Penerbangan jemaah umrah SG tidak terjejas di tengah konflik Iran-Israel
SINGAPURA: Perjalanan umrah Syawal bagi para jemaah Singapura tidak terjejas oleh konflik Iran dengan Israel yang menyebabkan beberapa negara di rantau itu menutup ruang udara masing-masing.
Beberapa syarikat pelancongan yang dihubungi BERITA Mediacorp menyatakan bahawa mereka akan tetap meneruskan perjalanan ke Arab Saudi.
Mereka akan meneruskan perjalanan mengikut jadual penerbangan asal buat rombongan umrah dan pelancongan dalam beberapa hari akan datang.
Antaranya, Syahidah Travel, Hahnemann Travel & Tours Pte Ltd dan TravelConnect.sg.
Agensi-agensi pelancongan itu juga sedang menantikan kemas kini daripada syarikat penerbangan dan akan mengambil langkah sewajarnya.
Pengarah urusan Shahidah Travel, Ayoob Angullia misalnya berharap para jemaah juga bersedia dari segi mental sekiranya perancangan terpaksa ditukar pada saat-saat akhir demi menjaga keselamatan mereka.
"Kami ada 15 jemaah yang akan berangkat esok (15 April). Saya akan memberikan mereka taklimat untuk mempersiapkan mereka dari segi mental sekiranya penerbangan terpaksa dibatalkan, ditangguh atau mereka harus ditempatkan ke tempat lain disebabkan apa yang sedang berlaku. Keutamaan kami adalah untuk memastikan jemaah kami selamat," kata Encik Ayoob.
Sebagai langkah berjaga-jaga, syarikatnya juga sudah mengeluarkan amaran kepada para jemaah dan menghubungi kakitangan syarikat penerbangan Saudi untuk mendapatkan kemas kini.
Beliau mendapat makluman bahawa laluan penerbangan yang diambil syarikat penerbangan itu tidak terjejas dengan penutupan ruang udara oleh beberapa negara.
Hal ini juga tidak menjejas rancangan para jemaah umrah dari TravelConnect.sg yang bakal berangkat pada Rabu (17 Apr).
"Kami belum lagi menerima sebarang perubahan atau pembatalan daripada syarikat penerbangan Saudi. Jika ada, kami akan menasihati jemaah sewajarnya sekiranya terdapat sebarang maklumat baru daripada syarikat penerbangan tersebut. Buat masa ini, laluan penerbangan tidak terjejas dengan penutupan udara ini," kata Pengarah Kreatif & Logistik TravelConnect.sg, Zacree Zain.
Beliau menambah bahawa ini bukan kali pertama syarikat itu berdepan dengan cabaran penerbangan namun sedar bahawa setiap senario berbeza.
Untuk itu, mereka sudah membuat persiapan rapi untuk menghadapi sebarang kemungkinan akibat konflik yang meletus di Timur Tengah.
Bagi para jemaah yang akan melakukan perjalanan bagi umrah dan destinasi tambahan seperti Turki yang ditawarkan Hahnemann Travel & Tours Pte Ltd, mereka juga akan tetap meneruskan perjalanan.
Menurut pengurus syarikat itu, Ustaz Muhammad Hisyam, pihaknya masih menantikan kemas kini daripada syarikat penerbangan dan setakat ini belum ada pembatalan atau penukaran pada jadual penerbangan.
Sebuah rombongan kembara Turki syarikat itu juga akan berangkat hari ini (14 Apr).
JEMAAH UMRAH DI SAUDI BAIK-BAIK SAHAJA
Bagi para jemaah umrah yang sudah berada di Makkah dan Madinah, mereka tidak terjejas oleh konflik tersebut yang memburuk sejak Iran melancarkan serangan balas terhadap Israel pada 4 pagi waktu Singapura.
Menurut pengarah Noor Mohamad Services & Travel, Ustazah Juyda Noor Mohamad, rombongan jemaah umrah mereka yang berangkat pada Sabtu (13 April) dalam keadaan baik-baik sahaja.
Jadual perjalanan mereka juga tidak terjejas.
"Syarikat kami mengambil penerbangan langsung ke Jeddah dengan syarikat penerbangan Saudi dan Scoot. Kedua-duanya mengikut jadual penerbangan mereka. Jika ada penerbangan yang terpaksa dibatalkan, mereka akan memberi kami kemas kini dan buat masa ini, tidak ada. Ini bermakna penerbangan, penginapan dan pengaturan di darat semuanya berjalan seperti biasa," kata Ustazah Juyda.
Dalam pada itu, beliau turut menerangkan bahawa penerbangan 'stopover' seperti di Dubai, Qatar, Abu Dhabi, Bahrain atau Istanbul sebelum ke Jeddah atau Madinah mungkin lebih berisiko terjejas berbanding penerbangan langsung.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.