Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk SG sembunyi dalam but kereta ditangkap cuba masuk Malaysia secara haram; dihantar pulang dan didakwa

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki yang diberkas pihak berkuasa Malaysia kerana cuba memasuki negara itu secara haram dengan bersembunyi di dalam but kereta, didakwa minggu lalu.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyatakan pada Khamis (7 Mac) bahawa suspek tersebut, seorang penduduk tetap Singapura berusia 50-an tahun, cuba memasuki Malaysia secara haram pada 13 Dis.

Dia dihadapkan di sebuah mahkamah Singapura pada 27 Feb.

Akhbar Malaysia New Straits Times melaporkan bahawa lelaki itu dihantar pulang ke Singapura selepas menjalani hukuman penjara dua bulan dan membayar denda di Malaysia.

Dalam satu laporan yang bertarikh 4 Mac, akhbar itu menyatakan bahawa lelaki tersebut telah membayar dua wanita warga Malaysia S$3,000 untuk menyeludupnya masuk ke Johor menerusi Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ).

Lelaki terbabit kemudian ditangkap oleh pegawai penguatkuasaan, yang sedang menjalankan pemeriksaan rutin ke atas barangan yang diimport. Dia kemudian memberitahu pegawai itu bahawa dia berharap untuk mendapatkan pekerjaan di Malaysia.

Menurut ICA, setelah lelaki tersebut dihantar pulang dari Malaysia, ia menjalankan siasatan lanjut dan mendakwa lelaki itu kerana meninggalkan Singapura secara haram.

ICA menekankan bahawa pihaknya memandang serius terhadap percubaan untuk memasuki atau meninggalkan Singapura secara haram.

Ia tidak menjelaskan mengapa pihaknya tidak mengesan lelaki tersebut yang bersembunyi di but kereta semasa meninggalkan Singapura. Bagaimanapun amalan yang biasa dilakukan di peringkat antarabangsa ialah untuk mengambil "pendekatan kenal pasti risiko" bagi kenderaan yang meninggalkan sesebuah negara, sambil memberi tumpuan kepada kenderaan yang tiba.

Pendekatan sedemikian membolehkan ICA mengimbangi pemeriksaan keselamatan dan kesannya terhadap trafik dan pelepasan imigresen, manakala pemeriksaan rambang ke atas kenderaan yang meninggalkan negara ini membantu menghalang dan mengesan percubaan untuk meninggalkan Singapura secara haram, tambahnya.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan