Skip to main content

Singapura

Penduduk Tengah gembira dapat perhentian bas baharu; masih berdepan isu isyarat lemah telefon, pilihan makanan

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Tengah gembira dapat perhentian bas baharu; masih berdepan isu isyarat lemah telefon, pilihan makanan

Tengah Boulevard pada 1 Feb 2024. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 02 Feb 2024 11:00AM

SINGAPURA: Jika sebelum ini, Cik Vijayalakshmi Amarthalingam dan anak lelakinya yang berusia 11 tahun mengambil masa 15 minit untuk ke perhentian bas di Plantation Grange di Tengah, guru prasekolah berusia 37 tahun itu kini hanya perlu berjalan kaki lima minit ke perhentian bas baharu yang dibuka dekat rumah mereka.

Perhentian bas baharu itu adalah satu daripada dua yang ditambah oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Tengah Boulevard sejak 24 Disember tahun lalu.

Meskipun kemudahan itu tidak kelihatan seperti satu peningkatan besar bagi  kejiranan baharu tersebut, penduduk yang ditemui Mediacorp berkata ia memudahkan perjalanan mereka ke dalam dan keluar Tengah.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) melanjutkan khidmat bas 992 ke perhentian bas baharu yang terletak di hadapan Blok 132B Plantation Grange dan khidmat bas 870 ke perhentian bas bertentangan Blok 129B Plantation Village.

Lintasan pejalan kaki baharu dengan lampu isyarat di Tengah Boulevard mula beroperasi pada 26 Januari bagi “menyediakan akses lebih selamat dan lancar” bagi penduduk Plantation Village ke perhentian bas baharu itu, jelas HDB.

Perunding jualan Daniel Thinesh, yang berulang-alik ke Tengah atas urusan kerja sejak enam bulan lalu, menarik perhatian temboh menunggu bas lebih lama semasa waktu makan tengah hari, namun lebih cepat, biasnya kurang 10 minit pada sebelah malam.

LAGI DUA MESIN LAYAN DIRI

Bagaimanapun penduduk di estet perumahan baharu itu kurang teruja dengan kemudahan lain yang disediakan HDB, seperti dua mesin layan diri yang menjual kudapan dan minuman, yang mula beroperasi di Plantation Acres bulan lalu.

Ia tambahan kepada tiga mesin layan diri yang sudahpun beroperasi di Blok 111A di Plantation Acres sejak  Disember, dengan salah satu daripadanya menawarkan makanan  seperti nasi ayam, nasi rendang dan sosej bebola keju.

“Dari segi jumlah dan barangan yang dijual, ia bukanlah satu keperluan,” kongsi Encik Muhammad Haikal Samsuri, 31 tahun, seorang kakitangan awam.

Beliau juga berkata kudapan dan minuman boleh dibeli semasa ke pasar raya lebih besar dan beliau lebih suka membuat pesanan makanan melalui platform penghantaran seperti Grab sekiranya perlu makanan siap dimasak.

Sungguhpun begitu, beliau dan isterinya “selesa” tinggal di kawasan kejiranan itu meskipun kurang kemudahan.

“Estet kami adalah antara yang pertama dibangunkan (di Tengah) tetapi kami tidak mahu menunggu untuk semuanya selesai sebelum kami pindah masuk. Kami faham bahawa membeli barang dapur akan memerlukan lebih banyak tenaga.”

ISU-ISU LAIN

Penduduk di merata  kawasan yang sudah siap dibina di Tengah juga memberitahu Mediacorp bahawa mereka berharap isu-isu lain di kawasan itu boleh dihuraikan tidak lama lagi.

Ia termasuk isyarat lemah bagi telefon di sebilangan daerah estet itu dan pemandu kereta sewa privet yang tidak dapat  mengesan lokasi mengambil penumpang – disebabkan peta online yang tidak dikemas kini dan papan tanda jalan raya yang “tidak cukup jelas”.

Misalnya, Encik Phillip berkata beliau sering perlu memberikan arahan terperinci kepada pemandu kereta sewa privet sebelum meninggalkan rumahnya.

Beliau juga menyentuh tentang isyarat lemah bagi telefon, sambil berkata ada kejadian di mana jiran-jirannya perlu berjalan di koridor ke arah flatnya “untuk mendapatkan satu bar (isyarat) untuk membuat panggilan telefon”.

Setakat 18 Januari, 2,908 isi rumah, iaitu 77.5 peratus daripada 3,753 unit di kawasan Plantation Acres, Plantation Grange dan Plantation Village sudah mengambil kunci mereka dan berpindah masuk.

Lagi 20 projek perumahan awam Bina Ikit Tempahan (BTO) masih dalam proses binaan di Tengah.

Sumber : Today/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita