Skip to main content

Singapura

Penduduk S'pura boleh lapor penukaran alamat secara online mulai 1 Okt

Mulai 1 Okt, warga Singapura dan penduduk tetap boleh melaporkan penukaran alamat rumah - dalam negara atau di luar negara - secara online dan tidak lagi perlu berbuat demikian secara peribadi.

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk S'pura boleh lapor penukaran alamat secara online mulai 1 Okt

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 28 Sep 2020 04:31PM Dikemas Kini : 28 Sep 2020 04:33PM

SINGAPURA: Mulai 1 Okt, warga Singapura dan penduduk tetap boleh melaporkan penukaran alamat rumah - dalam negara atau di luar negara - secara online dan tidak lagi perlu berbuat demikian secara peribadi.

Mereka yang perlu mengemas kini alamat rumah boleh menggunakan khidmat elektronik penukaran alamat di laman web Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menggunakan SingPass dan melaporkan perubahan itu dalam tempoh 28 hari sebelum berpindah ke alamat baru.

Buat masa ini, kesemua pemegang kad pengenalan (IC) yang berpindah ke alamat baru di Singapura perlu melaporkan penukaran itu di Balai Polis Kejiranan (NPP), Pusat Polis Kejiranan (NPC) atau bangunan ICA dengan mengemukakan kad pengenalan dan dokumen yang membuktikan alamat baru mereka, manakala mereka yang berpindah atau menukar alamat di luar negara perlu menghantar e-mel kepada ICA.

Dalam satu kenyataan media pada Isnin (28 Sep), ICA menyatakan bahawa polis akan berhenti mengendalikan permohonan penukaran alamat di kesemua Balai Polis Kejiranan (NPP) dan Pusat Polis Kejiranan (NPC) mulai 1 Dis. Para penduduk yang tidak dapat melakukan penukaran itu secara online boleh ke ICA bagi mendapatkan bantuan.

Khidmat elektronik baru itu disediakan dalam empat bahasa rasmi dan mereka yang tinggal sebumbung boleh mengemas kini alamat mereka dalam satu permohonan.

Selepas melaporkan penukaran alamat menerusi khidmat elektronik itu, satu nombor PIN unik akan dihantar kepada alamat rumah yang baru itu dalam tempoh tiga hingga lima hari bagi pengiriman tempatan.

Para pemohon kemudian perlu memberikan nombor PIN itu bagi pengesahan melalui khidmat elektronik. Mereka dengan serta-merta akan menerima pengesahan bahawa penukaran berjaya dibuat. Kiriman kedua mengandungi pelekat alamat baru akan dihantar kepada para pemohon. Pelekat itu perlu ditampal pada bahagian belakang kad pengenalan mereka.

Menurut ICA, alamat baru itu akan dikemas kini dalam tempoh satu hari bekerja dalam pangkalan data agensi-agensi awam yang menyertai inisiatif Pelaporan Alamat Sehenti.

Berikut adalah senarai agensi-agensi awam yang menyertai inisiatif itu:

Related article image

Para penduduk Singapura juga boleh melantik wakil yang merupakan pemegang SingPass untuk menghantar permohonan bagi pihak mereka. Wakil itu perlu menyediakan nombor IC pemohon dan tarikh pengeluarannya bagi menggunakan khidmat elektronik. Bagi menyempurnakan proses itu, wakil itu juga perlu mendapatkan dan memasukkan nombor PIN yang dikirim kepada alamat baru pemohon.

ICA juga menyatakan tindakan penguatkuasaan akan diambil terhadap sesiapa yang menyalah guna khidmat elektronik itu. Di bawah Peraturan Pendaftaran Kebangsaan, sesiapa yang melaporkan alamat rumah palsu boleh didenda sehingga S$3,000 dan dipenjara sehingga dua tahun.

Sesiapa yang gagal menampal pelekat alamat baru pada kad pengenalan juga melakukan satu kesalahan, tambah ICA.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita