Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Penduduk Punggol tak senang duduk lihat rekahan pada tembok luar flat; HDB periksa tiada masalah struktur

Buat berbulan lamanya, para penduduk di sebuah blok perumahan awam di Punggol terpaksa menghadap rekahan besar yang jelas kelihatan pada bahagian luar tembok blok berkenaan. Sebilangan mereka bimbang sama ada ia akhirnya tidak mampu bertahan dan membahayakan nyawa. 

Anggaran Waktu Membaca:
Penduduk Punggol tak senang duduk lihat rekahan pada tembok luar flat; HDB periksa tiada masalah struktur

Pemandangan rekahan pada tembok di tingkat tiga Blok 310A Waterway Terraces II di Punggol. (Gambar: Nabilah Awang/TODAY)

Diterbitkan : 08 Aug 2020 10:13AM Dikemas Kini : 08 Aug 2020 10:15AM

SINGAPURA: Buat berbulan lamanya, para penduduk di sebuah blok perumahan awam di Punggol terpaksa menghadap rekahan besar yang jelas kelihatan pada bahagian luar tembok blok berkenaan. Sebilangan mereka bimbang sama ada ia akhirnya tidak mampu bertahan dan membahayakan nyawa.

Pada Isnin (3 Ogos), gambar-gambar rekahan pada permukaan tembok blok itu dikongsikan oleh kumpulan Facebook yang terdiri daripada para penduduk Waterway Terraces II. Ia menyebabkan semakin ramai orang meluahkan keprihatinan dan mempersoalkan keutuhan struktur bangunan berkenaan.

Akhirnya pada Jumaat (7 Ogos), dalam satu respons bersama kepada Mediacorp, Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol serta Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) menyatakan ia sudah menjalankan satu pemeriksaan ke atas Blok 310A Punggol Waterway Terraces II dan memastikan tiada isu dengan keselamatan bangunan tersebut.

Ia menyatakan garis rekahan itu ada kaitan dengan sedikit masalah penjajaran pada panel-panel pratuang.

Rekahan tersebut - yang berada antara dua panel pratuang berasingan di tingkat tiga blok berkenaan - adalah komponen bukan struktur dan ia akan dibaiki oleh HDB serta majlis bandaran.

Beberapa penduduk, seperti Encik Lee Kee Hong yang menetap di tingkat dua flat tersebut, memberitahu Mediacorp beliau melaporkan perkara itu kepada majlis bandaran seawal bulan Februari lalu tetapi diberitahu bahawa tembok itu selamat.

Majlis bandaran juga menyatakan, dalam responsnya kepada Encik Lee, bahawa ia akan memantau rapi panel-panel itu dan melakukan langkah susulan dengan melakukan kerja-kerja pembaikan serta hiasan semula.

Bagaimanapun, Encik Lee - yang enggan mendedahkan usia serta pekerjaannya, berkata beliau amat bimbang panel itu akan pecah dan mencederakan seseorang.

Seorang lagi penduduk, yang tinggal di tingkat lima flat tersebut dan ingin dikenali hanya sebagai Encik Loh, berkata beliau risau rekahan itu akan mempengaruhi struktur lantai di atasnya.

Meluahkan kekecewaannya atas mutu kerja yang teruk itu, seorang pesara berusia 67 tahun berkata: "Ia baru lima tahun dan ramai penduduk di sini sudah mengadu tentang rekahan di flat mereka serta pada siling balkoni mereka...ia amat membimbangkan. Apabila saya fikirkan perkara-perkara ini, saya tidak dapat tidur dengan nyenyak."

REKAHAN DALAM APARTMEN

Bahkan, para penduduk di blok-blok berhampiran yang diwawancara Mediacorp juga terganggu dengan struktur blok-blok perumahan di estet itu terutamanya apabila mereka mula perasan rekahan pada flat mereka sendiri.

Salah seorang daripada mereka ialah Cik Celine Koh, yang mendapati dua rekahan panjang di siling balkoninya apabila beliau mengambil kunci flatnya pada 2017.

Rekahan pada siling balkoni di flat Cik Celine Koh. (Gambar: Celine Koh)

(Rekahan pada siling balkoni di flat Cik Celine Koh. Gambar: Celine Koh)

Wanita berusia 36 tahun itu, yang bekerja dalam penjualan perubatan, berkata rekahan-rekahan tersebut sudahpun dimaklumkan kepada seorang pegawai HDB yang berada di lokasi semasa satu pemeriksaan kerosakan sebelum ini.

“Saya agak kecewa apabila melihat keadaan flat ketika pertama kali mengambil kunci saya. Ada lebih 60 kerosakan yang mengambil masa lebih setahun untuk dibaiki," ujarnya.

Reka bentuk Waterway Terraces memenangi Anugerah Reka Bentuk HDB pada 2016 dan adalah dalam kalangan 15 projek Singapura yang disenarai pendek dalam Pesta Seni Bina Sedunia pada tahun yang sama.

Estet Waterway Terraces estate — terdiri daripada Waterway Terraces I dan II — adalah projek perumahan awam di Punggol Waterfront yang meliputi 2,000 unit flat dan selesai dibina pada 2015.

Tender projek itu, dimenangi oleh firma seni bina berpangkalan di Geneva, Group8asia, dalam satu persaingan antarabangsa, memaparkan balkoni yang beralun, taman bumbung bertingkat dan berada dalam jarak berjalan kaki ke pusat beli-belah serta stesen MRT Punggol.

Mediacorp sudahpun menghubungi Dr Janil Puthucheary, Anggota Parlimen Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Pasir Ris-Punggol bagi mendapatkan ulasan beliau.  

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan