Penduduk Yishun dikejarkan ke hospital selepas konkrit reput jatuh di flat HDB
Seorang lelaki berusia 65 tahun dikejarkan ke hospital selepas konkrit yang terkopak jatuh di bilik mandi flatnya di Yishun pada Khamis (19 Jun).
Menteri Ehwal Dalam Negeri yang juga Anggota Parlimen GRC Nee Soon, K Shanmugam, melawat flat yang terjejas di Chong Pang. (Gambar: Facebook/K Shanmugam Sc)
Menjawab pertanyaan Mediacorp pada Jumaat, Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) mengatakan bahawa pegawainya sudah dimaklumkan mengenai insiden tersebut yang berlaku di Blok 127 Yishun Street 11.
“Kejadian tersebut menyebabkan seorang penduduk lelaki berusia 65 tahun mengalami kecederaan. Sebaik sahaja dimaklumkan, pegawai kami menjalankan siasatan segera pada petang yang sama dan mendapati konkrit yang terkopak jatuh di atas lantai bilik mandi bilik tidur utama,” menurut HDB.
HDB juga memeriksa seluruh flat itu dan menemui “konkrit yang menggelembung” pada siling bilik mandi dapur.
“Walaupun tiada tanda konkrit mengelupas yang akan tertanggal di siling bilik mandi dapur, demi ketenangan fikiran dan keselamatan penghuni, HDB mengaturkan supaya kontraktor kami membuang konkrit yang menggelembung itu pada Isnin depan,” tambahnya.
HDB kini membantu pemilik flat itu dengan melakukan kerja-kerja pembaikan di bawah Skim Bantuan Baik Pulih Ihsan (GRA), dan sedang bekerjasama dengan badan akar umbi daerah itu untuk menyalurkan bantuan kewangan bagi menampung kos pembaikan.
Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, yang juga Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Nee Soon, Encik K Shanmugam, turut melawat flat yang terjejas itu.
Dalam satu catatan di Facebook pada Jumaat, Encik Shanmugam berkata pemilik flat tersebut sedang menerima rawatan di hospital.
Encik Shanmugam menambah bahawa beliau sudah menghubungi isteri lelaki itu dan memaklumkan bahawa bantuan akan disediakan, termasuk bayaran bagi kos pembaikan.
"Relawan saya sedang bekerjasama dengan HDB dan Majlis Bandaran mengenai perkara ini,” tulis beliau.
HDB menambah bahawa pihaknya akan terus memberikan sokongan dan bantuan kepada penduduk yang terjejas serta keluarganya.
ISU BIASA BAGI BANGUNAN LAMA
Menurut laman web HDB, konkrit mengelupas adalah isu biasa yang berlaku pada bangunan-bangunan lama, terutamanya di kawasan yang lembap seperti dapur dan tandas.
Masalah tersebut kebanyakannya berpunca daripada proses pengkarbonan, iaitu kerosakan semula jadi yang menyebabkan batang keluli di dalam siling berkarat dan konkrit mula merekah.
Flat di Yishun yang terjejas itu siap dibina 41 tahun lalu dan dinaik taraf di bawah Program Penambahbaikan Rumah (HIP) pada 2018, kata HDB dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Sebagai sebahagian daripada kerja menaik taraf tandas, yang dipilih oleh penduduk, jubin dan kelengkapan baharu dipasang, dengan siling turut dicat semula.
“Tiada kerja pembaikan konkrit mengelupas dijalankan kerana tiada tanda-tanda konkrit mengelupas dikesan di unit itu ketika itu.”
HDB turut memberikan nasihat bagi mencegah konkrit daripada mengelupas.
Tanda-tanda keretakan atau lubang yang kelihatan harus ditampal dengan segera, dan penduduk digalakkan mengecat siling secara berkala untuk menghalang kelembapan dan karbon dioksida daripada meresap ke dalam konkrit.
Pengaliran udara yang baik juga disarankan kerana persekitaran lembap akan mempercepatkan proses pengkarbonan. Para penduduk boleh membuka tingkap, saluran udara atau pintu apabila ruang tersebut tidak digunakan.
“Jika terdapat konkrit yang mengelupas, anda boleh membaikinya sendiri sekiranya bahagian yang terjejas adalah kecil. Jika bahagian yang terjejas agak besar, anda harus mengupah kontraktor untuk membaiki siling dengan segera sebelum lebih banyak konkrit terkopak dan menyebabkan kecederaan.
“Jika dibiarkan, ia boleh merebak ke bahagian lain dan melemahkan struktur bangunan,” nasihat HDB di laman webnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.