibuat bermula 6 Ogos lepas melalui laman web Scoot, aplikasi mudah alih dan saluran lain secara progresif, dengan tambang kelas ekonomi bermula S$69 termasuk cukai.
Sumber : Bernama/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan