Skip to main content

Singapura

Penduduk Tampines mengadu siling bocor, kulat di dinding; pemasangan panel suria bukan puncanya, kata HDB

Ketika hujan lebat berterusan selama beberapa hari semasa Disember lalu, Encik David Mohan kecewa apabila mendapati air menitis dari siling dapurnya selama berhari-hari.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Tampines mengadu siling bocor, kulat di dinding; pemasangan panel suria bukan puncanya, kata HDB

Encik David Mohan mengalami siling bocor pada lewat Disember tahun lalu di mana air menitik daripada siling dapurnya selama beberapa hari. (Gambar Ihsan: David Mohan)

SINGAPURA: Ketika hujan lebat berterusan selama beberapa hari semasa Disember lalu, Encik David Mohan kecewa apabila mendapati air menitis dari siling dapurnya selama berhari-hari.

Baldi yang diletakkan di bawah kebocoran itu penuh dalam masa "tiga hingga empat jam", bermakna Encik Mohan dan isterinya perlu bergilir-gilir bangun pada waktu malam untuk mengosongkan baldi.

"Ia seperti hujan di dalam rumah saya," kata pesara berusia 66 tahun itu, yang tinggal di tingkat atas salah sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Tampines Street 21.

Pada masa itu, panel suria sedang dipasang di atas bumbung blok tersebut.

“Sebelum kerja-kerja (pemasangan) dibuat, tidak berlaku kebocoran. Kami tidak tahu apa yang berlaku,” kata Encik Mohan kepada Mediacorp di rumahnya pada bulan lalu.

Beliau melaporkan kepada majlis bandaran tentang keadaan itu dan kemudian ke HDB untuk mendapatkan bantuan. Walaupun silingnya yang bocor telah ditampal pada bulan Januari, Encik Mohan masih bimbang sama ada kebocoran itu menyebabkan sebarang kerosakan pada siling palsu di dapurnya, serta kabinet yang terletak berhampiran kebocoran tersebut.

Encik Mohan bercadang untuk mendapatkan kontraktor untuk menjalankan pemeriksaan rapi apabila pemasangan panel suria di bloknya siap.

Sekurang-kurangnya tiga lagi penduduk yang tinggal di tingkat atas beberapa blok di kawasan itu memberitahu Mediacorp bahawa mereka mengalaminasib serupa, termasuk kulat di dinding dan tompok-tompok basah pada siling mereka ketika pemasangan panel suria dijalankan.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, HDB berkata pada Isnin (7 Okt) bahawa pemeriksaan oleh kontraktor pemasangan panel suria bagi blok HDB di Tampines Street 21 telah mengenal pasti keretakan dan kebocoran siling, antara isu lain, sebelum pemasangan dimulakan.

Ini telah diperbaiki atas dasar "muhibah" oleh kontraktor, kadangkala seiring dengan kerja-kerja pemasangan.

HDB juga berkata bahawa kontraktor yang ditauliahkan untuk semua projek pemasangan panel surianya "tidak dibenarkan menggerudi atau membuat lubang" pada bumbung blok HDB.

"Sebaliknya, adalah wajib bagi panel suria dipasang dengan meletakkan konkrit pada lapisan 'felt'," tambah jurucakapnya.

Alas 'felt' itu berfungsi sebagai "membran pelindung" untuk bumbung dan lapisan tambahan "bertujuan untuk mengelakkan kebocoran air ke permukaan bumbung".

"Oleh itu, sebarang kebocoran siling berikutnya tidak mungkin disebabkan oleh pemasangan panel suria dan lebih berkemungkinan disebabkan oleh keadaan lusuh secara semula jadi membran atau salutan kalis air bumbung sedia ada," kata HDB.

Blok HDB di Tampines Street 21 dibina antara 1982 dan 1987, dengan kebanyakannya dibina pada 1984.
“TOMPOK-TOMPOK” DI SILING, KULAT DALAM ALMARI

Kerja-kerja pemasangan di Tampines Street 21 adalah sebahagian daripada program SolarNova yang dijalankan pemerintah, bagi pemasangan panel suria di atas bumbung beribu-ribu blok HDB di seluruh Singapura untuk memanfaatkan tenaga bersih dan menjadikan estet perumahan lebih mampan.

Di bawah program itu, tenaga suria digunakan untuk membekalkan tenaga bagi perkhidmatan biasa di estet HDB, seperti lif, lampu dan pam air, pada waktu siang.

Secara purata, ia membolehkan blok HDB mencapai penggunaan tenaga bersih-sifar untuk kawasan umum, dan boleh membantu majlis bandaran untuk menyederhanakan peningkatan dalam kos operasi dan penyenggaraan, kata pihak berkuasa.

Ketika Mediacorp melawat estet Tampines HDB bulan lalu, kerja pemasangan nampaknya sedang berjalan di enam blok HDB.

Menurut seorang penduduk di Blok 256, pemasangan panel solar bermula pada akhir November tahun lalu dan berlangsung sehingga Mac sebelum dimulakan semula baru-baru ini pada 31 Julai. Kerja pemasangan ditetapkan untuk diteruskan sehingga akhir bulan ini, berdasarkan notis kertas yang ditampal di lobi lif blok 255 dan 256.

Seorang penduduk di unit tingkat atas blok 256, yang meminta identitinya dirahsiakan kerana dia seorang penyewa, telah melihat "tompok-tompok" mula muncul di siling dapurnya sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Mesin basuh dan salah satu lampu siling di dapur juga "berhenti berfungsi" pada masa yang berasingan dan terpaksa diganti.

Penduduk itu berkata dia telah meminta pekerja binaan di bloknya untuk melihat flatnya, tetapi diberitahu mereka "tidak dapat mengenal pasti punca" tompokan pada siling dan masalah elektrik.

TIADA TREND MENUNJUKKAN PEMASANGAN PANEL SURIA PUNCA SILING BOCOR: HDB

Dalam responsnya, HDB berkata kontraktor yang menjalankan pemasangan panel suria di Tampines Street 21 telah berbuat demikian mengikut proses kerja yang ditetapkan.

Ini termasuk memasang lapisan pelindung di bawah balast konkrit yang menyokong panel suria dan bingkainya.

Juga, tiada penggerudian dilakukan secara langsung pada permukaan bumbung konkrit bertetulang untuk mengekalkan lapisan kalis air sedia ada di bumbung.
Related article image
Kontraktor untuk projek itu ialah Novasix, yang telah menggunakan Alpina Energy untuk kerja-kerja pemasangan, ujian dan pentauliahan sistem fotovoltaik solar.

Novasix ialah usaha sama yang dibentuk oleh Digo Corporation, anak syarikat milik penuh Alpina Holdings, dan Terrenus Energy selepas kedua-dua firma itu dianugerahkan secara bersama tender projek suria keenam di bawah program SolarNova pada Mac 2022.

Alpina Energy ialah anak syarikat milik penuh Alpina Holdings.

Dalam jawapannya itu, HDB tidak menyatakan berapa ramai penduduk yang terjejas. Pertanyaan berasingan kepada Majlis Bandaran Tampines mengenai bilangan penduduk yang melaporkan isu kebocoran atau keretakan siling tidak dijawab.

Alpina Energy enggan menjawab, dengan menyatakan bahawa ia "tidak ada apa-apa lagi untuk ditambah" kepada kenyataan HDB. Mediacorp juga telah menghubungi Terrenus Energy untuk mendapatkan ulasan.
Related article image
Secara keseluruhan, HDB berkata bahawa ia telah menerima "purata kurang daripada 30 kes maklum balas setahun mengenai kebocoran siling untuk unit tingkat atas" sejak kerja-kerja di bawah program SolarNova bermula pada 2018.

"Maklum balas itu merangkumi kira-kira 4,200 blok HDB yang dipasang dengan panel suria setakat ini, iaitu kurang daripada 1 peratus daripada blok HDB yang dipasang terjejas akibat kebocoran siling," katanya.

"Tiada trend yang menunjukkan bahawa pemasangan panel suria membawa kepada meningkatnya kes kebocoran siling di unit tingkat atas."
Sumber : CNA/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita