Penduduk SG cecah 6.11 juta, didorong pertumbuhan penduduk bukan pemastautin
Jumlah penduduk Singapura mencecah paras tertinggi baharu iaitu 6.11 juta setakat Jun 2025. Peningkatan tersebut terutamanya didorong oleh pertumbuhan penduduk bukan pemastautin.
Ini merupakan peningkatan 1.2 peratus berbanding Jun tahun lalu, apabila jumlah penduduk melepasi 6 juta buat kali pertama.
Perangkaan terkini itu diterbitkan pada Isnin (29 Sep) dalam Laporan Ringkas mengenai penduduk Singapura oleh Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD) di Pejabat Perdana Menteri dan agensi-agensi rakan kongsinya.
Penduduk bukan pemastautin meningkat sebanyak 2.7 peratus daripada 1.86 juta pada Jun 2024 kepada 1.91 juta pada Jun 2025. Peningkatan itu didorong oleh pemegang permit kerja, diikuti oleh pekerja pembantu hijrahan.
Kadar pertumbuhan penggajian pekerja asing di Singapura kekal stabil dari Jun 2024 hingga Jun 2025, berbanding Jun 2023 hingga Jun 2024, menurut laporan itu.
Tenaga kerja asing membentuk kira-kira dua pertiga daripada penduduk bukan pemastautin, manakala selebihnya terdiri daripada pembantu rumah, tanggungan dan pelajar.
“Penduduk bukan pemastautin adalah pelbagai, dan saiz serta komposisinya berubah-ubah mengikut keperluan ekonomi dan sosial kita,” menurut laporan itu.
Setakat Jun 2025, terdapat 4.2 juta penduduk Singapura – 3.66 juta warga Singapura dan 0.54 juta terdiri daripada penduduk tetap (PR).
Penduduk warga Singapura meningkat sebanyak 0.7 peratus daripada 3.64 juta pada Jun 2024, manakala bilangan PR kekal stabil.
Kadar pertumbuhan tahunan penduduk Singapura bagi tempoh lima tahun lalu – dari 2020 hingga 2025 – ialah 1.5 peratus, lebih tinggi berbanding 0.5 peratus pada tempoh lima tahun sebelumnya.
Peningkatan itu sebahagian besarnya berpunca daripada pertambahan pemegang permit kerja dalam sektor pembinaan untuk menyokong projek-projek infrastruktur utama seperti Terminal 5 Changi serta peningkatan bekalan perumahan, menurut laporan tersebut.
KELAHIRAN DAN PERKAHWINAN DALAM KALANGAN WARGA SG
Terdapat 29,237 kelahiran warga pada 2024, meningkat 1.2 peratus berbanding 28,877 kelahiran pada 2023. Kelahiran warga merujuk kepada bayi yang dilahirkan kepada sekurang-kurangnya seorang ibu atau bapa warga Singapura.
Purata kelahiran dalam setahun bagi tempoh lima tahun lalu (2020 hingga 2024) ialah 30,400, lebih rendah berbanding purata bagi tempoh lima tahun sebelumnya iaitu 32,900.
Umur median ibu warga Singapura semasa kelahiran pertama ialah 31.6 tahun pada 2024, meningkat daripada 30.3 tahun pada 2014. Laporan itu, pada masa yang sama, menyatakan bahawa kadar kesuburan keseluruhan penduduk ialah 0.97 pada 2024, tidak berubah daripada 2023.
Saiz keluarga Singapura semakin kecil, dengan bilangan anak bagi setiap keluarga berkurangan, menurut laporan itu.
Dalam tempoh dua dekad lalu, peratusan wanita warga Singapura yang pernah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak meningkat daripada 6.7 peratus kepada 14.4 peratus, manakala wanita yang mempunyai seorang anak meningkat daripada 15.9 peratus kepada 22.8 peratus.
Bagi tempoh yang sama, peratusan wanita warga Singapura yang pernah berkahwin dan mempunyai tiga anak atau lebih turun dengan ketara daripada 34.5 peratus kepada 20.6 peratus.
“Keputusan untuk berkahwin dan mempunyai anak adalah sangat peribadi,” menurut laporan itu.
“Seperti yang dilihat di banyak negara maju lain dan hasil tinjauan serta sesi libat urus dengan rakyat Singapura, trend kadar kesuburan rendah mencerminkan perubahan generasi, di mana golongan muda mengutamakan matlamat hidup lain berbanding perkahwinan dan menjadi ibu bapa.
“Lebih ramai rakyat Singapura berkahwin pada usia lebih lewat dan menangguhkan kelahiran anak atau memilih untuk tidak mempunyai anak.”
Berdasarkan tinjauan dan usaha pemerintah mendekati penduduk, keputusan untuk berkahwin dan mempunyai anak dipengaruhi oleh “pelbagai faktor”, termasuk kos membesarkan anak, mengimbangi kerjaya dan keluarga, serta jangkaan terhadap apa yang dimaksudkan sebagai seorang ibu bapa yang baik.
Terdapat 22,955 perkahwinan melibatkan warga Singapura pada 2024, iaitu 5.7 peratus lebih rendah berbanding 24,355 pada 2023. Namun, perangkaan itu masih lebih tinggi daripada 22,165 pada 2019, menurut laporan itu.
Perkahwinan warga merujuk kepada perkahwinan yang melibatkan sekurang-kurangnya seorang warga Singapura.
Purata jumlah perkahwinan warga dalam setahun bagi tempoh lima tahun (2020 hingga 2024) adalah sekitar 23,000, merosot daripada 23,600 pada tempoh lima tahun sebelumnya.
Umur median semasa berkahwin buat pertama kali bagi warga lelaki dan perempuan masing-masing adalah 30.8 tahun dan 29.1 tahun pada 2024, berbanding 30.1 tahun dan 27.9 tahun pada 2014.
Laporan itu turut menyediakan data berhubung perkahwinan rentas negara dan antara kaum bagi 2024. Perkahwinan rentas negara membentuk 37 peratus manakala perkahwinan antara kaum membentuk 19 peratus daripada keseluruhan perkahwinan warga.
Menurut laporan yang sama, kadar golongan bujang semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Antara 2019 hingga 2024, peratusan bujang meningkat dalam hampir semua kumpulan umur bagi lelaki dan perempuan.
“Trend ini lebih ketara dalam kalangan kumpulan umur lebih muda, dengan kumpulan umur 25 hingga 29 tahun dan 30 hingga 34 tahun mencatatkan peningkatan lebih tinggi dalam peratusan bujang berbanding kumpulan umur yang lain,” menurut laporan tersebut.
Laporan itu juga menyatakan bahawa meskipun terdapat trend perkahwinan dan kelahiran yang menurun, hasrat untuk berkahwin dan mempunyai anak masih tinggi di Singapura.
Menurut laporan tersebut, 80 peratus golongan muda menyatakan hasrat untuk berkahwin, dan lebih daripada sepertiga pasangan berkahwin bercita-cita untuk mempunyai tiga orang anak atau lebih.
“Pemerintah komited dalam menyokong aspirasi rakyat Singapura untuk menjadi ibu bapa, melalui pelbagai langkah menyeluruh dalam bidang seperti perumahan, jagaan kesihatan, prasekolah dan pendidikan, serta sokongan kewangan dan keseimbangan kerja dan hidup,” tambahnya.
PENDUDUK MENUA
Penduduk warga Singapura terus menua, dengan 20.7 peratus berusia 65 tahun dan ke atas pada Jun 2025, berbanding 13.1 peratus sedekad lalu.
Bilangan warga berusia 80 tahun dan ke atas juga meningkat sekitar 60 peratus kepada 145,000 pada 2025, naik daripada 91,000 pada 2015.
Peratusan penduduk warga Singapura berusia 65 tahun dan ke atas meningkat pada kadar lebih cepat berbanding sedekad lalu.
Umur median penduduk meningkat daripada 43.4 tahun kepada 43.7 tahun antara Jun 2024 dan Jun 2025.
Terdapat juga kemerosotan dalam peratusan warga berusia antara 20 hingga 64 tahun – daripada 64.5 peratus pada 2015 kepada 59.8 peratus pada Jun 2025.
Menjelang 2030, sekitar satu daripada empat warga – atau 23.9 peratus – akan berusia 65 tahun dan ke atas.
“Penghijrahan membantu mengurangkan kesan penuaan dan kadar kelahiran rendah terhadap penduduk warga Singapura, serta memastikan penduduk warga tidak menyusut pada jangka panjang,” menurut laporan itu.
“PR kami dan warga baharu juga menambah daya tarikan bagi masyarakat dan ekonomi Singapura.”
Laporan itu menyatakan bahawa negara mengambil bilangan PR dan warga baharu yang “dikawal dengan teliti” setiap tahun, dengan semua warga dewasa baharu dipilih daripada kumpulan PR, kerana seseorang perlu menjadi PR sebelum boleh memohon kewarganegaraan.
Pada 2024, seramai 22,766 orang diberikan kewarganegaraan dan 35,264 individu diberikan status PR.
Purata tahunan bagi pemberian kewarganegaraan dan PR bagi tempoh lima tahun lalu (2020 hingga 2024) masing-masing ialah 21,300 dan 33,000.
Jumlah tersebut adalah sedikit lebih tinggi berbanding tempoh lima tahun sebelumnya, iaitu 20,500 bagi kewarganegaraan dan 31,700 bagi status PR.
“Kami berhati-hati untuk memberikan kewarganegaraan dan PR kepada individu yang boleh menyumbang kepada Singapura, berintegrasi dengan baik, dan komited untuk menjadikan Singapura sebagai tempat tinggal mereka,” menurut laporan tersebut.
“Kebanyakan warga baharu dan PR mempunyai pertalian keluarga dengan rakyat Singapura (contohnya melalui perkahwinan), atau pernah belajar, bekerja atau tinggal di Singapura untuk tempoh tertentu.”
Laporan itu menyatakan bahawa pemerintah akan “terus mengekalkan kadar penghijrahan yang bersifat sederhana”. Bilangan PR dan kewarganegaraan yang diberikan setiap tahun bergantung kepada beberapa faktor, termasuk jumlah dan mutu permohonan yang diterima serta keperluan Singapura yang berubah-ubah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.