Skip to main content

Singapura

Penduduk Rowell Road lega keadaan makin baik susuli gangguan nyamuk berbulan lamanya

Anggaran Waktu Membaca:
 Penduduk Rowell Road lega keadaan makin baik susuli gangguan nyamuk berbulan lamanya

Nyamuk yang sudah mati di Blok 642 Rowell Road pada 4 Mei 2026. (Gambar: CNA/Raydza Rahman)

Diterbitkan : 14 May 2026 06:55AM Dikemas Kini : 14 May 2026 06:56AM
  • Penduduk Blok 642 Rowell Road di Singapura menghadapi masalah serangan nyamuk Culex sejak awal Februari, menyebabkan gangguan tidur dan ketidakselesaan.
  • NEA mengaitkan peningkatan nyamuk dengan cuaca panas dan hujan lebat, serta telah menjalankan pembersihan tempat pembiakan pada April.
  • Pakar menyatakan risiko penyakit akibat nyamuk Culex adalah rendah, dan usaha kawalan harus tetap fokus kepada nyamuk Aedes yang lebih berbahaya.
  • Langkah pencegahan termasuk membersihkan longkang, menghapus tempat pembiakan, serta penggunaan perangkap dan jaring, namun semua pihak perlu bekerjasama untuk keberkesanan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Penduduk di sebuah blok perumahan Jalan Besar yang dibelenggu masalah nyamuk setiap malam melaporkan bahawa keadaan kini bertambah baik, walaupun gangguan tersebut belum hilang sepenuhnya.

Mediacorp melaporkan pada hujung April lalu bahawa serangan nyamuk di Blok 642 Rowell Road mencetuskan aduan penduduk yang mendakwa tidak dapat tidur akibat gigitan yang gatal.

Sejak awal Februari, penduduk di blok 25 tingkat itu terpaksa bergelut dengan serangan nyamuk dengan menggunakan ubat nyamuk, perangkap elektronik, dan kelambu, tetapi usaha tersebut kurang berkesan.

Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) mengaitkan peningkatan itu dengan faktor cuaca dan pembiakan nyamuk Culex quinquefasciatus, iaitu spesies nyamuk yang biasa ditemui di kawasan bandar Singapura. NEA menyatakan pihaknya sudah membersihkan tempat pembiakan pada awal April.

Hasil tinjauan semula Mediacorp pada 4 Mei mendapati jumlah nyamuk di kawasan umum sudah berkurangan. Di kolong tingkat dua blok itu, yang sebelum ini dipenuhi nyamuk, kini hanya terdapat satu atau dua ekor sahaja. Sekurang-kurangnya 25 bangkai nyamuk bertaburan di rak kasut di luar sebuah kedai, bersebelahan tin penyembur racun serangga.

Cik Sabrina Sow, 68 tahun, yang sebelum ini terpaksa menutup semua tingkap pada waktu malam, berkata keadaan kini "jauh lebih baik". Sebelum ini, keluarganya terpaksa bergilir-gilir bangun pada waktu malam untuk membunuh nyamuk dengan pemukul elektrik dan tidur berasingan dalam kelambu.

Keadaan kini lebih tenang, walaupun Cik Sow dan keluarganya masih digigit sekali-sekala. Beliau berharap pihak berkuasa terus memantau keadaan agar nyamuk tidak kembali menyerang.

Insiden di Rowell Road itu berlaku di tengah-tengah peningkatan tempat pembiakan nyamuk Culex di seluruh Singapura.

Data NEA menunjukkan tempat pembiakan nyamuk Aedes susut dalam 15 minggu pertama tahun ini, tetapi tempat pembiakan Culex quinquefasciatus meningkat sebanyak 55 peratus dalam tempoh yang sama.

NEA menjelaskan peningkatan Culex disebabkan oleh cuaca panas yang berpanjangan diikuti hujan lebat secara tiba-tiba, yang mewujudkan keadaan sesuai untuk pembiakan. Nyamuk Culex biasanya membiak dalam air bertakung di luar rumah seperti longkang yang tersumbat dan aktif menggigit pada waktu malam.

Walaupun jumlahnya meningkat, pakar menyatakan keadaan ini tidak mendatangkan risiko besar kepada kesihatan awam.

Agensi Penyakit Berjangkit (CDA) menyatakan risiko virus Japanese Encephalitis dan virus West Nile, yang kedua-duanya dibawa oleh nyamuk Culex, adalah rendah di Singapura pada masa ini. Nyamuk Culex juga tidak menyebarkan denggi.

Profesor Duane Gubler dari Sekolah Perubatan Duke-NUS berkata nyamuk Culex pada asasnya lebih merupakan gangguan berbanding pembawa penyakit di kawasan bandar. Beliau menjelaskan bahawa virus Japanese Encephalitis biasanya ditemui di kawasan luar bandar kerana ia memerlukan haiwan seperti babi sebagai haiwan pembawa, dan industri penternakan babi sudah tidak wujud lagi di Singapura.

Pakar serangga menyatakan nyamuk Aedes dan Culex mempunyai tempat pembiakan yang berbeza.

"Berbeza dengan Aedes yang suka air bersih di dalam bekas, Culex lebih kepada air bertakung yang kotor dan organik, terutamanya longkang tersumbat dan struktur air di luar rumah," kata Lawrence Ng dari Origin Exterminators.

NEA juga mengesahkan bahawa usaha mengurangkan nyamuk Aedes tidak menyebabkan peningkatan jumlah nyamuk Culex.

Oleh kerana nyamuk Aedes membawa risiko penyakit yang lebih tinggi, pakar-pakar mengatakan, usaha kawalan harus mengutamakan spesies tersebut.

APA YANG BOLEH PENDUDUK LAKUKAN?

Pakar menyatakan langkah paling berkesan adalah menghapuskan tempat pembiakan.

Bagi pihak pemerintah, NEA bekerjasama dengan Majlis Bandaran untuk membersihkan longkang yang tersumbat, membaiki tanah yang tidak rata agar air tidak bertakung, dan menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik.

Pakar-pakar turut menyarankan penggunaan perangkap cahaya, lingkaran ubat nyamuk, serta pemasangan jaring pada tingkap dan pintu untuk menghalang nyamuk masuk ke dalam rumah.

Bagaimanapun, penggunaan ubat penyembur hanya bersifat sementara. "Tiada kaedah yang 100 peratus berkesan," kata Leslie Chong dari System Pest Control Services. "Semua orang perlu memainkan peranan masing-masing."
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita