Penduduk Sengkang berbelah bagi sama ada Raeesah Khan harus undur diri
Sehari selepas Cik Raeesah Khan daripada Parti Pekerja (WP) mengaku berbohong di Parlimen tentang kes serangan seksual, sebilangan penduduk di GRC beliau meluahkan rasa kecewa terhadap tindakannya itu.
Gambar fail: TODAYonline
SINGAPURA: Sehari selepas Cik Raeesah Khan daripada Parti Pekerja (WP) mengaku berbohong di Parlimen tentang kes serangan seksual, sebilangan penduduk di GRC beliau meluahkan rasa kecewa terhadap tindakannya itu.
Sesetengah penduduk berpendapat bahawa Cik Raeesah, 28 tahun yang mewakili Compassvale, seharusnya mengundurkan diri daripada menjadi Anggota Parlimen (AP) manakala yang lain pula berkata kesilapan itu tidak seharusnya menghakis kesemua usaha yang dilakukannya untuk kawasan undinya itu.
Mereka juga merasakan insiden itu menunjukkan betapa ceteknya pengalaman Cik Raeesah sebagai seorang AP dan pemimpin kanan parti seharusnya melakukan lebih banyak lagi untuk melatihnya.
'MEMALUKAN'
Salah seorang penduduk di kawasan undi Cik Raeesah yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Lim menyifatkan pengakuannya di Parlimen sebagai "memalukan" dan Cik Raeesah seharusnya meletak jawatan.
"Sekalipun mereka Pembangkang, saya menjangkakan mereka akan menegakkan piawai yang tinggi," kata pesara berusia 75 tahun itu.
"Saya mengundinya masuk dan dia mengecewakan saya."
Encik Karthikeyan, 35 tahun yang bekerja sendiri juga berpandangan Cik Raeesah seharusnya mengundurkan diri kerana "kewibawaannya sudah tercemar".
Beliau menambah Ketua WP Pritam Singh seharusnya memanfaatkan peluang ini untuk menyampaikan isyarat tegas kepada semua AP bahawa perbuatan berbohong tidak seharusnya dibiarkan begitu saja di Parlimen.
HANYA KESILAPAN KECIL
Penduduk lain yang lebih memaafi, berpendapat beliau masih belajar selok-belok menjadi AP dan kesilapan itu tidak seharusnya menghakis usahanya sejauh ini untuk membantu para penduduk di kawasan undinya.
"Satu kesilapan sebegini tidak seharusnya menghakis kerja baiknya," kata seorang penduduk Compassvale.
Seorang lagi penduduk, Encik Mohamad Nasrullah Refa'ie, 36 tahun berkata meskipun beliau kecewa dengan Cik Raeesah, AP itu tetap kelihatan seperti "pendengar penuh belas kasihan" yang kerap hadir di sesi-sesi bertemu penduduk sebelum ia digantung baru-baru ini disebabkan oleh kes COVID-19 yang semakin meningkat.
Encik Jeremy Tan, 29 tahun pula berkata beliau masih yakin terhadap kewibawaan Cik Raeesah sebagai seorang AP dan kesilapannya itu tidak seharusnya diperbesar-besarkan.
LEBIH BANYAK TUNJUK AJAR DIPERLUKAN
Para penduduk lain pula menyarankan agar pemimpin kanan WP seharusnya memberi lebih banyak tunjuk ajar kepada Cik Raesah sekiranya dia kekal sebagai AP.
Encik Chong berkata kesilapan itu mungkin berlaku disebabkan kekurangan pengalaman sebagai AP dan anggota kanan parti seperti Encik Singh seharusnya memberikannya tunjuk ajar.
Encik Nasrullah pula berkata parti itu seharusnya memastikan para AP menyampaikan kenyataan yang tepat dan sahih di Parlimen pada masa akan datang untuk mengelak insiden serupa berulang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.