Skip to main content

Singapura

Penduduk Tengah alu-alukan kemudahan baharu; namun khidmat bas, internet masih lemah

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Apabila pembeli flat mula mengambil kunci flat mereka di Tengah pada Ogos tahun lalu, bandar itu tidak mempunyai kemudahan komersial dan hanya satu khidmat bas yang disediakan.

Setahun kemudian, bandar seluas 700 hektar – lebih kurang saiz Bishan – kini mempunyai pusat pertukaran basnya sendiri dan pusat kejiranan yang menawarkan pasar raya Giant, pusat makanan Koufu dengan sembilan gerai dan cawangan McDonald's.

Kedai-kedai lain yang akan dibuka tidak lama lagi di pusat kejiranan Plantation Plaza termasuk KFC dan Daiso, menurut laman pusat itu.

Walaupun akses telah dipertingkatkan dan lebih banyak kemudahan kini disediakan, para penduduk masih mengeluh mengenai perkhidmatan bas yang terhad dan ketersambungan internet yang lemah, menurut para penduduk kepada Mediacorp.

Setakat Julai, para pemilik flat telah mengambil kunci kepada lebih 5,200 flat - daripada hampir 7,000 unit yang dijual - di Tengah, menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Bandar ini dijangka akan menempatkan 30,000 flat apabila siap.

KHIDMAT INTERNET LEMAH

Keluhan dalam kalangan mereka yang telah berpindah ke rumah baharu mereka termasuk ketersambungan internet yang lemah. Mediacorp sebelum ini melaporkan bahawa sesetengah penduduk tidak mendapat isyarat internet di Tengah, tetapi hanya di jalan-jalan utama yang bersempadan dengan bandar itu.

Keadaan itu sudah bertambah baik tetapi ketersambungan internet di dalam rumah, terutamanya di ruang bawah tanah dan tempat letak kereta, masih lemah, kata para penduduk.

Inilah pengalaman Encik Lim, yang sedang berpindah ke Plantation Village, salah satu daripada enam daerah di bandar itu. Pemilik perniagaan berusia 31 tahun itu sedang menunggu seorang penghantar yang sesat di tempat letak kereta dan tidak mempunyai ketersambungan khidmat telefon untuk membuat panggilan.

"Apabila mereka tiba di tempat letak kereta, mereka tidak boleh berhubung dengan sesiapa kerana sesetengah tempat untuk menurunkan penumpang berada di tempat letak kereta tingkat satu, yang mempunyai ketersambungan yang teruk," kata Encik Lim, yang enggan memberikan nama penuhnya.
 
Related article image
(Gambar: CNA/Koh Wan Ting)
Masalah internet yang lemah berlanjutan ke Plantation Plaza. Salah seorang penduduk, Raden Abdul Hamid memberitahu Mediacorp dia tidak boleh menggunakan kaedah digital untuk membayar pembeliannya di pasar raya.

"Walaupun di ruang bawah tanah, Giant, kami mengalami masalah tetapi mereka memberikan kami WiFi (untuk menyambung khidmat)," kata lelaki berusia 62 tahun itu. Encik Raden berpindah ke Plantation Village bersama isterinya dua bulan lalu.

Di pusat makanan Koufu di tingkat tiga, wartawan Mediacorp tidak mempunyai isyarat internet ketika cuba membayar makan menggunakan telefon bijak. Beliau juga tidak mendapat isyarat internet di dalam tandas di tingkat yang sama.

Kelemahan pada ketersambungan internet dijangkakan pada bulan-bulan awal penduduk berpindah ke estet tersebut, kata HDB sebagai respons kepada pertanyaan Mediacorp. Ini sedang kunci flat diserahkan kepada para penduduk sejurus selepas flat mereka siap dan syarikat telekomunikasi masih memasang antena di atas bumbung.

"Ini adalah kesan tukar ganti antara menyiapkan semua kerja binaan, termasuk di atas bumbung dan di daerah ini, sebelum penyerahan kunci, dan penyerahan kunci secepat mungkin kepada pembeli sebaik sahaja flat atau blok mereka siap," kata jurucakap HDB.

HDB menyatakan ia menyerahkan kunci sebaik sahaja flat siap kerana kerja-kerja binaan telah ditangguhkan akibat pandemik COVID-19. Para penduduk juga berkata mereka mahu mendapatkan kunci mereka secepat mungkin untuk memulakan kerja-kerja ubah elok untuk flat masing-masing.

Antena sementara telah dipasang di Plantation Plaza pada bulan Jun untuk meningkatkan ketersambungan internet, tambah HDB.

HDB juga memudahkan akses syarikat telekomunikasi ke kawasan dalam Plantation Plaza untuk memasang kabel gentian dan stesen pangkalan, yang akan meningkatkan capaian internet. Ini dijangka beroperasi mulai hujung Ogos.
Related article image
(Gambar: CNA/Koh Wan Ting)
Para penduduk mengalu-alukan perkhidmatan bas baharu yang menghubungkan Tengah dengan nadi pengangkutan utama tetapi meminta lebih banyak laluan langsung yang tidak melalui estet-estet berdekatan.

Tiga perkhidmatan bas – bas nombor 870, 992 dan 871 – berhenti di Pusat Pertukaran Bas Tengah atau perhentian bas lain di bandar tersebut.

Perkhidmatan bas nombor 992 menghubungkan penduduk dengan Pusat Pertukaran Bas Bukit Batok, manakala bas nombor 870 pergi dengan Pusat Pertukaran Bas Jurong Town Hall. Perkhidmatan bas nombor 871, yang dilancarkan pada 21 Jul, melakukan perjalanan ulang-alik antara stesen MRT Bukit Gombak dan stesen MRT Beauty World.

Pemilik flat Tengah yang enggan namanya didedahkan menyifatkan laluan bas itu sebagai perjalanan yang jauh dan memakan masa.

Pengurus IT berusia 38 tahun itu berkata dia mengambil masa satu jam 20 minit untuk sampai ke tempat kerjanya di Marina Bay, dan isterinya hampir dua jam untuk sampai ke tempat kerjanya di Tampines, dari flat baharu mereka di Plantation Village.

Walaupun perkhidmatan bas nombor 871 berhenti di stesen MRT Beauty World di Laluan Downtown, laluannya mempunyai terlalu banyak perhentian di Bukit Batok. Bas terus dari Tengah ke stesen Laluan Downtown adalah lebih baik, katanya.

Mereka tidak berpindah ke flat Tengah mereka, lebih suka tinggal di rumah mereka sekarang di Bukit Panjang, di mana perjalanan mereka adalah sekitar sejam.

Suri rumah sepenuh masa dan ibu kepada empat orang anak Shafiqah, yang berpindah ke Plantation Village pada Disember tahun lalu, berkata keluarganya menghabiskan lebih banyak masa di rumah pada bulan-bulan awal kerana kekurangan pilihan pengangkutan.

Walaupun pengangkutan awam di Tengah sudah bertambah baik, ia boleh dipertingkatkan lagi, katanya.

"Kesian kepada pengguna berkerusi roda, (mereka yang mempunyai) kereta sorong dengan anak-anak kecil yang perlu menukar bas untuk ke sebelah Jurong. Kami tidak mempunyai bas langsung ke Jurong West atau Boon Lay," kata wanita berusia 27 tahun itu, yang tidak memberikan nama penuhnya.

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan ia mengutamakan usaha menghubungkan penduduk Tengah dengan nod dan kemudahan pengangkutan utama berdekatan untuk memenuhi keperluan perjalanan harian mereka dengan sebaiknya.

Ia akan terus membina infrastruktur seperti perhentian bas seiring dengan pembangunan bandar itu, dedah LTA.

"Memandangkan bandar Tengah terus berkembang, LTA akan memantau perubahan pada permintaan dan corak perjalanan penumpang, di samping menyesuaikan penyediaan perkhidmatan bas dengan sewajarnya."


PASAR RAYA, PILIHAN MAKANAN

Cik Shafiqah berkata beliau gembira kedai-kedai F&B sudah dibuka tetapi berharap lebih banyak pilihan halal akan disediakan tidak lama lagi.

Menurut HDB, lebih banyak pilihan halal akan disediakan mulai suku ketiga tahun ini, dan ia sedang bekerjasama dengan Koufu untuk memperkenalkan lebih banyak gerai halal di Plantation Plaza.

"Proses permohonan dan pensijilan untuk mendapatkan sijil halal mengambil sedikit masa kerana permohonan hanya boleh dibuat selepas pengendali F&B memulakan perniagaan," kata jurucakapnya.

Pesara, Kwan Sau Kuen berpindah ke Plantation Grove pada 16 Jul, beberapa minggu selepas pasar raya Koufu dan Giant dibuka pada 28 Jun.

"Saya sengaja memilih untuk berpindah hanya pada bulan ini kerana saya menjangkakan Giant dan Koufu hanya akan dibuka sama ada pada awal bulan ini atau pertengahan bulan ini. Jadi kalau saya menderita sekalipun ia sekejap sahaja," menurut pesara berusia 70 tahun itu.

Sungguhpun demikian, Cik Kwan berkata pilihan makanan terhad berbanding flatnya sebelum ini di Clementi, di mana dia mempunyai tujuh kedai kopi yang terletak berhampiran rumahnya.

Dia biasanya menaiki bas selama 20 minit ke kedai kopi di Bukit Batok untuk makan.

Begitu juga bagi seorang suri rumah berusia 56 tahun, yang menamakan dirinya sebagai Cik Koh, yang menghargai pasar raya itu tetapi masih melanggani pasar raya di Jurong, Bukit Gombak atau Bukit Batok untuk mendapatkan bekalan segar.

"Kadangkala ikan selar kuning terlalu kecil, dan ia lebih besar di pasar basah," kata Cik Koh dalam bahasa Mandarin.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita