Penerbangan pesawat Qantas dari SG ke London dilencongkan ke Azerbaijan

(Gambar: Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev/Facebook)
SINGAPURA: Pesawat Qantas yang melakukan penerbangan dari Singapura ke London membuat pendaratan yang tidak mengikut jadual di Azerbaijan pada Jumaat (23 Dis) disebabkan oleh isyarat yang dikesan di kokpit.
Pesawat QF1 berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada pukul 12.44 tengah malam Jumaat (23 Dis), selepas mengalami kelengahan selama 49 minit. Ia dijadual tiba di Lapangan Terbang Heathrow pada pukul 2.15 petang pada hari yang sama.
Radar pesawat menunjukkan pesawat yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Heathrow berada di udara selama kira-kira sembilan jam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Changi sebelum ia tiba-tiba membelok 180 darjah berhampiran dengan sempadan Georgia.
Menurut laman web Sweden, Flightradar24, pesawat Airbus 380 itu mengeluarkan isyarat "7700" - kod komunikasi bagi kecemasan - sebelum mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Heydar Aliyev di Baku.
Pesawat itu mendarat dengan selamat pada pukul 11.07 pagi dan mendapatkan khidmat kecemasan di landasan kapal terbang.
"Penerbangan kami dari Singapura ke London melakukan pendaratan yang tidak mengikut jadual di di Lapangan Terbang Baku di Azerbaijan setelah juruterbang menerima laporan kerosakan melalui isyarat di kokpit," kata jurucakapQantas.
"Para jurutera akan memeriksa pesawat itu sebelum ia meneruskan perjalanannya."
Lapangan Terbang Baku menyatakan di laman Facebook bahawa terdapat 356 penumpang dalam pesawat tersebut dan permintaan untuk mendarat secara tiba-tiba disebabkan oleh "asap yang dikesan di ruang kargo".
Namun tidak jelas berapa lama pesawat itu akan berada di Baku. Mediacorp sudahpun menghubungi Qantas untuk mendapatkan lebih banyak maklumat.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.