Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk tidak berjaya dapat slot janji temu online di poliklinik, kata AP; MOH kaji cadangan sistem beratur

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk tidak berjaya dapat slot janji temu online di poliklinik, kata AP; MOH kaji cadangan sistem beratur

Poliklinik Clementi pada 1 Jun 2022. (Gambar: Matthew Mohan/CNA)

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) akan mempertimbangkan cadangan mengenai sistem janji temu online dan sistem beratur di poliklinik, kata Menteri Negara Kanan Kesihatan Janil Puthucheary pada Isnin (8 Mei).

Ini setelah beberapa Anggota Parlimen (AP) meluahkan keprihatinan mengenai penduduk yang tidak boleh mendapatkan janji temu. 

Dalam soalan Parlimen mengenai sama ada poliklinik boleh meningkatkan kapasiti mereka untuk menerima lebih ramai pesakit yang tidak membuat janji temu dan mengalami keadaan mendesak, Encik Liang Eng Hwa (PAP-Bukit Panjang), Encik Ang Wei Neng (PAP-West Coast) dan Dr Tan Wu Meng (PAP-Jurong) berkata penduduk mereka tidak berjaya membuat janji temu online ataupun mendapat slot tanpa membuat janji temu terdahulu.

Dr Tan menyarankan bahawa klinik doktor keluarga (GP) di bawah Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) boleh disertakan dalam proses tempahan online. 

"Sesentengah orang mungkin lanjut usia, sukar untuk pergi online, kurang berupaya untuk mendapatkan slot janji temu apabila tempahan dibuka. Saya ada penduduk yang memberitahu saya, bagi beberapa poliklinik, slot online sudah tiada dalam masa setengah jam setelah tempahan online dibuka pada beberapa hari," tambahnya. 

Beliau turut bertanya jika MOH memantau sama ada jumlah warga emas yang berjaya mendapatkan slot online berkurangan. 

Dr Puthucheary mengesahkan bahawa warga emas membentuk "kadar tinggi" beban kerja poliklinik. 

Saranan Dr Tan untuk menyertakan klinik GP CHAS ke dalam sistem tempahan online juga boleh dikaji dan MOH akan meninjau bagaimana ia boleh memperbaiki akses kepada khidmat jagaan utama, tambah Dr Puthucheary. 

Encik Ang berkongsi bahawa segelintir penduduknya tidak berjaya mendapatkan slot janji temu, meskipun beratur di poliklinik terbabit. 

"Bolehkah mereka beratur sekiranya tidak dapat slot? Bolehkah mereka mendapatkan slot buat hari seterusnya?" tanya Encik Ang. 

Beliau turut menarik perhatian bahawa kebanyakan poliklinik yang kini dibina terletak di bahagian lain Singapura, tetapi bukan di Jurong. 

"Jadi bagaimana harus kami memperbaiki situasi di Poliklinik Pioneer?" kata Encik Ang. 

MOH akan mengkaji cadangan Encik Ang berhubung sistem beratur buat janji temu, kata Dr Puthucheary. 

"Kami sedang berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki penyediaan khidmat jagaan utama dengan memperluaskan rangkaian poliklinik dan memanfaatkan kepakaran dan pengalaman klinik GP dalam masyarakat yang boleh membantu penduduk dengan baik," jelasnya lagi. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan